Kencing Manis

Apakah Rawatan Penyakit Diabetes Insipidus?

Baca Soalan

  • Terdapat pelbagai cara mengatasi diabetes insipidus dalam zaman moden ini tetapi para pesakit harus faham bahawa rawatan diabetes insipidus bergantung kepada punca dan sejarah penyakit masing-masing.
  • Oleh itu, bukan semua pesakit diabetes insipidus akan menerima rawatan yang sama. Rawatan untuk kedua-dua jenis diabetes insipidus, iaitu “central diabetes insipidus” dan “nephrogenic diabetes insipidus” adalah sangat berbeza.
  • Doktor yang merawat akan menentukan rawatan yang paling sesuai untuk pesakit-pesakit.
  • Sebelum memulakan rawatan, doktor akan merawat komplikasi daripada diabetes insipidus dahulu.
  • Salah satu komplikasi yang paling utama adalah “dehydration” atau kekurangan air di dalam badan akibat pembuangan air kencing yang terlalu banyak. Golongan pesakit ini biasanya akan dihantar ke hospital dan diwadkan.
  • Air dan garam akan diberi kepada pesakit untuk menggantikan sumber yang telah terbuang dari badan.
  • Selepas diagnosis untuk gejala pesakit diperoleh, rawatan diabetes insipidus akan bermula.  
  • Untuk “cranial diabetes insipidus”, masalah pesakit adalah berpunca daripada kekurangan hormon ADH dari kelenjar pituitari di dalam otak. Oleh itu, cara terbaik untuk merawat kondisi ini adalah dengan menggunakan ubat desmopressin.
    • Desmopressin merupakan sejenis ubat yang mirip dengan ADH di dalam badan. Desmopressin akan menggantikan fungsi ADH dan menggalakkan badan untuk menyimpan air dan mengurangkan pembuangan air melalui air kencing.
    • Desmopressin dihasilkan dalam bentuk pil, semburan hidung dan ubat suntikan. Untuk sesetengah pesakit yang masih menghasilkan ASH tetapi bukan dalam jumlah yang mencukupi, ubat chlorpropamide boleh digunakan untuk meningkatkan sensitiviti sel-sel buah pinggang kepada hormon ADH agar buah pinggang boleh mengurangkan pembuangan air melalui air kencing.
    • Untuk kanak-kanak yang menghidap “central diabetes insipidus”, ibu bapa akan diajar cara untuk memantau penggunaan ubat desmopressin, jumlah air kencing, tumbesaran dan perkembangan anak mereka. Anak mereka juga digalakkan untuk mengambil makanan yang kurang kandungan garam sodium.  
  • Untuk “nephrogenic diabetes insipidus”, ubat thiazide, spironolactone dan NSAIDs seperti indomethacin boleh digunakan untuk mengurangkan jumlah air kencing dan mengurangkan risiko kekeringan dan ketidakseimbangan garam di dalam badan.
    • Pesakit juga akan digalakkan untuk mengamalkan diet yang kurang kandungan protein dan garam sodium. Punca utama “nephrogenic diabetes insipidus” adalah ubat-ubatan, ketidakseimbangan paras garam di dalam badan seperti kalsium berlebihan dan kekurangan kalium serta penyakit-penyakit buah pinggang seperti kegagalan buah pinggang dan buah pinggang polisistik.
    • Oleh itu, rawatan akan memberi tumpuan kepada kondisi-kondisi tersebut. Ubat-ubatan seperti lithium dan amphotericin B yang boleh mengakibatkan masalah buah pinggang perlu dihentikan dan ubat yang lebih selamat akan digunakan.

Written by: Dr Nur Syuhada Binti Zulkifli

Degree in Medicine, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?