Kenali Masalah Aritmia - Penyakit Gangguan Irama Jantung
Aritmia, Satu Kecemasan Perubatan!
Cuba anda rasa denyutan nadi atau degupan jantung anda. Secara normalnya, jantung akan berdegup dengan kadar yang sekata dan tetap setiap masa, di mana jantung akan berdegup dalam kadar 60 hingga 100 bagi jangka masa satu minit walaupun kadar ini boleh berbeza sedikit mengikut tahap kecergasan badan anda. Sekiranya jantung berdegup pada kadar yang tidak sekata dan tetap, irama ini dipanggil sebagai aritmia.
Jantung kita terbahagi kepada 4 ruang, 2 dipanggil sebagai atrium dan 2 lagi dipanggil sebagai ventrikel. Secara umumnya, impuls elektrik akan mengalir dari satu bahagian di atrium (sinoatrial node) dan disebarkan kepada otot-otot jantung untuk mula berdegup. Sekiranya berlaku perubahan pada permulaan atau pengaliran impuls elektrik ini, aritmia akan berlaku.
Jenis Aritmia
Bagus!, kini anda sudah memahami sistem wayar dalam jantung.Terdapat beberapa jenis keadaan aritmia yang boleh dibahagikan kepada takiaritmia (tachyarrythmia) dan bradiaritmia (bradyarrythmia) . Dalam keadaan takiaritmia, permukaan jantung selain daripada simpul sinoatrial akan mula melepaskan impuls elektrik pada kadar yang lebih laju.
Berikut merupakan antara kategori takiaritmia;
- Takikardia ventrikel (Ventricular tachycardia)
- Fibrilasi ventrikel (Ventricular Fibrillation)
- Takikardia supraventrikel (Supraventicular tachycardia)
- Fibrilasi atrium (Atrial fibrillation)
Dalam sesetengah keadaan, kelewatan dalam penyebaran impuls boleh berlaku. Impuls ini boleh disekat sebentar atau sepenuhnya. Ini dinamakan bradyarrythmia.
Apakah Gejala Aritmia?
Penghidap aritmia akan mengalami gejala yang berbeza dan tidak sama dengan yang lain. Sesetengah orang boleh memberitahu sebaik sahaja mereka mengalami aritmia, sementara yang lain hanya menunjukkan simptom-simptom yang tidak spesifik. Sebagai contoh;
- Penat atau tidak berdaya untuk melakukan kegiatan harian
- Detak jantung seperti melompat, di mana jantung anda seakan-akan sedang berlumba dan berdetak dengan laju
- Pening atau pengsan
- Kesukaran bernafas ketika bersenam atau beriadah
- Kesakitan atau tekanan pada dada
- Nadi menjadi lebih cepat atau perlahan dan tidak sekata
- Berpeluh secara berlebihan
- Terjatuh secara tiba-tiba akibat serangan jantung
Sekiranya anda mengalami mana-mana gejala seperti yang disenaraikan di atas, sila dapatkan konsultasi doktor dengan kadar segera terutamanya kepada anda yang memiliki faktor risiko yang tinggi seperti yang akan dibincangkan di bawah ini.
Adakah Anda Berisiko Mendapat Aritmia?
Berikut merupakan beberapa penyebab aritmia;
#Usia
Umur melebihi 60 tahun merupakan faktor risiko utama untuk mendapat aritmia walaupun gejala-gejalanya tidak jelas dan tidak spesifik pada usia ini.
#Penyakit koronari arteri
Penyakit koronari arteri menyebabkan masalah dalam peredaran darah kepada sel-sel otot ventrikel yang turut menyebabkan parut atau deposit tisu pada permukaan jantung. Parut atau deposit tisu ini adalah sel-sel yang tidak normal dan mengganggu pengaliran impuls dengan efisien. Akibat daripada ini, tisu-tisu ini boleh menghasilkan impuls yang tersendiri dan menyebabkan aritmia seperti fibrilasi atrium.
#Penyakit injap jantung atau otot jantung lemah
Kedua-dua faktor ini boleh menyebabkan perubahan struktur jantung sama ada di atrium atau ventrikel dan menyebabkan degupan jantung yang tidak sekata.
#Tekanan darah tinggi
Tekanan darah yang tinggi boleh menyebabkan aritmia kerana tekanan darah tinggi boleh menyebabkan otot jantung menjadi tebal dan mengganggu pengaliran impuls elektrik di organ ini. Ketahui risiko anda menghidapi hipertensi di sini!
#Penyakit tiroid
Penghasilan hormon tiroid yang berlebihan atau sedikit akan memberi kesan kepada sistem saraf autonomi. Sistem saraf autonomi berfungsi untuk mengawal kadar pemecutan impuls elektrik dari sinoatrial node dan pengaliran impuls ini ke semua otot-otot jantung.
#Penyakit kongenital jantung
Penyakit kongenital jantung terutamanya yang berkaitan dengan struktur anatomi pengaliran darah keluar dari jantung boleh menyebabkan aritmia.
#Penggunaan arak atau bahan stimulan yang berlebihan
Arak, kafein dan bahan stimulan yang berbahaya mampu meningkatkan tahap metabolisme badan dan mengganggu sistem saraf autonomi manusia.
Diagnosis Aritmia
Penyakit aritmia ini boleh dikenal pasti oleh doktor dengan menggunakan elektrokardiogram (ecg) bagi melihat aliran elektrik di dalam jantung. EKG akan memberikan bacaan ritma jantung serta kadar denyutan jantung. Mesin Holter iaitu peranti ecg mudah alih juga merupakan salah satu cara melihat ritma denyutan jantung. Peranti ini dipakai oleh pesakit selama 24 jam sehingga tujuh hari untuk merakam kadar degupan dan aktiviti jantung.
Setelah penyakit aritmia dikenal pasti, punca penyakit ini pula akan dikenal pasti dengan menggunakan beberapa siri kajian makmal dan pengimejan seperti echokardiogram dan sebagainya.
Apakah Aritmia Jantung Boleh Sembuh?
Berikut adalah variasi rawatan aritmia:
Rawatan takiaritmia
Pesakit tidak stabil | Pesakit stabil | |
Pesakit yang mempunyai gejala seperti keliru, sakit dada, kulit yang sejuk, dan denyutan nadi yang lemah. | Keadaan pesakit | Pesakit yang tidak mempunyai gejala seperti pesakit yang tidak stabil. |
Cardioversion, di mana kejutan akan disampaikan ke jantung dengan menggunakan “patches” atau “paddles” untuk mengembalikan ritma jantung kepada keadaan normal Tenaga yang diperlukan untuk melakukan kardioversi ini adalah bergantung kepada jenis takiaritmia. Sebagai contohnya, fibrilasi atrium memerlukan tenaga sebanyak 120 hingga 150 Joule. | Rawatan | Vagal manuver boleh digunakan. Bagi aritmia jenis takikardia supraventrikular. Selain daripada takikardia supraventrikel, aritmia jenis lain biasanya dirawat dengan menggunakan ubat-ubatan seperti amiodarone dan procainamide berdasarkan keperluan. |
Cara merawat bradiaritmia:
Pesakit tidak stabil | Pesakit stabil | |
Pesakit yang menunjukkan gejala-gejala seperti keliru, sakit dada, dan denyutan nadi yang lemah. | Keadaan pesakit | Pesakit yang tidak menunjukkan gejala-gejala pesakit tidak stabil. |
Pesakit ini akan dimulakan dengan dos atropine dan sekiranya tidak efektif, “transcutaneous pacing” atau ubat-ubatan lain boleh digunakan | Rawatan | Kebiasaanya pesakit bradiaritmia yang stabil akan dipantau dan diperhatikan untuk rawatan lanjut |
Setelah aritmia dirawat pada peringkat kecemasan, punca aritmia berlaku akan disiasat dan kemudian dirawat. Sesetengah pesakit aritmia akan dipasang ‘pacemaker’ atau ‘Implantable Cardioverter Defibrillator” di bawah permukaan kulit dada bagi merawat masalah ini. Rujuk kepada doktor untuk mengetahui tentang masalah aritmia dengan lebih lanjut.
Risau tentang jantung anda? Konsult doktor kami secara PERCUMA!