Ketahui Cara CPR Yang Betul. Anda Mungkin Menyelamatkan Nyawa

CPR: Bantuan Kecemasan Yang Perlu Anda Tahu - DoctorOnCall

Apakah CPR?

Maksud CPR ialah Cardio-Pulmonary Resuscitation yang merupakan kaedah pertolongan cemas berfungsi untuk mengembalikan pengaliran darah dan kadar oksigen yang mencukupi ke paru-paru, otak dan organ-organ penting yang lain. Prosedur ini merangkumi tekanan dada dan bantuan pernafasan dari mulut ke mulut dan ianya sangat penting kerana boleh menyelamatkan nyawa seseorang. Melakukan CPR dengan kadar yang segera boleh meningkatkan peluang mangsa untuk hidup sehingga dua ke tiga kali ganda lebih tinggi.

Amatlah penting bagi setiap orang awam untuk mempunyai ilmu tentang CPR dan mengetahui teknik melakukannya sebagai langkah awal untuk menyelamatkan mangsa sementara menunggu kakitangan terlatih atau paramedik tiba di tempat kejadian. Prinsip pertolongan cemas adalah untuk menyelamatkan nyawa mangsa, mengurangkan kesakitan mangsa, dan mengelakkan daripada keadaan bertambah teruk.

Apa Yang Anda Perlu Pastikan Sebelum Melakukan CPR?

Sebelum melakukan CPR, penting untuk anda memastikan beberapa perkara terlebih dahulu, seperti:

1. Adakah Keadaan Sekeliling Selamat Untuk Melakukan CPR Kepada Mangsa? 

Seandainya mangsa ditemui di tengah jalan, dapatkan bantuan untuk memindahkan mangsa ke tempat yang lebih selamat. Jika kelihatan mangsa mempunyai kecederaan atau khuatir ada tulang yang patah, adalah sebaiknya untuk tidak memindahkan mangsa kerana ini boleh mengakibatkan kecederaan yang lebih teruk.


2. Adakah Mangsa Dalam Keadaan Sedar, Separa Sedar Atau Tidak Sedar?

Perhatikan sama ada mangsa mempunyai tindak balas. Jika mangsa tidak sedar, cuba untuk gerakkan mangsa atau tepuk di bahu dan panggil mangsa dengan kuat.


3. Adakah Mangsa Bernafas?

Anda boleh menilai dengan memerhatikan sama ada dada mangsa bergerak naik dan turun atau statik. Anda juga boleh mendekatkan telinga anda ke mulut dan hidung mangsa selama 10 saat untuk memastikan sama ada terdapat hembusan nafas ataupun tidak.


4. Periksa Denyutan Nadi Mangsa

Periksa nadi mangsa di bahagian pergelangan tangan dan tepi leher untuk memastikan degupan jantung mangsa.


5. Minta Bantuan

Jika anda melihat tiada pergerakan ataupun nafas mangsa terhenti, sila hubungi unit kecemasan (999) dengan kadar segera dan mulakan prosedur CPR terlebih dahulu sementara menunggu paramedik tiba. Sekiranya terdapat orang lain di sekeliling anda, arahkan orang lain untuk segera menghubungi talian kecemasan sementara anda memulakan CPR secepat mungkin.

Ketahui risiko anda menghidapi masalah hipertensi di sini!

Kaedah CPR Yang Betul

CPR merangkumi penilaian dan bantuan asas yang melibatkan:

1. Bukaan salur pernafasan.

2. Bantuan pernafasan.

3. Bantuan peredaran darah melalui tekanan dada.

4. Penggunaan Automated External Defibrillator (AED).

5. Pengurusan mangsa tercekik oleh benda asing

Berikut adalah garis panduan CPR untuk orang dewasa dan cara-cara bagi menekankan kepentingan CPR yang berkualiti tinggi. Untuk melaksanakan protokol CPR, anda hanya perlu mengingati singkatan DRS ABCD;

D

Danger

BAHAYA

  • Pastikan keadaan mangsa, anda dan persekitaran selamat.
  • Jauhi tumpahan darah, objek tajam, wayar elektrik, dan sebagainya.
  • Pakai sarung tangan jika ada.

R

Response

TINDAK BALAS

  • Tepuk bahu mangsa.
  • Tanya dengan jelas “Helo! Helo! Adakah anda OK?”
  • Jika mangsa bertindak balas:

- Pastikan mangsa dalam keadaan yang selamat.

- Tanya keadaan mangsa.

- Dapatkan bantuan jika perlu.

- Periksa semula secara berkala.

  • Jika tiada tindak balas, teruskan ke langkah seterusnya.

S

Shout

JERIT MINTA BANTUAN

  • Jerit “Tolong! Tolong! Hubungi 999! Dapatkan AED!”
  • Jika anda berseorangan, hubungi 999 dan biarkan dalam mod pembesar suara.
  • Teruskan langkah-langkah CPR seterusnya.

A

Airway

BUKA SALURAN PERNAFASAN

  • Dengan berada di sebelah mangsa, dongakkan kepala dan angkat dagu mangsa (Head tilt - chin lift).

B


Breathing

PERNAFASAN

  • Lihat sama ada mangsa bernafas atau tidak (dalam tempoh tidak melebihi 10 saat).
  • Jika tidak, mulakan tekanan dada.
  • Jika mangsa bernafas terlalu perlahan atau tidak normal
    (agonal breathing and gasping) atau jika anda tidak pasti, anggap mangsa tidak bernafas.

C

Circulation

PEREDARAN DARAH

  • Duduk di sebelah mangsa dan letakkan sebelah tapak tangan di tengah dada mangsa. Letakkan sebelah tangan lagi di atas tangan yang pertama dan silangkan jari-jari anda. Luruskan lengan dan siku. Pastikan bahu anda tegak di atas dada mangsa dan tekan ke bawah.
  • Tekan dada dengan kualiti tinggi seperti berikut:

- Kelajuan: 100 ke 120 kali seminit

- Kedalaman: 5 ke 6 cm

- Pastikan dada recoil ke posisi asal sebelum menekan semula

- Kurangkan gangguan semasa menekan dada

- Nisbah tekanan dada dan bantuan pernafasan 30:2 (30 tekanan, 2 bantuan pernafasan)

- Setiap bantuan pernafasan selama 1 saat

  • Jangan tekan di bahagian rusuk dan perut mangsa.

Bantuan Pernafasan “Rescue Breath

  • Berikan bantuan pernafasan semasa menekan dada pada kadar 30 tekanan dada:2 hembusan nafas.
  • 2 hembusan nafas tersebut mesti tidak lebih daripada 10 saat sehingga mengganggu proses menekan dada.
  • Bantuan pernafasan melalui pocket mask:

- Posisikan diri anda di sebelah mangsa dan letakkan pocket mask pada muka mangsa dan rapatkan ke muka mangsa dengan menutupi hidung dan mulut mangsa.

- Letakkan jari telunjuk dan ibu jari pada pocket mask dengan jari-jari lain pada rahang mangsa sambil dongakkan kepala dan angkat dagu mangsa.

- Hembus selama satu saat dan perhatikan sama ada dada pesakit naik dengan hembusan yang diberikan.

- Ulang sekali lagi dan sambung tekan dada.

  • Bantuan pernafasan mulut ke mulut:

- Pakai face shield, jika ada.

- Picit hidung mangsa dengan jari telunjuk dan ibu jari anda dan angkat dagu mangsa dengan biarkan mulut mangsa terbuka.

- Tarik nafas anda dan letakkan mulut anda pada mulut mangsa dengan rapat dan hembus selama satu saat.

- Kekalkan bukaan saluran pernafasan sementara anda mengangkat muka anda dan menarik nafas semula.

- Perhatikan sama ada dada mangsa naik dengan hembusan yang diberikan.

- Tarik nafas sekali lagi dan hembus semula ke mulut mangsa.

- Sambung menekan dada.

D

Defibrillation

DEFIBRILASI

  • Arahkan seseorang untuk mendapatkan AED jika ada.
  • Pasang pad AED pada dada mangsa dan ikut arahan AED. 
  • Jika defibrilasi/shock disarankan, pastikan tiada sesiapa memegang mangsa dan tekan butang shock pada AED.
  • Sambung tekan dada segera selepas defibrilasi.
  • Jika tiada defibrilasi/shock disarankan, teruskan tekan dada.
  • Jika anda bersendirian dengan mangsa di tempat kejadian, jangan tinggalkan mangsa dan terus mulakan tekan dada.
  • Periksa semula mangsa selepas setiap 2 minit.
  • Teruskan CPR melainkan mangsa mula bernafas semula atau anda sudah letih dan tidak mampu melakukan tekanan dada lagi atau bantuan telah tiba atau mangsa menunjukkan tiada tanda-tanda kehidupan.

Jika mangsa telah sedar, letakkan mangsa dalam kedudukan “posisi pemulihan (recovery position)”.

Bagi orang awam yang mempunyai kekangan untuk memberikan bantuan pernafasan ataupun tidak terlatih sepenuhnya berkenaan CPR, anda boleh melakukan teknik “Hands-only CPR”. Ia adalah alternatif CPR yang tidak melibatkan bantuan pernafasan. Kajian mendapati bahawa teknik ini berkesan sebagaimana CPR bersama bantuan pernafasan.

Siapakah Yang Boleh Melakukan CPR?

Sesiapa sahaja boleh belajar CPR - dan semua orang mesti ada pengetahuan ini. Kita haruslah mendidik masyarakat kita untuk sama-sama menyedari kepentingan CPR kerana bila-bila masa sahaja kita mungkin akan berhadapan dengan situasi kecemasan yang memerlukan CPR. Sangat disarankan untuk dalam setiap rumah atau mana mana tempat tinggal dan tempat kerja, ada sekurang-kurangnya seorang yang boleh melakukan CPR.

Bagaimanapun, sekiranya anda adalah;

Sebaiknya untuk anda tidak melakukan CPR kerana prosedur ini memerlukan tahap keupayaan fizikal yang kuat. Anda boleh membantu dengan mendapatkan bantuan talian kecemasan atau bantuan dari orang sekeliling.

Sebagai pemerhati atau saksi ketika mangsa pengsan dan tidak sedarkan diri, anda tidak perlu takut. Buangkan rasa panik tersebut kerana tindakan berani anda boleh membantu mangsa. Untuk menyelamatkan mangsa, apa yang penting ialah secepat mana CPR dimulakan. Semakin lewat kita membantu mangsa, semakin rendah peluang untuk mangsa kembali sedar.

Akhir kata, lakukanlah CPR walaupun hanya dengan menekan dada kerana ia mungkin dapat menyelamatkan nyawa seseorang. Rujuk kepada doktor jika anda ingin mengetahui tentang cara CPR secara lebih lanjut.

Risau tentang jantung anda? Konsult doktor kami secara PERCUMA!



Rujukan: