Badan Lemah Selepas Pulih. Adakah Ini Kesan Denggi?
Demam denggi adalah penyakit yang berpotensi membawa maut yang disebabkan oleh virus denggi. Denggi adalah penyakit kompleks yang disebabkan oleh empat jenis virus yang berbeza (DENV-1, 2, 3 dan 4). Anda berkemungkinan boleh dijangkiti sebanyak empat kali sepanjang hayat anda.[1]
Walaupun penyakit denggi lebih kerap berlaku di kawasan tropika dan subtropika yang sesuai untuk pembiakan nyamuk, penyakit ini boleh berlaku di mana-mana sahaja di dunia ini dan boleh menjangkiti sesiapa sahaja.[2]
Sejak dua dekad lalu, kes denggi yang dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meningkat sebanyak 10 kali ganda, daripada 505,430 kes pada tahun 2000 kepada lebih 5.2 juta pada tahun 2019.[2] Antara 2000 dan 2015, jumlah kematian yang dilaporkan turut meningkat daripada 960 kepada 4,032 kes.[3]
Apakah itu demam denggi parah?
Demam denggi yang tidak dirawat dengan betul atau tidak dikesan lebih awal boleh membawa maut. Risiko untuk mendapat denggi yang teruk juga lebih tinggi jika seseorang dijangkiti buat kali kedua dengan jenis virus yang berbeza.[2]
Demam denggi parah (severe dengue) boleh berlaku sebagai demam denggi berdarah (DHF) dan sindrom renjatan denggi (DSS).
Demam Denggi Berdarah berlaku apabila tahap platelet dalam darah menurun, mengakibatkan kebocoran plasma.[1] Keadaan ini menyebabkan pendarahan dan kekurangan cecair dalam saluran darah.
Demam Denggi Berdarah boleh menunjukkan gejala seperti:
Pendarahan serius dari gusi, hidung, atau di bawah kulit, serta organ dalaman.[1]
Pengumpulan cecair, yang dalam sesetengah kes boleh berlaku di bahagian dada atau abdomen.[1]
Komplikasi Demam Denggi Berdarah yang boleh terjadi:
Kerosakan organ, seperti hati dan buah pinggang, serta organ lain.[4]
Sindrom Renjatan Denggi, keadaan mengancam nyawa apabila aliran darah ke organ tidak mencukupi.[1] Gejalanya termasuk tekanan darah rendah, denyut jantung yang lemah tetapi cepat, serta kulit berasa sejuk dan berpeluh.[1]
Apakah Kesan Jangka Panjang Selepas Jangkitan Demam Denggi?
Menurut kajian, demam denggi boleh memberi kesan jangka panjang kepada pesakit walaupun telah sembuh.[5] Antara gejala ‘post-dengue’ atau ‘long dengue’ yang mungkin dialami termasuklah[5]:
Sakit otot (myalgia)
Sakit sendi
Lemah badan
Sakit kepala
Demam ringan
Keletihan
Kebimbangan atau kemurungan
Masalah memori
Apakah yang perlu dilakukan untuk pemulihan demam denggi?
Walaupun tiada ubat khusus untuk demam denggi,[2] rawatan awal yang tepat boleh membantu pemulihan. Rawatan biasanya tertumpu kepada rawatan sokongan seperti mencegah dehidrasi serta melegakan kesakitan dan demam.[6]
Banyakkan Berehat[6]
Berehat secukupnya adalah penting untuk membantu tubuh pulih daripada demam denggi. Sebaik-baiknya elakkan aktiviti berat dan berehat sekurang-kurangnya seminggu selepas demam reda.
Kekal Terhidrat[7]
Seseorang akan mudah kehilangan cecair apabila mengalami gejala demam denggi seperti demam dan muntah-muntah. Oleh itu, adalah penting untuk kekal terhidrat dengan meminum banyak cecair. Air, jus dan minuman tenaga adalah pilihan yang baik.[6] Elakkan kafein dan alkohol, kerana ia boleh menyebabkan dehidrasi.[7],[8]
Dapatkan Rawatan Jika Perlu
Peluang kematian akibat demam denggi yang teruk dianggarkan menurun daripada sekitar 10% kepada kurang daripada 1% dengan pengesanan awal beserta dengan rawatan perubatan.[1] Oleh itu, dengan mendapatkan rawatan perubatan yang segera adalah sangat penting sekiranya anda mengalami gejala seperti sakit perut yang teruk, muntah berterusan, pendarahan, atau pernafasan yang laju.[2]
Walaupun masih tiada rawatan khusus untuk demam denggi,[2] langkah pencegahan boleh diambil oleh semua orang. Strategi pencegahan denggi yang menyeluruh melibatkan kawalan vektor, pendidikan awam, perlindungan peribadi, pemantauan penyakit, dan vaksinasi.
Berbincanglah dengan doktor anda hari ini mengenai langkah pencegahan denggi, termasuk vaksinasi.
Rujukan
U.S. Department of Health and Human Services Centers for Disease Control and Prevention. (2009). Dengue and Dengue Haemorrhagic Fever | Diperoleh pada 26 Ogos 2022 dari https://tinyurl.com/mptnjuys
World Health Organisation. Dengue and Severe Dengue | Diperoleh pada 26 Ogos 2022 dari https://tinyurl.com/4vvup2j5
World Health Organisation. (2022). National Guideline for Clinical Management of Dengue | Diperoleh pada 26 Ogos 2022 dari https://tinyurl.com/5b9uhsa8
Timothy J. Schaefer, Prasan K. Panda, & Robert W. Wolford. (2022). Dengue Fever. National Library of Medicine. StatPearl Publishing | Diperoleh pada 26 Ogos 2022 dari https://tinyurl.com/223vjd8e
Long-term persistence of clinical symptoms in dengue-infected persons and its association with immunological disorders. (2010, 26 November). ScienceDirect | Diperoleh pada 26 Ogos 2022 dari https://tinyurl.com/yfcx29se
MIMS. Supportive Therapy | MIMS Malaysia | Diperoleh pada 26 Ogos 2022 dari https://tinyurl.com/23p2arr7
Seal, A. D., Bardis, C. N., Gavrieli, A., Grigorakis, P., Adams, J. D., Arnaoutis, G., Yannakoulia, M., & Kavouras, S. A. (2017, 18 Ogos). Coffee with high but not low caffeine content augments fluid and electrolyte excretion at rest. Frontiers in Nutrition | Diperoleh pada 26 September 2022 dari https://tinyurl.com/55e4b846
Polhuis, K. C. M. M., Wijnen, A. H. C., Sierksma, A., Calame, W., & Tieland, M. (2017, 28 Jun). The diuretic action of weak and strong alcoholic beverages in elderly men: A randomized diet-controlled crossover trial. Nutrients | Diperoleh pada 26 September 2022 dari https://tinyurl.com/4ey47e5n
C-ANPROM/MY/DENV/0386 JAN 2025
Artikel ini dibawakan kepada anda oleh Takeda Malaysia Sdn. Bhd. 200901025887 (868989-K)
Penafian: Maklumat di dalam laman web ini tersedia kepada umum untuk tujuan maklumat sahaja; ia tidak boleh digunakan untuk mendiagnosis atau merawat masalah kesihatan atau penyakit. Ia tidak bertujuan untuk menggantikan khidmat nasihat daripada ahli perubatan bertauliah. Sila rujuk kepada ahli perubatan bertauliah untuk mendapatkan nasihat perubatan.