Baca Soalan
Cara diagnosis penyakit tiroid
- Kita telah memahami bahawa penyakit tiroid secara amnya boleh diklasifikasikan kepada hipotiroidisme (kekurangan hormon tiroid) dan hipertiroidisme (hormon tiroid berlebihan).
- Langkah-langkah diagnosis bagi kedua-dua golongan penyakit tiroid ini berbeza. Walaupun begitu, diagnosis secara umumnya boleh dibuat dengan pemeriksaan fizikal dan ujian darah.
- Kadang-kala, pengimejan kelenjar tiroid dan ujian biopsi diperlukan untuk mencapai diagnosis dengan lebih tepat.
Cara diagnosis penyakit hipertiroidisme
- Informasi yang diberi oleh para pesakit dan tanda-tanda penyakit yang dikesan semasa pemeriksaan fizikal sebenarnya amat penting dalam penentuan status penyakit tiroid. Doktor anda mungkin memeriksa kulit, jari, lengan, mata dan leher anda untuk mengesan tanda-tanda hipertiroidisme.
- Antara tanda penyakit hipertiroidisme ialah tangan yang menggigil dan berpeluh, nadi yang laju dan bengkak kelenjar tiroid.
- Ujian darah tiroid juga memainkan peranan yang penting dalam proses diagnosis. Antara komponen ujian yang penting ialah tahap thyroxine dan thyroid-stimulating hormone (TSH).
- Thyroxine ialah hormon yang dihasilkan oleh kelenjar tiroid manakala TSH ialah hormon yang mengawal penghasilan thyroxine. Thyroxine yang tinggi dan TSH yang rendah bermaksud tiroid pesakit terlalu aktif.
- Pengimejan tiroid juga mungkin dilakukan. Secara umumnya, pengimejan ini boleh dilakukan dengan menggunakan ultrasound ataupun bahan radioaktif.
- Ultrasound boleh menghasilkan imej tiroid yang agak jelas dan boleh mengesan nodul-nodul yang mungkin ada pada kelenjar tiroid. Pengimejan ultrasound tidak memerlukan radiasi.
- Justeru itu, ultrasound merupakan pilihan pengimejan yang lebih selamat. Kadang-kala, bahan radioaktif diperlukan semasa pengimejan. Bahan radioaktif biasanya akan diminum atau dimasukkan ke dalam salur darah pesakit melalui suntikan jarum.
- Bahan-bahan ini akan diserap ke dalam kelenjar tiroid lalu menghasilkan imej yang jelas.
Cara diagnosis penyakit hipotiroidisme
- Seperti hipertiroidisme, informasi yang diberi oleh para pesakit dan tanda-tanda penyakit yang dikesan semasa pemeriksaan fizikal memainkan peranan yang penting dalam proses diagnosis.
- Antara tanda-tanda yang mungkin dikesan termasuklah kelenjar tiroid yang bengkak, mata yang bengkak dan kulit yang kering. Doktor anda juga mungkin memeriksa tindakbalas pergerakan sendi dengan mengetuk lutut, buku lali atau siku.
- Para pesakit hipotiroidisme biasanya menunjukkan tindakbalas pergerakan sendi yang perlahan. Walaupun begitu, sesetengah kes hipotiroidisme tidak menunjukkan apa-apa tanda fizikal.
- Ujian darah juga akan dijalankan untuk mengenal pasti status fungsi tiroid para pesakit. Sekiranya keputusan ujian darah tiroid menunjukkan thyroxine yang rendah dan TSH yang tinggi, maka pesakit itu dikatakan menghidap hipotiroidisme.
- Biasanya, TSH yang terlalu tinggi bermaksud TSH yang lebih tinggi daripada 4.5 mU/L. Kadang-kala, ujian lanjut yang dikenali sebagai ‘free T4’ dilakukan untuk menentukan punca hipotiroidisme.
- Golongan yang memerlukan ujian saringan tiroid (iaitu tahap TSH) termasuklah mereka yang mempunyai faktor risiko penyakit tiroid, mereka yang mempunyai kolesterol tinggi dan mereka yang menunjukkan simptom-simptom hipotiroidisme.