Kutu

Cara terbaik menghilangkan kutu dan telur kutu

Baca Soalan

Apa itu kutu kepala?

Kutu adalah sejenis serangga atau parasit yang sangat kecil. Ia digelar parasit kerana ia memerlukan perumah untuk hidup, dalam kes ini mamalia yang berdarah panas. Kutu memerlukan perumah kerana ia menghisap darah untuk mendapatkan nutrisi untuk hidup.

Kutu telah menjadi masalah bagi manusia sejak beribu tahun lagi, dan dalam rekod terdapat banyak cara yang telah digunakan untuk menghapuskan kutu seperti menggunakan air panas dan menyikat rambut dengan sikat khas. Kaedah ini semua adalah untuk mengeluarkan dan membunuh kutu dan telurnya dari kepala atau bahagian badan lain.

Kutu telah menyebabkan banyak kesan buruk kepada pesakit dan masyarakat. Ianya sangat senang berjangkit sehingga pesakit terpaksa mengasingkan diri dan mengambil langkah pencegahan untuk mengelakan penularan parasit ini. Keadaan ini pasti menghadkan aktiviti harian mereka. Dari sudut kesihatan awam, terdapat beratus juta kes dilaporkan setiap tahun. Bagi kebanyakan negara, walaupun bagi negara maju, ia masih menjadi masalah kesihatan yang besar, terutamanya bagi golongan pelajar sekolah rendah, berumur 3-12 tahun. Jangkitan kutu boleh terjadi kepada semua golongan dalam tangga sosioekonomi, namun golongan pertengahan dan bawahan mempunyai risiko yang lebih tinggi.

Terdapat banyak jenis kutu, tetapi kutu yang sering menyerang manusia ada 3 jenis, bergantung kepada bahagian badan mereka berkumpul; kulit kepala, badan dan di kawasan kemaluan. Berikut merupakan jenis dan nama saintifik kutu ini;

  • Kutu kulit kepala - Pediculus humanus capitis

  • Kutu badan - Pediculus humanus humanus

  • Kutu kawasan kemaluan - Pthirus pubis

Dari ketiga-tiga spesis ini, hanya kutu badan yang telah dikenalpasti menyebabkan penyakit epidemik iaitu penyakit typhus yang menyebabkan demam yang sering berulang

Namun penulisan ini akan lebih memberi fokus kepada kutu kepala kerana ianya merupakan jangkitan paling banyak di Malaysia.

Apa punca kutu kepala?

Penyebab kutu rambut atau kepala adalah kerana jangkitan parasit kutu jenis Pediculus humanus capitis. Satu salah faham tentang jangkitan ini iaitu ia disebabkan oleh kekotoran dan pesakit tidak menjaga kebersihan, namun sebenarnya ia terjadi kerana pesakit telah mendapat parasit ini dari individu yang telah dijangkiti, melalui sentuhan atau perkongsian barangan.

Kutu kepala sangat kecil dan susah untuk dilihat, saiznya yang paling besar hanyalah 3 mm. Telurnya berwarna kuning dan bertukar putih apabila ia telah menetas. Mereka boleh dikesan di rambut atau di akar rambut. Namun ia boleh dilihat jika rambut dan kulit kepala diperiksa dengan sempurna. Panjang rambut tidak lah mempengaruhi risiko seseorang untuk mendapatkan kutu, namun ia menyukarkan untuk mencari kutu di rambut panjang dan cara menghilangkan kutu di rambut panjang adalah lebih susah dan rumit.

Seekor kutu akan menghisap darah sebanyak 5 kali sehari. Apabila matang, kutu boleh membiak setiap hari, dan bertelur sebanyak 8-10 biji telur setiap hari. Kutu betina boleh bertelur sehingga 300 biji telur sepanjang hayatnya. Sepanjang proses pembiakan, kutu akan terus menghisap darah dengan lebih kerap dan banyak lagi. Telur kemudian boleh melekat di rambut, di pakaian atau tuala. Ia juga boleh jatuh ke atas cadar dan sarung bantal, dan melekat kepada rambut orang lain yang menggunakannya. Terdapat 3 tahap tumbesaran kutu yang dibezakan mengikut saiz mereka.

Bagaimana kutu kepala berjangkit?

Kutu kepala berjangkit dari individu ke individu lain melalui sentuhan kulit ke kulit, atau rambut ataupun perkongsian barangan seperti tuala, sarung bantal, cadar dan pakaian. Kutu dan telur kutu boleh menjangkiti manusia. Oleh sebab ia tidak memerlukan proses yang rumit untuk merebak, penyakit ini sangat senang menular terutamanya di kalangan kanak-kanak atau pelajar sekolah rendah.

Berikut merupakan aktiviti atau perkara yang meningkatkan risiko seseorang mendapat kutu kepala;

  • Berada di tempat yang sesak seperti tadika, sekolah dan taska

  • Kebersihan taska, sekolah dan tadika tidak dijaga

  • Mempunyai adik beradik yang lebih ramai

  • Golongan sosioekonomi rendah

  • Kawasan tempat tinggal yang kurang membangun

  • Berkongsi barang seperti tuala, cadar dan selimut

  • Baju tidak dibasuh dengan suhu yang panas dan dengan bersih

  • Adik beradik yang tidur sebantal atau satu katil

  • Kulit kepala tidak dikeringkan dengan sempurna

Selain itu, faktor kelembapan sangat penting untuk kutu, ia memerlukan kelembapan sekitar 70-90% untuk hidup dan jika nilai ini turun bawah 40%, ia boleh mati. Ia juga memerlukan suhu sekitar 29-32°C untuk hidup dan jika nilai suhu naik hingga ke 50°C ia boleh mati. Suhu dan kelembapan ini lah yang menjadikan manusia sebagai perumah yang terbaik untuk kutu.

Selain menjadi faktor untuk penularan jangkitan kutu dan kemandirian spesis ini, faktor kelembapan di kepala dan suhu badan memainkan peranan penting dalam merawat parasit ini. Membasuh pakaian pada suhu yang tinggi boleh membunuh kutu dan menghalang penyebarannya.

Apakah tanda dan simptom dijangkiti kutu kepala?

Tanda jangkitan hanyalah gatal dan ruam di kepala dan kawasan sekitarnya. Tidak ada ujian yang spesifik, di mana dignosis dibuat sekiranya terdapat kutu atau telurnya dijumpai. Anda juga boleh menggunakan sikat kutu untuk mencari sekiranya terdapat kutu di kepala.

Cara untuk mengelakkan kutu kepala

Tidak ada cara yang spesifik untuk mengelakkan kutu kepala. Antara perkara yang boleh dilakukan ialah dengan tidak melakukan aktiviti yang melibatkan sentuhan dari kepala ke kepala atau rambut, tidak berkongsi barangan peribadi seperti pakaian, topi, cadar, sarung bantal dan sebagainya.

Pelajar juga tidak perlu untuk tidak ke sekolah kerana jangkitan ini. Mereka cuma perlu dinasihatkan untuk tidak berkongsi peralatan mereka dan bersentuhan kepala dengan rakan mereka.

Bagaimana menghilangkan kutu kepala?

Terdapat banyak cara untuk merawat kutu kepala. Antara cara menghilangkan kutu rambut dan telurnya yang patut dicuba oleh ibubapa adalah dengan menggunakan sikat kutu. Sikat ini boleh didapatkan di farmasi atau kedai biasa. Ianya adalah sikat yang mempunyai bilah sisir yang rapat-rapat membolehkan sikat ini untuk mengutip kutu dan telurnya dari rambut. Ia boleh digunakan ketika rambut kering atau lebih baik dilakukan jika rambut basah, dan gunakan sikat ini untuk menyisir rambut setiap hari selama seminggu atau dua minggu. Sisir selama 10 minit bagi rambut pendek, dan 20-30 minit untuk rambut panjang.

Jika kutu masih tidak hilang, anda boleh menggunakan spray rambut atau losyen rambut. Ia mudah untuk didapati di pasaran. Kutu dan telur selalunya akan mati selepas sehari penggunaan produk tersebut. Sila ikut arahan penggunaan yang tertera pada produk. Kebiasaanya losyen dan spray dijual bersama sikat yang boleh digunakan untuk membuang kutu yang telah mati selepas rawatan. Anda mungkin memerlukan rawatan ini sekali lagi selepas seminggu untuk membunuh semua kutu yang baru menetas.

Contoh penggunaan produk ini ialah dengan cara membasmi kutu rambut dengan Peditox iaitu ubat kutu yang telah lama berada di pasaran dan boleh dicuba sekiranya sikat rambut tidak berkesan.

Sila bercakap dengan doktor sekiranya rawatan ini masih tidak berkesan untuk membunuh kutu.

Komplikasi kutu kepala

Bahaya kutu rambut adalah tidak serius dan jarang memberi masalah yang membebankan kepada pesakit dan penjaga. Kesan yang paling serius ialah menyebabkan perasaan malu dengan rakan sebaya dan boleh mengganggu emosi kanak-kanak.

Written by: Sri Viknarajan A/L Puvendran

Universiti Hasanuddin, Indonesia – MEDICAL DEGREE (DR)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?