Kencing Manis

Ubat Dan Rawatan Penyakit Diabetes Jenis 2

Baca Soalan

  • Kencing manis atau diabetes mellitus ialah penyakit yang disebabkan oleh insulin yang kurang atau tiada (Diabetes Jenis 1) atau kerana rintangan badan terhadap hormon insulin (Diabetes Jenis 2) dan menyebabkan kadar gula tinggi dalam darah.
  • Diabetes jenis 2 merupakan jenis yang paling banyak. Penyakit ini iadalah penyakit kronik yang mana ia juga memerlukan rawatan untuk jangka masa yang panjang dan terutamanya mereka yang mempunyai banyak risiko dan komplikasi.
  • Terdapat banyak komplikasi yang tidak diingini jika kadar gula dalam darah tinggi untuk tempoh jangka masa yang panjang. Oleh itu rawatan untuk kencing manis amatlah penting untuk meminimakan komplikasi ini.
  • Berikut merupakan tujuan mengapa diabetes mellitus jenis 2 harus dirawat:
    • Mengawal dan mengurangkan simptom dan gejala kencing manis dan komplikasinya

    • Mengurangkan komplikasi seperti sakit jantung, strok, masalah saraf, buta dan sebagainya

    • Memanjangkan jangka hayat pesakit kencing manis

    • Menambah baik kualiti hidup pesakit kencing manis

    • Mengajar pesakit dan keluarga tentang kencing manis jenis 2 seperti komplikasi dan langkah pencegahan

  • Oleh kerana rawatan kencing manis agak menyeluruh dan memerlukan banyak perhatian dari golongan pekerja kesihatan dan keluarga. Perkara ini boleh dicapai dengan mewujudkan satu pasukan dengan pelbagai latar belakang kerjaya atau dikenali sebagai Multidisciplinary Team (MDT).
  • Mereka termasuklah:
    • Doktor pakar
    • Doktor
    • Jururawat awam atau diabetes
    • Ahli fisioterapi
    • Ahli terapi kaki(Podiatrist)
    • Pakar pemakanan
    • Pengajar diabetes
    • Keluarga pesakit
  • Dengan cara ini, rawatan menyeluruh boleh diberikan dan kualiti serta jangka hayat pesakit boleh ditingkatkan. Setiap profesional mempunyai skop kerja yang berbeza namun memerlukan antara satu sama lain.
  • Berikut merupakan contoh profesional yang terlibat:
    • Doktor Pakar/Doktor - membuat diagnosis, membuat pelan penjagaan pesakit, memberi preskripsi ubat, memantau perkembangan pesakit dan komplikasi jika ada. Mereka juga bertindak sebagai ketua pasukan.

    • Jururawat awam/Jururawat diabetes - memantau dan membantu pesakit secara menyeluruh dengan lebih rapat dan teliti.

    • Dietician - mengajar pesakit tentang makanan untuk pesakit kencing manis dan merangka jadual pemakanan jika perlu.

    • Ahli terapi kaki(Podiatrist) - memeriksa kaki pesakit dan menjaga untuk mengelakkan sebarang komplikasi seperti ulser dan ‘diabetic foot’.

  • Untuk memulakan rawatan, perubahan gaya hidup terlebih dahulu amatlah penting. Ini kemudian diikuti dengan penggunaan ubat dan suntikan insulin.
  • Komplikasi juga harus dirawat dan dielakkan. Keluarga pesakit juga perlu terlibat dalam memastikan pemantauan secara menyeluruh boleh dilakukan.

Jenis ubat untuk merawat kencing manis jenis 2

  • Ubat untuk mengawal kencing manis jenis 2 boleh dibahagikan kepada 2 iaitu agen hypoglisemia dan suntikan insulin. Sebagai langkah permulaan, penggunaan agen hipoglisemia terlebih dahulu adalah lebih baik sekiranya perubahan gaya hidup tidak membantu mengawal gula dalam darah.
  • Terdapat beberapa jenis ubat kencing manis dan setiap kategori berfungsi menurunkan gula dalam darah dengan mekanisma yang berbeza.
  • Contoh jenis agen hipoglisemia adalah:
    • Metformin
    • Sulfonylureas
    • Biguanides
    • Thiazolidinediones
    • DPP-4 inhibitors
    • GLP-1 receptor agonists
    • SGLT2 inhibitors
    • Meglitinides
  • Sekiranya pengambilan ubat-ubat ini tidak menurunkan kadar gula dalam darah, insulin boleh digunakan, seperti:
    • Insulin glulisine (Apidra)
    • Insulin lispro (Humalog)
    • Insulin aspart (Novolog)
    • Insulin glargine (Lantus) 
  • Sama seperti ubat di atas, setiap insulin agak berbeza dari segi penggunaan dan mekanisma rawatan.
  • Selain itu juga, ubat untuk merawat penyakit kronik yang mungkin dihidapi oleh pesakit seperti kolesterol tinggi dan darah tinggi juga perlu diberi perhatian agar tidak bertindak balas sesama sendiri.
  • Sebagai contoh thiazide ialah sejenis ubat yang digunakan dalam rawatan penyakit jantung dan darah tinggi namun ia juga akan menyebabkan gula tinggi dalam darah. Hal ini perlu dibincang bersama doktor untuk merangka rawatan yang paling sesuai untuk pesakit.
  • Antara perkara lain yang boleh dibincangkan ialah kesan sampingan ubat ini dan komplikasi yang boleh terjadi seperti paras gula rendah dalam darah (hypoglycaemic) yang agak berbahaya bagi aktiviti seperti berenang dan memandu.

Tips mengubati kencing manis jenis 2

  • Terdapat beberapa tips untuk pesakit kencing manis jenis 2:
    • Mereka perlu memeriksa paras gula dalam darah mereka dengan glukometer setiap hari dan merekodkan dalam buku khas. Pemeriksaan perlu dilakukan 2 kali sehari iaitu pada setiap pagi dan petang. Bacaan ini perlu direkodkan dan dipantau agar ia berada dalam paras yang dibenarkan.

    • Jika pesakit menggunakan insulin - periksa teknik suntikan insulin, periksa tempat insulin dicucuk, ubah dos berdasarkan aktiviti agar tiada komplikasi seperti hipoglisemia. Sediakan biskut atau coklat sekiranya ingin memandu dan sekiranya terdapat simptom hipoglisemia seperti pening atau pitam, berhenti sebentar di tempat yang selamat dan ambil makanan ini.

    • Selalu memeriksa kaki supaya tiada luka atau ulser. Jalani pemeriksaan mata setiap tahun untuk mengesan retinopati pada peringkat awal. Berjumpa doktor 2 kali setahun untuk membincangkan keadaan anda.

    • Berinteraksi dengan mereka yang juga mempunyai kencing manis untuk sokongan moral dan petua lain.

    • Mengambil serius tentang pemakanan yang sihat dan seimbang

    • Nasihatkan sanak saudara untuk mengawal pemakanan kerana mereka juga mempunyai risiko menghidapi penyakit keturunan ini.

    • Lakukan ujian minda dan mental untuk mengesan tanda-tanda depressi.

Banyak lagi tips yang tersedia. Sila berjumpa dengan doktor anda untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

Written by: SASHINI A/P SEENIVASAGAM

MBBS (Melaka-Manipal)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?