Tanda-Tanda Kanser Kolon: Apakah Yang Disampaikan Oleh Tubuh Badan Anda?
Kanser usus boleh menjejaskan kolon atau rektum dan berkembang secara perlahan-lahan selama beberapa tahun. Pada awalnya, ia bermuncul sebagai polip, pertumbuhan sel kecil bukan kanser. Walau bagaimanapun, polip ini mempunyai potensi untuk berubah menjadi kanser dan merosakkan tisu-tisu sihat.
Kira-kira 100,000 rakyat Malaysia menghidap kanser kolorektal setiap tahun, menjadikannya kanser kedua paling biasa ditemukan di negara ini selepas kanser payudara.
Penyakit ini boleh menyerang sesiapa sahaja, sama ada lelaki atau perempuan, tanpa mengira jantina, usia atau bangsa. Oleh itu, pengesanan awal amatlah penting bagi meningkatkan kadar kelangsungan hidup.
Memahami Kanser Kolorektal
Kanser kolorektal adalah sejenis kanser usus besar dan rektum yang bermula apabila sel kanser mula membentuk tumor atau ketumbuhan abnormal. Sel-sel kanser ini boleh merebak ke nod limfa berdekatan dan bahagian organ badan yang lain.
Faktor Risiko Kanser Kolon
Menurut Institut Kanser Kebangsaan (NCI), terdapat beberapa faktor yang dapat mempengaruhi risiko kanser kolorektal, iaitu:
Umur
Genetik
Gaya hidup
Penyakit radang usus
Obesiti
Gejala Kanser Usus Besar
Meningkatkan kesedaran terhadap simptom kanser kolon adalah penting bagi peningkatan kelangsungan hidup dan hasil rawatan yang lebih baik. Walaupun kanser kolon pada peringkat awal mungkin tidak menunjukkan sebarang tanda amaran, terdapat beberapa gejala pada peringkat lanjut termasuk:
Perubahan Tabiat Usus
Apabila berbincang tentang kesihatan kita, adalah penting untuk memberi perhatian kepada sebarang perubahan dalam tubuh badan kita, walaupun perubahannya adalah kecil. Salah satu gejala yang sering diabaikan dalam kalangan pesakit kanser kolon adalah perubahan dalam tabiat usus yang boleh menjadi tanda kanser kolon.
Ini termasuk keperluan untuk menggunakan tandas dengan kerap dan dan membuang najis yang cair, terutamanya jika terdapat darah pada atau dalam najis. Walaupun gejala adalah disebabkan oleh keadaan yang lain, adalah penting untuk tidak mengabaikannya dan mendapatkan nasihat doktor.
Pendarahan Rektum
Mengalami pendarahan dalam najis atau pada tisu tandas selepas membuang air besar boleh menimbulkan perasaan takut yang tidak diingini.
Walaupun pendarahan rektum boleh disebabkan oleh pelbagai faktor, ia juga boleh menjadi petanda awal kanser kolon. Berbeza dengan buasir atau penyakit fisur dubur, pesakit kanser kolon biasanya tidak berasa sakit ketika mengalami pendarahan dalam najis.
Perlu diingatkan bahawa faktor umur memainkan peranan penting dalam menentukan kemungkinan punca pendarahan rektum. Sekiranya seseorang itu berumur 60 tahun atau lebih dan mengalami pendarahan rektum, ia merupakan tanda bahaya bagi kanser kolon sehingga dibuktikan sebaliknya.
Kehilangan Berat Badan Tanpa Sebab
Penurunan berat badan sering dianggap sebagai sesuatu yang positif, tetapi jika berlaku secara tiba-tiba, ia mungkin menunjukkan masalah kesihatan yang serius, seperti kanser kolon.
Penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan adalah gejala yang membimbangkan yang tidak boleh diabaikan. Ia berlaku apabila berat badan anda berkurangan sebanyak 5% dalam tempoh enam hingga dua belas bulan tanpa membuat sebarang perubahan dalam diet atau senaman.
Ketidakselesaan Pada Bahagian Abdomen
Ketidakselesaan pada bahagian abdomen boleh menjadi gejala yang sukar untuk dikenal pasti dan boleh disalah anggap sebagai masalah lain. Walau bagaimanapun, jika terdapat kesakitan yang berterusan, kembung perut, dan rasa kenyang tanpa makan, itu adalah petanda yang perlu diperhatikan.
Selain itu, terdapat pesakit yang mungkin mengalami kekejangan atau merasa sakit pada bahagian pelvis. Dengan ini, seorang doktor boleh melakukan kesilapan diagnosis untuk keadaan lain seperti refluks asid dan penyakit radang usus jika tidak diperiksa dengan teliti.
Hilang Selera Makan dan Keletihan
Berhadapan dengan kanser boleh jadi pengalaman yang mencabar. Sesetengah pesakit mungkin mengalami kehilangan selera makan yang boleh menyebabkan penurunan berat badan (anoreksia) dan membangkitkan kebimbangan.
Keletihan juga adalah salah satu gejala kanser yang perlu diambil kira. Keletihan yang berkaitan dengan kanser boleh menjadi sangat teruk dan berterusan walaupun selepas rawatan. Gejala ini boleh berlangsung selama beberapa bulan atau lebih lama dan perlu diberikan perhatian.
Ujian Pemeriksaan Kanser Kolon
Pengesanan awal adalah penting bagi mencapai hasil yang baik dan kadar kelangsungan hidup yang lebih tinggi. Ujian pemeriksaan untuk kanser kolon, termasuk kolonoskopi, adalah penting terutamanya bagi individu yang mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap kanser kolon.
Adalah penting untuk berbincang dengan doktor anda mengenai waktu yang sesuai untuk menjalani ujian pemeriksaan dan perubahan gaya hidup yang terbaik untuk mencegah kanser usus besar. Dengan mengetahui tanda-tanda ini, anda dapat mengambil langkah yang diperlukan untuk melindungi diri anda dan orang tersayang daripada risiko kanser ini.
Bagaimana Merawat Kanser Usus Besar?
Rawatan kanser usus berbeza-beza bagi setiap individu dan bergantung kepada tahap perkembangan penyakit.
Ketumbuhan barah atau tumor dalam kolon biasanya dirawat melalui pembedahan. Selain itu, kemoterapi atau radioterapi boleh digunakan untuk membunuh sel-sel kanser. Kombinasi rawatan mungkin diperlukan untuk memastikan semua sel kanser dimusnahkan.
Jika anda mengalami sebarang simptom kanser kolon ini, anda harus berjumpa doktor anda secepat mungkin. Dengan diagnosis dan rawatan yang betul, anda mempunyai peluang yang lebih baik untuk mengalahkan penyakit ini.