Apakah Jenis Rawatan dan Remedi Tradisional yang Berkesan untuk Merawat Denggi?
Anda tentu pernah terdengar akan kematian akibat demam denggi. Adakah penyakit ini begitu berbahaya?
Demam denggi adalah penyakit yang disebarkan oleh nyamuk, dan ia memberi kesan kepada sekitar 400 juta orang di seluruh dunia setiap tahun.[1] Hampir separuh daripada populasi dunia, atau kira-kira 4 bilion orang, tinggal di kawasan berisiko denggi.[2] Malaysia merupakan negara yang mengalami jumlah kes demam denggi yang tinggi.[2] Antara negeri yang paling banyak mengalami wabak adalah Selangor.[3] Adakah denggi boleh dirawat?
Tentu ramai yang tertanya-tanya, bagaimana cara mengatasi demam denggi? Apakah ubat yang boleh diberikan, dan adakah ia boleh disembuhkan? Bagaimana pula dengan rawatan tradisional? Mari kita lihat lebih lanjut tentang cara merawat demam denggi.
Bagaimana Untuk Mengetahui Jika Anda Menghidap Demam Denggi?
Demam denggi memberi kesan kepada semua peringkat umur. Tentu anda berasa risau. Jadi bagaimana untuk tahu jika anda menghidap denggi atau tidak? Walaupun 3 daripada 4 kes demam denggi boleh bermula dengan asimtomatik (tiada simptom) atau menunjukkan simptom yang ringan, sesetengah individu boleh mendapat denggi teruk yang mungkin kelihatan seperti gejala demam selesema pada mulanya tetapi boleh melarat ke keadaan yang lebih serius.[2]Antara simptom biasa demam denggi termasuklah[2]:
- Sakit kepala yang teruk
- Sakit di belakang mata
- Sakit otot dan sendi
- Mual
- Muntah
- Bengkak kelenjar
- Ruam
Doktor sering mendiagnosis denggi berdasarkan simptom klinikal pesakit sebelum disahkan dengan ujian makmal.[4] Jika anda mengalami sebarang simptom ini, penting untuk segera berjumpa dengan profesional kesihatan bagi mendapatkan diagnosis dan rawatan yang tepat. Ini dibuat berdasarkan penilaian terhadap sejarah dan keadaan pesakit dan tanda-tanda demam denggi yang dialami iaitu, demam panas pada suhu yang tinggi (40℃) beserta sekurang-kurangnya 2 simptom yang disebut sebelum ini.[2]
Bagaimana Cara Merawat Demam Denggi?
Tiada rawatan khusus untuk denggi.[5] Jadi, apakah yang boleh dilakukan jika anda mempunyai simptom denggi?
Selalunya, pesakit akan dipantau dengan teliti dan diberikan rawatan sokongan[5] untuk menguruskan simptom serta melegakan ketidakselesaan. Tapi, apa yang dimaksudkan dengan ‘rawatan sokongan' ini?
Rawatan sokongan adalah langkah yang diambil untuk meredakan simptom dan membantu tubuh kita melawan jangkitan termasuklah penggunaan ubat tahan sakit dan melegakan demam seperti paracetamol.[6] Namun, pernahkah anda terfikir bahawa beberapa jenis ubat tahan sakit, seperti Aspirin dan NSAID, sebaiknya dielakkan? Ini penting untuk mengurangkan risiko pendarahan[6] yang boleh menjadi masalah serius bagi penghidap demam denggi.
Sekiranya anda menghidap denggi yang serius contohnya denggi berdarah akibat tahap platlet dalam darah yang rendah, anda mungkin akan dimasukkan ke wad untuk rawatan dan pemantauan.[7]
Antara rawatan yang mungkin diberikan selain ubat tahan sakit dan ubat demam termasuklah rawatan sokongan. Rawatan sokongan bagi pesakit demam denggi boleh diberikan dalam bentuk:
- Penghidratan melalui intravena (iv)[8]
- Transfusi darah atau platelet jika perlu[8]
Cara lain untuk merawat denggi?
1. Makan makanan Berkhasiat dan Minum Air Yang Cukup
Gejala-gejala denggi seperti mual, muntah boleh menyebabkan kehilangan air dan tenaga. Pesakit denggi harus mengambil makanan yang seimbangdan berkhasiat serta minum air dengan secukupnya bagi membantu pemulihan.[8]
Pengambilan air yang cukup bagi mengelakkan dehidrasi adalah amat penting ketika demam denggi. Pilihan sumber cecair boleh dipelbagaikan seperti jus buah dan minuman tenaga.[8]Sekiranya pesakit tidak boleh minum air secara oral, ia perlu dirujuk ke hospital untuk terapi cecair secara intravena seperti yang dinyatakan di atas.[8]
3. Rehat Secukupnya
Pesakit denggi akan mengalami sakit badan, sendi, dan berasa lemah. Gejala demam juga boleh disertai dengan sakit kepala dan mata yang teruk.[2]
Oleh itu, pesakit demam denggi amat disarankan untuk mendapatkan rehat yang cukup bagi membantu pemulihan daripada jangkitan ini.[8] Elakkan tekanan sama ada secara fizikal atau mental yang boleh memburukkan keadaan anda.
Adakah Rawatan Tradisional Berkesan?
Pernah dengar penawar demam denggi dengan rawatan tradisional seperti makan atau minum jus daun betik dan sup ketam? Adakah benar ia berkesan?
Terdapat kajian yang menunjukkan kegunaan jus/ekstrak daun betik, namun peranan ekstrak betik dan sup ketam dalam rawatan denggi perlu dikaji dengan lebih lanjut.[9],[10],[11] Herba ini tidak disarankan untuk diambil tanpa nasihat dan pengawasan doktor.[10]
Menu tertentu yang dikatakan sebagai makanan untuk demam denggi seperti sup ketam tidak dibuktikan memberi tidak balas terhadap fisiologi denggi, tetapi ia boleh diambil sebagai makanan berkhasiat untuk pemulihan tenaga dan bukannya sebagai rawatan utama denggi.[11]
Kata orang, mencegah lebih baik daripada mengubati. Oleh itu, selain rawatan, pencegahan demam denggi seperti menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes dan perlindungan kendiri daripada gigitan nyamuk juga adalah penting.
Mengetahui dengan lebih lanjut mengenai langkah pencegahan juga amat penting. Baca artikel salanjutnya untuk mempelajari tentang kawalan vektor, kaedah pencegahan denggi bersepadu, atau berbincang dengan doktor anda mengenai kaedah pencegahan denggi terkini.
Rujukan
Centers for Disease Control and Prevention. (2022, 3 Ogos). Dengue. Centers for Disease Control and Prevention. Diperoleh pada 25 Ogos 2022, dari Dengue | CDC.
World Health Organization. Dengue and Severe Dengue. Tersedia di Dengue and severe dengue. Diakses pada 24 Ogos 2022.
IDengue_Versi 3.0. iDengue_Versi 3.0. (n.d.). Diperoleh pada 8 September 2022, dari https://idengue.mysa.gov.my/.
Institute of Medicine (US) Committee on Gulf War and Health. Gulf War and Health: Volume 2. Insecticides and Solvents. National Academies Press (US); 2003 |https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK143156/ | Diakses pada 30 Oktober 2024.
Centers for Disease Control and Prevention. (2019, 3 Mei). Treatment. Centers for Disease Control and Prevention. Diperoleh pada 13 September 2022, dari https://www.cdc.gov/dengue/healthcare-providers/treatment.html.
MIMS Malaysia. Dengue Treatment. Tersedia di https://specialty.mims.com/dengue/treatment?channel=infectious-diseases. Diakses pada 24 Ogos 2022.
MIMS Malaysia. Dengue Diagnosis. Tersedia di Dengue Diagnosis | MIMS Myanmar. Diakses pada 24 Ogos 2022.
MIMS Malaysia. Supportive Therapy. Tersedia di Supportive Therapy | MIMS Singapore. Diakses pada 24 Ogos 2022.
Soobitha Subenthiran, Tan Chwee Choon, Kee Chee Cheong, Ravindran Thayan, Mok Boon Teck, Prem Kumar Muniandy, Adlin Afzan, Noor Rain Abdullah dan Zakiah Ismail. (2013). Carica papaya leaves juice significantly accelerates the rate of increase in platelet count among patients with dengue fever and dengue haemorrhagic fever. Institute for Medical Research, Malaysia - Institute for Medical Research, Malaysia. Diperoleh pada 8 September 2022, dari https://www.imr.gov.my/en/component/content/article/12-publication/1967-p13-082.html.
Kementerian Kesihatan Malaysia. Langkah-Langkah Penyediaan Jus Daun Betik. Pusat Penyelidikan Perubatan Herba Institut Penyelidikan Perubatan, 1–2. Tersedia di Langkah-langkah penyediaan jus daun betik .
Ismail, I. S., Hairon, S. M., Yaacob, N. M., Besari, A. M., & Abdullah, S. (2019, Mei). Usage of traditional and complementary medicine among dengue fever patients in the Northeast region of Peninsular Malaysia. The Malaysian journal of medical sciences : MJMS. Diperoleh pada 8 September 2022, dari Usage of Traditional and Complementary Medicine among Dengue Fever Patients in the Northeast Region of Peninsular Malaysia - PMC.
C-ANPROM/MY/DENV/0384 JAN 2025
Artikel ini dibawakan kepada anda oleh Takeda Malaysia Sdn. Bhd.
Penafian: Maklumat di dalam laman web ini tersedia kepada umum untuk tujuan maklumat sahaja; ia tidak boleh digunakan untuk mendiagnosis atau merawat masalah kesihatan atau penyakit. Ia tidak bertujuan untuk menggantikan khidmat nasihat daripada ahli perubatan bertauliah. Sila rujuk kepada ahli perubatan bertauliah untuk mendapatkan nasihat perubatan.