Cara Mengira Waktu Subur Wanita
Setiap pasangan perlu tahu cara mengira waktu subur wanita jika tidak suka menggunakan alat pencegah hamil ataupun sedang cuba hamil.
Cara mengawal kelahiran secara semulajadi atau perancangan keluarga adalah alternatif jika anda dan pasangan anda tidak mahu menggunakan kondom, pil kawalan kelahiran, implan, IUD, atau alat pencegah hamil yang lain.
Namun, kaedah ini sangat bergantung kepada kemahiran untuk mengira waktu subur wanita setiap bulan. Apabila kitaran haid bulanan adalah normal dan teratur, tugas mengira waktu subur wanita akan menjadi lebih mudah.
Tetapi bagi wanita dengan kitaran haid yang tidak teratur, kaedah mengira waktu subur wanita mungkin lebih sukar. Walaubagaimanapun ia masih boleh dilakukan, cuma dengan cara yang berbeza.
Cara menghitung waktu subur wanita apabila kitaran haid biasa:
- Secara umum, kitaran haid yang normal dan biasa ialah setiap 28 - 30 hari. Hari pertama anda datang haid dikira sebagai hari pertama. Sekiranya haid seterusnya datang pada hari ke-28, maka anda mempunyai kitaran haid biasa setiap 28 hari.
- Waktu subur wanita dengan kitaran haid 28 hari ialah hari ke-13 hingga hari ke-15 dari hari pertama anda datang haid.
- Contohnya, jika anda datang haid pada 1 Januari, maka waktu subur anda adalah 13 Januari hingga 15 Januari.
Pasangan yang ingin menimang cahaya mata, bolehlah lebih kerap melakukan seks pada tarikh-tarikh tersebut. Sebaliknya, jika anda tidak ingin hamil, elakkan dari hubungan seks dalam tempoh ini.
Cara menghitung waktu subur wanita apabila kitaran haid tidak teratur:
- Catatkan tempoh kitaran haid anda untuk 6 bulan. Misalnya, dalam bulan Januari kitaran haid anda adalah 25 hari, Februari: 28 hari, Mac: 30 hari, dan seterusnya hingga 6 bulan.
- Perhatikan bilangan hari kitaran terpanjang dan kitaran terpendek
- Jika kitaran terpanjang adalah 35 hari, tolak 11 dari 35 hari, hasilnya ialah 24.
Sekiranya kitaran terpendek adalah 25 hari, tolak 18 dari 25 hari, hasilnya ialah 7 - Maka anggaran waktu subur wanita adalah hari ke-7 hingga hari ke-24 selepas hari pertama datang haid pada setiap bulan.
Selain menghitung secara manual, kini terdapat juga kalendar kehamilan atau app yang membolehkan anda untuk mengira waktu subur wanita dengan mudah.
Anda hanya perlu memasukkan tarikh pertama haid anda.
Kaedah menghitung waktu subur wanita ini kurang tepat
Biarpun ramai wanita telah mencuba cara semulajadi ini untuk mengawal kehamilan, ketepatannya tidak 100%. Banyak faktor lain seperti masalah hormon juga boleh menyumbang kepada berlakunya kehamilan selain faktor kesuburan.
Di samping itu, ketahanan sperma setiap lelaki adalah berbeza. Biarpun anda melakukan hubungan seks di luar masa subur, sperma masih boleh bertahan beberapa hari di dalam badan wanita sehingga tiba saatnya waktu subur.
Secara umum, sperma boleh hidup di dalam badan wanita selama 5 hari. Jadi, jika anda ingin menggunakan kaedah menghitung untuk mencegah kehamilan, carilah masa yang lebih "selamat," misalnya 5 hari sebelum dan selepas waktu subur wanita.
Terima kasih kepada TheAsianParent.com atas kesudian memberi kebenaran untuk kami menyiarkan artikel menarik ini.