Anda Mungkin Dijangkiti HIV/AIDS? Ketahui Apa Yang Perlu Dibuat
Menerima hakikat bahawa anda merupakan suspek pesakit HIV/AIDS, pastinya sukar. Penyebaran HIV adalah melalui cecair badan dan lazimnya berlaku disebabkan hubungan seks bebas atau penggunaan jarum suntik. Jika anda terlibat dengan perkara sedemikian, bermakna anda mungkin berisiko tinggi untuk dijangkiti. Langkah awal perlu diambil untuk mencegah diri anda daripada terkena jangkitan atau komplikasi HIV/AIDS. Apa yang perlu anda lakukan jika anda telah terdedah kepada jangkitan HIV? Ikuti artikel ini untuk kupasan lanjut.
Apa Yang Perlu Anda Buat Jika Anda Telah Terdedah Kepada HIV
Jalani Ujian HIV
Salah satu cara untuk mengetahui status anda dengan pasti adalah dengan menjalani ujian saringan HIV. HIV biasanya didiagnosis dengan ujian serologi atau ujian darah untuk mengetahui adanya antibodi terhadap virus di dalam badan. Ujian ini boleh dilakukan atas dasar sukarela, tanpa nama atau secara sulit. Anda boleh menjalani ujian di mana-mana Klinik Kesihatan yang dikendalikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri.
Seberapa cepat setiap ujian HIV dalam mengesan jangkitan adalah berbeza-beza. Berapa lama masa infeksi HIV? Waktu antara ketika anda mendapat virus dan ketika ia dapat dikesan disebut sebagai “window period” atau tempoh inkubasi. Secara umum, tubuh badan anda boleh mengambil masa 3 hingga 12 minggu untuk membentuk antibodi yang cukup bagi mengesan jangkitan HIV. Oleh yang demikian, lazimnya, ia memerlukan beberapa hari hingga beberapa minggu untuk mendapatkan hasil ujian HIV. Namun begitu, kaedah ujian cepat (rapid test) akan digunakan untuk pemeriksaan saringan HIV dimana ia akan memberikan hasil ujian hanya dalam masa 30 minit.Sekiranya hasil ujian adalah reaktif, maka sampel darah anda akan dibawa dan dihantar ke Pusat Pemeriksaan HIV di makmal hospital untuk ujian pengesahan.
Selain ujian darah, pemeriksaan terperinci termasuk penilaian awal mengenai sejarah lengkap berkenaan seksual dan ubat-ubatan adalah diperlukan. Anda tidak perlu khawatir kerana soalan yang diajukan berupa soalan yang terbuka, tidak menghukum dan bukan berbaur stigma. Pemeriksaan fizikal yang lengkap juga perlu dilakukan untuk mencari secara khusus tanda-tanda yang mungkin menunjukkan tahap penyakit.
Persetujuan anda diperlukan sebelum pemeriksaan. Anda juga akan diberikan kaunseling pra ujian. Kaunseling pra ujian ini akan diberikan oleh Pegawai Perubatan atau Penolong Pegawai Perubatan. Di samping itu, kaunseling pasca ujian tetap akan diberikan tidak mengira sama ada hasil ujian tersebut positif atau negatif.
# Hasil Ujian HIV
Jika hasil ujian rapid adalah tidak reaktif atau NEGATIF, anda akan diberi penjelasan mengenai tempoh inkubasi dan anda disarankan untuk menjalani ujian saringan sekali lagi setelah 6 bulan dari tarikh ujian saringan. Anda akan diberi pilihan sama ada untuk membuat temujanji berikutnya atau terus ke Klinik Kesihatan. Ujian boleh menunjukkan hasil yang negatif walaupun anda sebenarnya telah dijangkiti HIV. Perkara ini boleh berlaku jika anda masih berada dalam tempoh inkubasi, iaitu ketika antibodi HIV dalam badan belum dihasilkan.
Manakala, sekiranya keputusan ujian rapid adalah reaktif atau POSITIF, maka anda akan diberi penerangan dan nasihat untuk melakukan ujian pengesahan. Kemudian, anda akan dirujuk ke mana-mana Klinik Kesihatan yang menyediakan rawatan HIV dimana anda boleh memilih lokasi yang berdekatan dengan tempat tinggal anda. Selain rawatan ubat-ubatan, perkhidmatan kaunseling turut disediakan. Semasa kaunseling pasca ujian, perbincangan mengenai hal pemberitahuan kepada pasangan yang terlibat akan dilakukan oleh kaunselor. Privasi anda akan dijaga sepanjang masa, bagaimanapun, jika ada kemungkinan bahawa pasangan anda berisiko dijangkiti, kaunselor anda akan membincangkan keperluan untuk anda memberitahu pasangan dan kaunseling selanjutnya akan diberikan. Hal ini supaya pasangan anda juga dapat menjalani ujian saringan HIV sekaligus mencegah penularan serta komplikasi HIV/AIDS jika jangkitan virus dapat dikesan dengan cepat.
Rawatan Ubat-Ubatan
Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) menawarkan ubat-ubatan HIV iaitu ubat highly active antiretroviral therapy (HAART) yang merupakan kombinasi sekurang-kurangnya 3 jenis ubat anti-HIV yang dapat mengurangkan jumlah virus HIV dalam badan serta keparahan penyakit HIV/AIDS. Rawatan ini disediakan di klinik kesihatan terpilih dan kebanyakan hospital KKM.
Tambahan lagi, bukan semua pesakit HIV memerlukan rawatan anti-HIV pada peringkat awal. Keputusan untuk memulakan rawatan adalah bergantung kepada penilaian doktor berdasarkan kondisi anda serta jumlah sel T CD4 dalam badan.
Rawatan ubat-ubatan yang diberikan untuk tujuan pencegahan kepada individu yang disyaki mendapat jangkitan HIV ialah PEP. Apakah itu PEP? PEP (Post-Exposure Prophylaxis) atau Profilaksis Pasca Pencegahan adalah ubat antiretroviral (ART) yang idealnya diambil dalam masa 2 jam atau tidak lewat daripada 72 jam (tiga hari) setelah disyaki terdedah kepada HIV. Ianya perlu diambil secepat mungkin dan semakin cepat PEP diambil, lebih cenderung untuk menghentikan jangkitan HIV.
Di Malaysia, wanita yang mendapat jangkitan HIV semasa kehamilan berhak mendapat profilaksis HIV atau anti-retroviral (ARV) secara percuma atau jika perlu, HAART. Tujuan terapi diberikan pada wanita mengandung adalah untuk rawatan kepada si ibu serta mengurangkan kemungkinan penularan virus terhadap janin atau bayi baru lahir. Sebilangan ubat HIV mungkin tidak selamat untuk wanita mengandung. Pastikan anda memberitahu doktor atau pegawai kesihatan jika anda memiliki potensi untuk hamil agar ubat yang sesuai dapat diberikan kepada anda.
Tambahan lagi, doktor anda akan memberitahu sama ada pengambilan PEP sesuai untuk kondisi anda atau tidak. Sila berjumpa dengan doktor dengan kadar yang segera sekiranya anda menjawab "Ya" untuk salah satu daripada soalan berikut:
Adakah anda mangsa rogol atau gangguan seksual?
Adakah anda pernah melakukan hubungan seks tanpa perlindungan melalui faraj, dubur mahupun oral (mulut) dengan seseorang yang positif HIV atau tidak diketahui status HIVnya? (Hubungan seksual tanpa perlindungan atau penggunaan kondom yang terkoyak). Namun, risiko penularan secara seksual daripada pesakit HIV yang mempunyai viral load sedikit atau tidak dapat dikesan boleh diabaikan. Untuk kepastian, sila bercakap dengan doktor anda mengenai perkara sedemikian.
Adakah anda berkongsi jarum (untuk penggunaan ubat-ubatan, hormon atau tatu) atau peralatan suntikan ubat lain dengan seseorang yang anda tahu berstatus HIV positif atau tidak pasti?
# Tindakan Segera Selepas Pendedahan Di Tempat Kerja
Walaupun PEP belum terbukti berfungsi untuk semua pendedahan berisiko tinggi, akan tetapi, saintis menunjukkan bahawa ianya dapat menghentikan jangkitan HIV dengan kadar 80% atau setiap 8 daripada 10 kes yang dilaporkan terutama bagi kemalangan tempat kerja seperti tertusuk jarum suntikan pesakit HIV dalam kalangan jururawat. Justeru, PEP juga dipercayai dapat membantu terhadap pendedahan HIV jenis lain. PEP yang merupakan rawatan pencegahan setelah terdedah kepada jangkitan HIV ini adalah gabungan pil dan perlu diambil selama 1 bulan. Setelah menamatkan rawatan PEP, anda perlu menjalani ujian HIV sekali lagi. Berikut adalah apa yang anda perlu lakukan sekiranya terdedah kepada HIV di tempat kerja.
Kecederaan pada permukaan kulit
Darah dari tempat luka perlu dibersihkan dengan menggunakan tisu dan segera basuh dengan sabun dan air. Sekiranya perlu, disinfeksi dan balut kawasan kulit yang luka.
Kecederaan pada mukosa
Kecederaan pada mukosa boleh melibatkan perkara seperti cecair mengandungi virus masuk ke mata. Segera basuh dan bilas dengan air.
Petugas kesihatan perlu melaporkan kepada penyelia lokasi sejurus selepas kecederaan berlaku untuk rekod dokumentasi.
Ketahui Perkara Penting Setelah Mendapat PEP
Pastikan untuk melindungi diri anda dan juga orang lain daripada jangkitan HIV semasa atau setelah anda selesai menggunakan PEP.
Anda dinasihatkan untuk tidak melakukan hubungan seks atau gunalah kondom setiap kali anda melakukan hubungan seks.
Jangan mengambil dadah atau melakukan perkongsian jarum suntik.
Jika anda seorang ibu, anda dinasihatkan untuk tidak menyusukan anak anda.
Bagaimana Untuk Mengenal Pasti Gejala Jangkitan HIV Selepas Pendedahan?
Gejala jangkitan HIV ini muncul secara berbeza-beza bagi setiap individu. Lebih kurang dua pertiga individu akan mengalami gejala seperti seperti demam, keletihan, sakit otot, selsema dan sakit tekak bermula 2 hingga 4 minggu setelah mereka dijangkiti. Walau bagaimanapun, memandangkan gejala yang muncul adalah ringan, ramai pesakit tidak menyedari gejala sama sekali atau menganggap ia hanya merupakan gejala biasa walhal ia merupakan tanda ada virus dalam badan anda. Perkara ini menunjukkan betapa pentingnya anda melakukan ujian saringan HIV jika anda telah menduga bahawa anda mungkin terkena virus ini.
Lindungi Diri Anda Dan Orang Lain
Sementara menunggu status anda atau jika anda telah mengetahui bahawa anda positif HIV, lakukanlah langkah yang selamat untuk melindungi orang lain.
Jujur dengan pasangan anda. Beritahu mereka tentang status HIV anda supaya mereka juga boleh menjalani ujian saringan serta rawatan yang diperlukan. Berdasarkan pengalamanPLHIV (People Living with HIV) atau pesakit HIV yang dilaporkan, kualiti hidup PLHIV boleh diperbaiki jika diagnosis dilakukan dengan cepat. Kisah PLHIV menjadi pedoman dan pengajaran supaya tindakan yang cepat perlu diambil bagi mengesan jangkitan.
Tidak menderma darah kecuali jika anda sudah disahkan negatif HIV oleh doktor atau pegawai perubatan
Rujukan: