Adakah Berat Badan Anda Sesuai Untuk Anda? Ketahui Cara Mudah Kira BMI
Berat badan seseorang itu mempengaruhi penampilan serta keyakinan diri. Terdapat segelintir masyarakat yang sangat obses untuk menjadi kurus dan takut akan kegemukan. Masyarakat seringkali dimomokkan dengan perspektif seperti “kenapa kurus sangat, tak makan ke?” atau “banyak makan, patutlah gemuk”. Jadi, yang manakah terbaik? Adakah kurus itu lebih baik daripada gemuk? Bagaimanakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan gemuk? Untuk menjawab rantaian pertanyaan tersebut, anda perlu mengetahui tentang maksud berat badan ideal dan Indeks Jisim Tubuh (BMI) terlebih dahulu. Ikuti informasi selanjutnya dalam artikel ini.
Bagaimanakah Cara Untuk Mengira BMI?
Formula BMI
Indeks Jisim Tubuh (IJM) atau dalam Bahasa Inggeris disebut Body Mass Index (BMI) adalah formula untuk menilai berat badan berbanding dengan ketinggian anda. Umumnya, BMI merupakan suatu nilai badan seseorang individu berdasarkan kiraan nisbah berat badan dengan ketinggian. Ianya dikira menggunakan formula bmi seperti berikut:
BMI = Berat (kilogram)
________________________
Tinggi (meter) x Tinggi (meter)
Kategori BMI
Setelah mendapatkan hasil pengiraan BMI, maka anda boleh melihat bagaimana status berat badan anda berdasarkan kategori BMI. Kategori BMI menurut Kementerian Kesihatan Malaysia dapat dibahagikan menjadi 4 kategori seperti berikut:
Nilai BMI (kg/m²) | Kategori | Catatan |
18.5 atau kurang | Anda disarankan berbincang dengan doktor akan risiko kepada masalah kesihatan. | |
18.5 hingga 24.5 | bmi normal | Teruskan bersenam dan amalkan pemakanan yang seimbang. |
25 hingga 30 | berat badan berlebihan | Anda berisiko tinggi untuk menghidap penyakit kronik seperti kencing manis. Dapatkan pemeriksaan dan rundingan dengan doktor untuk perubahan gaya hidup sihat bagi memperoleh berat badan ideal |
30 atau lebih | obesiti | Anda amat berisiko tinggi untuk menghidap penyakit kronik seperti penyakit jantung dan kencing manis serta akan menurunkan kualiti kehidupan secara keseluruhan. Anda sangat disarankan untuk mendapatkan pemeriksaan dan rundingan dengan doktor anda. |
Cara untuk mengira BMI amat mudah dimana anda hanya perlu memasukkan berat badan dan tinggi badan anda ke dalam formula BMI seperti yang dinyatakan di atas. Berdasarkan kategori BMI, target nilai BMI yang normal adalah di antara 18.5 sehingga 24.5. Anda hanya perlu mengira dengan matematik mudah sebagai contoh, seorang lelaki dengan ketinggian 1.7 meter dan berat badan 69 kg akan mempunyai BMI:
69/(1.7 x 1.7) = 23.9 kg/m2
Oleh itu, untuk mengira berat badan yang normal untuk anda, anda hanya perlu menggunakan formula BMI dengan memasukkan ketinggian anda. Sebagai contoh, seorang lelaki yang berketinggian 1.7 meter, berat badan ideal lelaki tersebut adalah :
(BMI normal) (tinggi badan x tinggi badan) = berat badan normal / ideal
(18.5 hingga 24.5) (1.7 x 1.7) = 53.5 kg hingga 70.8 kg
Mudah bukan cara kira bmi ? Syabas! Sekarang anda sudah mendapat kepastian sebenar tentang penampilan tubuh badan anda. Gemuk atau kurus bukanlah hanya dinilai berdasarkan mata kasar dan susuk tubuh sahaja, tetapi formula BMI menjadi kayu ukur yang paling tepat. Namun begitu, harus diingat bahawa pengiraan ini hanya sesuai untuk menilai berat badan ideal wanita dan lelaki dewasa yang berusia di antara 18 hingga 64 tahun. Bagi kanak-kanak, adalah kurang sesuai untuk menggunakan formula di atas. Jadi, bagaimanakah cara menilai indeks yang sesuai untuk kanak-kanak? Ketahui caranya berdasarkan keterangan di bawah.
BMI Kanak-kanak
Faktor ketinggian dan saiz yang berbeza adalah disebabkan pertumbuhan tubuh badan setiap kanak-kanak. Ibu bapa tidak boleh membandingkan anak dengan kanak-kanak yang lain. Sama seperti mengetahui BMI anda sendiri, pengetahuan BMI untuk si cilik anda juga dapat membantu anda menentukan sama ada tumbesarannya pada kadar yang sesuai ataupun tidak berdasarkan peringkat umur. Cara kira bmi anak adalah sama iaitu berat (kg) / tinggi (m) x tinggi (m). Setelah itu, anda boleh merujuk carta rujukan pertumbuhan kanak-kanak untuk mengetahui BMI anak anda. Carta ini biasanya terdapat dalam buku perkembangan kanak-kanak yang anda sering bawa setiap kali anak anda menjalani pemeriksaan berjadual di klinik. Anda juga boleh rujuk kepada doktor anda tentang carta ini.
Mengapa Penting Mempunyai Berat Badan Ideal?
Berat badan ideal amat penting bagi semua orang. Mempunyai berat badan yang terlalu kurus atau terlalu gemuk, kedua-duanya tidak disarankan. Berat badan yang bagus adalah yang sesuai dengan ketinggian anda dan boleh dikira dengan formula Indeks Jisim Berat Badan atau BMI seperti yang diterangkan di atas.
Memiliki berat badan ideal ataupun berat badan yang seimbang untuk tubuh anda adalah penting untuk kesihatan. Berat badan berlebihan, akan meningkatkan risiko kecenderungan untuk mengalami masalah kesihatan tubuh badan. Selain itu, ia juga merupakan salah satu cara untuk mencegah penyakit seperti tekanan darah tinggi, strok, penyakit jantung, kencing manis dan kanser. Nilai BMI melebihi 30 dikategorikan obesiti. Namun, nilai BMI yang terlalu rendah bukanlah baik, ia meningkatkan risiko untuk masalah kesihatan seperti anemia, penurunan ketahanan badan terhadap jangkitan kuman serta keletihan kronik. Hal yang demikian membuktikan bahawa pentingnya memiliki berat badan ideal untuk anda berpandukan nilai BMI.
Cara Untuk Mendapatkan Berat Badan Ideal
Setelah mengetahui nilai dan kategori BMI anda dan juga anak-anak, maka bolehlah anda menentukan target berat badan yang seimbang buat anda dan juga keluarga. Terdapat beberapa cara untuk mendapatkan berat badan ideal, antaranya ialah:
Amalkan pemakanan yang seimbang
Pengambilan makanan yang seimbang dan kaya dengan nutrisi adalah penting dalam kehidupan seharian anda. Makanlah makanan yang sihat secara sederhana dengan merujuk kepada Piramid Makanan Malaysia. Jangan sesekali anda menyekat diri untuk tidak makan atau mengehadkan kalori jika anda sangat lapar. Hal yang demikian akan mengakibatkan anda akan makan lebih banyak selepas itu. Kurangkan makanan yang tinggi kandungan gula dan lemak seperti kek, pastri, krim, mentega dan daging yang berlemak. Elakkan makan atau minum semasa anda menonton televisyen ataupun membaca. Tetapkan sasaran yang realistik dalam menurunkan berat badan. Sebagai contoh, target untuk menurunkan berat badan sebanyak setengah kilogram dalam seminggu. Timbang berat badan anda seminggu sekali dan sebaik-baiknya ditimbang sebelum anda makan.
Kerap melakukan aktiviti senaman
Aktiviti senaman secara rutin mampu membakar kalori dan mengurangkan lemak di dalam tubuh. Tidak semestinya anda harus bergiat aktif dalam bidang sukan, bersenam dengan senaman yang ringan seperti joging dan berbasikal sudah cukup memadai. Lakukan senaman sederhana seperti berenang, berjalan laju dan berbasikal sekurang-kurangnya 60 minit, lima hingga enam hari seminggu.
Dapatkan nasihat doktor
Anda boleh berjumpa dengan doktor untuk mengenal pasti masalah perubatan, biologikal atau fisiologikal yang berkaitan yang boleh menyumbang kepada berat badan berlebihan atau kurang. Di samping itu, dapatkan nasihat daripada pakar pemakanan untuk mendapatkan maklumat tentang pengurusan berat badan anda. Dapatkan sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan agar anda lebih bermotivasi.
Risau tentang jantung anda? Konsult doktor kami secara PERCUMA!