Bolehkah Pesakit Fibrilasi Atrium Menjalani Hidup Normal?
Apakah Itu Fibrilasi Atrium?
Fibrilasi atrium merupakan sejenis penyakit aritmia jantung disebabkan oleh beberapa punca. Secara umumnya, fibrilasi atrium ini terjadi apabila struktur anatomi jantung berubah sehingga ada kawasan jantung lain selain daripada “sinus node” mengeluarkan impuls elektrik untuk disebarkan kepada otot-otot atrium dan ventrikel bagi jantung mula berdegup.
Apabila kejadian ini berlaku, ruangan atrium jantung akan menguncup dan berdegup pada kadar melebihi 300 dan tidak sekata. Antara punca berlakunya fibrilasi atrium adalah faktor seperti;
- Usia melebihi 60 tahun
- Tekanan darah tinggi
- Penyakit koronari arteri
- Penyakit tiroid
- Alkohol atau stimulan
- Lemah jantung
- Penyakit injap jantung
Apabila anda mengalami fibrilasi atrium, anda akan mula merasai gejala-gejala seperti debaran jantung, sesak nafas, sakit dada, mudah letih, dan berpeluh secara berlebihan.
Diagnosis fibrilasi atrium akan dibuat oleh doktor dengan menggunakan elektrokardiogram (ECG) dan teknik pengimejan yang lain seperti ekokardiogram dan xray dada untuk mengenal pasti punca dan komplikasi fibrilasi atrium.
Terdapat beberapa rawatan untuk penyakit fibrilasi atrium seperti ubat-ubatan yang memulihkan ritma tidak tetap kepada normal dan rawatan kardioversi bagi memulihkan irama jantung tidak sekata. Ada kalanya rawatan ablasi dipilih oleh doktor untuk pesakit yang sesuai. Setelah rawatan ini diberikan, pesakit kebiasaanya akan diberikan rawatan ubat pencair darah dikenali sebagai anticoagulant dan perlu dipantau secara berkala di klinik kesihatan.
Adakah pesakit fibrilasi atrium tidak boleh hidup seperti mereka yang normal? Ikuti artikel ini dengan lebih lanjut untuk mengetahui tips hidup sihat bagi pesakit fibrilasi atrium.
Tips Hidup Sihat Pesakit Fibrilasi Atrium
1. Pilihan Pemakanan
Kebanyakan pesakit yang melalui rawatan fibrilasi atrium akan diberikan rawatan pencair darah seumur hidup dikenali sebagai anticoagulant. Terdapat pelbagai jenis ubat antikoagulan yang tersedia dan salah satunya adalah warfarin. Warfarin berfungsi untuk mengelakkan penggumpalan darah yang terbentuk di kamar jantung akibat fibrilasi atrium. Darah beku yang terbentuk ini boleh menyebabkan pelbagai komplikasi seperti strok dan penyakit vaskular.
Bagi pesakit yang mengambil ubat warfarin, anda kebiasaanya akan dinasihati oleh doktor untuk mengurangkan pengambilan makanan yang tinggi dengan zat vitamin K. Hal ini demikian kerana, vitamin K penting untuk menghasilkan protein yang berfungsi untuk mengelakkan pendarahan. Fungsi Vitamin K ini adalah berlawanan dengan mekanisma ubat warfarin.
Namun begitu, ini tidak bermaksud anda tidak dibenarkan langsung untuk mengambil makanan yang mengandungi vitamin K, tetapi perlu menghadkan pengambilan makanan tersebut. Antara makanan yang kaya dengan vitamin K adalah seperti berikut;
- Sayuran berdaun seperti sawi dan bayam
- Sayur-sayuran seperti brokoli, bunga kubis dan tomato
- Buah-buahan seperti pisang, kiwi dan avocado
- Supplemen Vitamin K
Selain itu, anda juga perlu sebaik-baiknya mengelakkan makanan yang berkolesterol tinggi seperti makanan digoreng dan berminyak. Makanan seperti ini boleh meningkatkan risiko anda untuk mendapat hipertensi dan serangan jantung. Garam juga perlu dihadkan dalam makanan harian untuk mengawal tekanan darah tinggi pada paras yang normal.
Elakkan mengambil alkohol dan kafein kerana ia boleh menjadi pencetus kepada episod fibrilasi atrium. Di samping itu, elakkan merokok atas sebab nikotin dan bahan kimia lain di dalam rokok boleh menjadi pencetus dan menjejaskan lagi fibrilasi atrium anda.
2. Senaman Kunci Gaya Hidup Sihat
Senaman dan riadah yang sesuai adalah amat penting untuk kesihatan anda. Sebelum memulakan rutin senaman anda, sila berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat bagi memilih rutin riadah yang sesuai untuk keseriusan fibrilasi atrium dan keadaan tubuh badan anda.
Senaman adalah sangat penting untuk tujuan berikut;
- Menurunkan berat badan bagi mengurangkan risiko serangan jantung.
- Membantu mengawal emosi dan perasaan anda
- Mengatur semula irama sirkadian
Bagi sesetengah dalam kalangan pesakit yang menerima rawatan mengurangkan kadar nadi anda, anda mungkin tidak akan merasai peningkatan nadi ketika dan selepas melakukan kegiatan bersenam. Hal ini menunjukkan rawatan anda efisien.
3. Ubat Pencair Darah dan Pengurusannya
Pengurusan ubat pencair darah atau selalu dikenali sebagai warfarin boleh menjadi rumit sekiranya pesakit tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh doktor. Ada sesetengah ubat-ubatan yang boleh memberi kesan kepada mekanisma ubat pencair darah. Antaranya ialah antibiotik dan multivitamin.
Apabila antibiotik atau ubat multivitamin diambil, sila dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu untuk melaraskan dos ubat warfarin supaya tidak memberi kesan kepada pendarahan atau pengumpalan darah di dalam kamar jantung.
Ubat ubatan tradisional yang mengandungi produk herba perlu dielakkan untuk tidak menjejaskan fungsi ubat pencair darah. Dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil apa-apa ubat selain daripada yang diberikan di hospital atau klinik.
4. Melancong Dengan Fibrilasi Atrium
Beberapa langkah berhati-hati perlu diambil supaya anda membuat keputusan untuk melancong terutamanya ke negara yang jauh.
- Bawa bersama ubat-ubatan anda yang mencukupi untuk jangka masa pelancongan anda. Bawa bersama dalam 2 beg yang berbeza untuk mengelakkan kehilangan ubat-ubatan.
- Bawa bersama dokumen-dokuemen berkaitan kesihatan anda termasuk berkaitan fibrilasi atrium untuk memudahkan pengurusan pelancongan anda di kastam dan sekiranya anda perlu mendapatkan apa-apa rawatan kecemasan.
- Berbincang dengan doktor anda terlebih dahulu dan dapatkan nasihat yang sepatutnya sebelum melancong.
- Anda masih perlu memantau kadar pencairan darah anda ketika berlancong. Dapatkan pendapat doktor untuk mengetahui lebih lanjut tentang pemantauan kendiri.
5. Jaga Kesihatan Mental dan Emosi Anda
Walaupun pencetus fibrilasi atrium masih lagi dikaji, sebanyak 54% pesakit merekod bahawa stress dan tekanan sebagai salah satu pencetus utama berlakunya fibrilasi atrium. Anda boleh mengikuti cara-cara di bawah untuk mengurangkan tahap stress dan tekanan anda.
- Fahami situasi kesihatan badan anda - Anda perlu terlebih dahulu memahami apa itu fibrilasi atrium berserta gejala-gejalanya. Dengan memahami keadaan tubuh badan anda, anda akan lebih cakna terhadap perubahan yang berlaku.
- Luahkan perasaan anda bersama orang yang disayangi - Anda juga boleh berbincang dengan pesakit fibrilasi atrium yang lain di klinik atau hospital.
- Tenangkan minda anda dengan melakukan aktiviti seperti meditasi dan yoga untuk menghilangkan stress dan tekanan hidup anda.
Rumusan
Fibrilasi atrium merupakan sejenis takiaritmia yang perlu dirawat untuk mengelakkan komplikasi berbahaya seperti angin ahmar dan penyakit vaskular kaki dan tangan. Antara gejala-gelaja yang biasa adalah seperti debaran jantung, sakit dada, sesak nafas, dan mudah menjadi letih.
Rawatan fibrilasi atrium termasuklah mengambil ubat-ubatan untuk memulihkan irama jantung atau mengurnagkan kadar nadi. Selain itu, rawatan kardioversi dan ablasi juga boleh digunakan mengikut kesesuaian masa dan pesakit masing-masing. Rujuk kepada doktor untuk mengetahui secara lebih lanjut mengenai rawatan firilasi atrium.
Meneruskan kehidupan dengan fibrilasi atrium mungkin tidak mudah, namun ada caranya untuk memastikan anda selalu sihat dan tidak menerukkan keadaan jantung anda. Antaranya adalah dengan pemakanan yang sihat, riadah dan senaman, meditasi serta yoga untuk mengurangkan stres hidup.
Risau tentang jantung anda? Konsult doktor kami secara PERCUMA!