Apakah Penyakit Prediabetes Dan Cara Untuk Merawat?
Apakah maksud prediabetes
World Health Organisation (WHO) dan American Diabetes Association (ADA) telah mengklasifikasikan masalah intolenransi glukosa dalam darah kepada beberapa kategori. Kategori-kategori utama di dalam pengelasan tersebut adalah seperti berikut:
Diabetes Mellitus Jenis I (Diabetes Type I) – masalah intoleransi glukosa akibat kerosakan sel beta secara autoimun yang menyebabkan ketiadaan hormon insulin di dalam tubuh.
Diabetes Mellitus Jenis II (Diabetes Type II) – sel beta semakin kurang mengeluarkan hormon insulin secara berperingkat. Selalunya pesakit yang menghidap diabetes jenis ini turut menghadapi masalah kebal terhadap insulin (Insulin resistance)
Diabetes Mellitus ketika mengandung (Gestational Diabetes Mellitus) – diabetes yang dikesan ketika trimester kedua atau ketiga di mana wanita tersebut tidak pernah didiagnos menghidap diabetes jenis I atau II sebelum itu.
Sebab-sebab lain:
Diabetes pada generasi muda (Maturity- Onset Diabetes of the Young (MODY))
Penyakit exokrin pancreas
Diabetes akibat ubatan atau bahan kimia
(Impaired glucose tolerance) – prediabetes atau intermediate hyperglycemia
(Impaired fasting glucose) – prediabetes atau intermediate hyperglycemia
Prediabetes adalah keadaan di mana seseorang pesakit mempunyai bacaan glukosa yang lebih tinggi di dalam darah namun tidak mencapai nilai diagnosis diabetes mellitus. Diagnosis keadaan ini ditentukan berdasarkan dua ujian iaitu (Fasting Glucose) dan (Oral Glucose Tolerance Test)
Bagaimana prediabetes di diagnosis
Melalui dua ujian yang dinyatakan iaitu (Fasting Glucose) dan (Oral Glucose Tolerance Test) pesakit dikategorikan sebagai prediabetes dalam dua keadaan iaitu:
(Impaired Fasting Glucose)
Nilai (Fasting Plasma Glucose): ≥ 6.1 mmol/L tetapi < 7 mmol/L
Pesakit dalam kategori ini mestilah menjalani ujian (Oral Glucose Tolerance Test) bagi memastikan pesakit tidak menghidap Diabetes Mellitus
(Impaired Glucose Tolerance)
Nilai (Fasting Plasma Glucose): < 7 mmol/L
Nilai (Oral Glucose Tolerance Test): Nilai glukosa selepas 2 jam ≥ 7.8 mmol/L tetapi ≤11.1mmol/L
Sekiranya pesakit menjalani satu lagi ujian iaitu HbA1c, untuk melihat kandungan peratusan gula di dalam haemoglobin iaitu salah satu komponen di dalam sel darah merah, paras bagi prediabetes adalah 5.7-6.4%
Ciri-ciri prediabetes
Pesakit yang menghidap masalah ini selalunya tidak mengalami apa-apa simptom. Namun begitu, golongan ini berisiko untuk menghidap Diabetes Mellitus Jenis II, sekiranya paras gula di dalam darah tidak dikawal dengan baik.
Oleh itu, berikut merupakan tanda-tanda yang boleh dikenal pasti:
Kulit menjadi lebih gelap pada bahagian leher, ketiak, siku, buku lima dan lutut
Berasa lebih dahaga
Kerap buang air
Keletihan
Kabur penglihatan
Punca prediabetes
Penyebab masalah ini masih belum dapat dikenalpasti. Tetapi, kajian mendapati bahawa keadaan ini dipengaruhi oleh keadaan genetik dimana seseorang itu lebih berisiko sekiranya terdapat ahli keluarga terdekat yang menghidapi Diabetes Mellitus Jenis II.
Selain itu, faktor gaya hidup yang tidak aktif dan kandungan lemak yang berlebihan di dalam badan juga turut dikenal pasti sebagai perkara yang biasa dilihat dalam penghidap masalah ini.
Secara normalnya, apabila kandungan glukosa dalam darah meningkat, hormon insulin akan dikeluarkan dan ia akan memberikan arahan kepada sel-sel di dalam tubuh untuk menyimpan glukosa ke dalam sel. Namun, keadaan ini tidak berlaku dengan efektif pada pesakit prediabetes akibat sel tubuh yang tidak lagi bertidak balas apabila insulin dirembeskan oleh pankreas ataupun akibat jumlah insulin yang dirembeskan oleh penkreas semakin berkurangan, atau kedua-duanya berlaku serentak.
Siapakah yang berisiko menghidap prediabetes
Sebagaimana faktor yang boleh mendorong kepada terjadinya masalah Diabetes Mellitus Jenis II, ia juga adalah faktor yang boleh menyebabkan masalah prediabetes.
Berat badan berlebihan
Lebihan berat badan selalunya menunjukkan lebihan lemak dalam badan. Lemak yang berlebihan menyebabkan rintangan tindak balas terhadap insulin
Ukur lilit pinggang yang besar
Ukur lilit pinggang yang besar menunjukkan tubuh mempunyai rintangan tindak balas terhadap insulin.
Pola pemakanan yang tidak seimbang
Daging merah, daging proses dan minuman yang tinggi kandungan gula adalah jenis diet yang harus dielakkan
Gaya hidup tidak aktif
Aktiviti fizikal membantu tubuh membakar lemak dan menjadikan sel lebih sensitive terhadap insulin
Umur yang meningkat
Peningkatan umur terutamanya selepas umur 45 tahun akan meningkatkan risiko terhadap masalah ini. Ini adalah kerana, peningkatan umur akan menyebabkan seseorang itu menjadi kurang aktif, dan hal ini akan mendorong kepada peningkatan berat badan seterusnya menjurus kepada rintangan tindak balas terhadap insulin
Mempunyai ahli keluarga terdekat yang menghidap Diabetes Mellitus Jenis II
Bangsa
Mereka yang berbangsa Amerika, Afrika-Amerika, Hispanik, Asia-Amerika dan penduduk kepulauan Pasifik adalah lebih berisiko meskipun kaitannya masih kurang jelas.
Penghidap diabetes ketika mengandung atau (Gestational Diabetes) dan anak yang dikandungnya lebih berisiko untuk menghidap masalah ini
‘Polycystic Ovarian Syndrome’ (PCOS)
Penyakit ini meningkatkan risiko seseorang wanita menghidapnya
Masalah tidur
Seseorang yang mengalami masalah untuk tidur juga lebih berisiko untuk menghidap masalah intolerensi glukosa ini. Contohnya penghidap (Obstructive Sleep Apnoea) atau mereka yang bekerja syif yang tidak menentu.
Mencegah dan merawat prediabetes
Tiada rawatan yang spesifik bagi masalah ini. Namun begitu, amalan gaya hidup yang sihat dapat mencegah, merawat serta menghalang keadaan ini daripada menjadi lebih buruk seperti berlakunya diabetes mellitus jenis dua, risiko sakit jantung dan strok.
Dalam satu kajian berkenaan pencegahan diabetes, perkara-perkara yang perlu diambil berat adalah:
Mengawal berat badan
Penghidap prediabetes disarankan mengurangkan 5-10% dari berat badan mereka untuk mengelakkan penyakit diabetes. Dengan mengawal berat badan seseorang itu turut dapat mencegahnya daripada berlaku.
Senaman dan aktiviti fizikal
Melakukan aktiviti fizikal atau senaman secara konsisten dapat mencegah dan mengawal masalah ini dari menjadi lebih teruk. Aktiviti seperti berbasikal, berenang atau berjalan laju adalah disarankan dilakukan selama 30 minit setiap hari.
Pemakanan seimbang
Makanan untuk prediabetes yang disarankan adalah yang kaya dengan serat iaitu sayur-sayuran, buah-buahan serta biji-bijirin. Serat atupun ‘fiber’akan membantu seseorang itu untuk berasa lebih cepat kenyang dengan kuantiti makanan yang sedikit.
Pantang untuk prediabetes pula adalah makanan yang tinggi kalori, lemak dan gula. Mengecilkan saiz hidangan juga membantu dalam mencegah dan merawat masalah ini.
Paras kolestrol dan tekanan darah juga harus diambil perhatian agar ia dapat mengurangkan risiko komplikasi seperti serangan jantung dan strok.
Jawapan bagi pertanyaan mengenai adakah prediabetes boleh sembuh sepenuhnya bergantung kepada individu. Dengan usaha yang berterusan seperti mengurangkan berat badan dan melakukan aktiviti riadah dapat mengembalikan tindak balas sel terhadap insulin serta meningkatkan pengeluaran hormon insulin daripada pankreas dan disarankan kepada pesakit yang menghidapnya sebagai salah catu cara sembuhkan prediabetes.
Komplikasi prediabetes
Bagi pesakit prediabetes yang tidak mengambil langkah-langkah yang baik untuk memulihkan masalah ini, berikut merupakan komplikasi yang boleh berlaku akibat penyakit diabetes mellitus jenis II, iaitu komplikasi terpenting bagi masalah prediabetes.
Tekanan darah tinggi
Paras kolestrol tinggi
Masalah sakit jantung
Angin ahmar atau strok
Masalah kerosakan buah pinggang
Masalah penglihatan
Masalah pembuluh darah tersumbat