Kenali Penyakit Injap Jantung. Adakah Boleh Membawa Maut?

Penyakit Injap Jantung: Mengapa Injap Jantung Bocor? - DoctorOnCall


Kenali Injap Jantung Anda

Setiap manusia normal mempunyai 4 injap jantung. Ia berfungsi untuk memastikan aliran darah mengalir secara sehala dan lancar di dalam jantung anda. 

Darah akan mengalir dari atrium ke ventrikel melalui injap trikuspid dan injap mitral. Apabila kantung ventrikel sudah dipenuhi dengan darah, injap trikuspid dan mitral akan ditutup. Keadaan ini dapat menghalang darah daripada mengalir ke arah atria mahupun masuk ke dalam kantung atria semasa ventrikel mengecut.

Apabila ventrikel mula mengecut, injap pulmonari dan injap aorta akan terbuka dan darah dipam keluar dari ventrikel. Darah dari ventrikel kanan akan melalui injap pulmonari menghala ke arteri pulmonari, manakala darah dari ventrikel kiri pula akan melalui injap aorta untuk mengalir masuk ke bahagian aorta dan seterusnya ke seluruh badan.

Setelah selesai pengecutan ventrikel,  injap aorta dan injap pulmonari akan tertutup. Injap ini menghalang darah daripada mengalir masuk kembali ke dalam ventrikel.

Proses ini berlaku dalam masa kurang dari satu saat secara berulang bersama setiap degupan jantung, membolehkan darah mengalir terus ke jantung, paru-paru, dan seluruh anggota badan.

Penyakit Injap Jantung

Bagi setiap degupan jantung, injap akan mengalami proses buka dan tutup. Apabila pembukaan atau penutupan injap jantung tidak berfungsi atau berlaku dengan tidak sempurna, ia boleh mengganggu aliran darah di dalam jantung. Gangguan ini boleh disebabkan oleh injap yang menjadi keras atau terlalu lemah sehingga tidak dapat tertutup atau terbuka dengan sempurna.

Siapa Yang Berisiko Mendapat Penyakit Injap Jantung?

Penyakit ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat usia. Golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat penyakit ini adalah: 

  • Golongan orang tua dan berusia
  • Individu yang kurang melakukan aktiviti fizikal
  • Individu yang mempunyai sejarah penyakit jantung, seperti endokarditis, tekanan darah tinggi atau demam reumatik.
  • Masalah pada jantung sejak lahir


Gejala Penyakit Injap Jantung

Pelbagai tanda dan gejala boleh berlaku disebabkan penyakit injap jantung. Antara tanda dan gejala penyakit injap jantung adalah:

  • Sesak nafas: Gejala ini adalah antara yang paling biasa ditemui pada pesakit yang menghidap penyakit injap jantung. Ia biasanya berlaku apabila pesakit mula bergerak aktif seperti melakukan aktiviti harian dan bersenam. Namun ia juga boleh berlaku ketika pesakit berbaring. Salah satu tandanya, pesakit mungkin perlu tidur dengan menggunakan beberapa bantal untuk meninggikan posisi leher agar dapat bernafas dengan lebih mudah.
  • Degupan jantung laju: Detak jantung dapat dirasakan begitu cepat, degupan jantung yang tidak teratur, atau perasaan turun dan naik di dada anda.
  • Kelesuan/keletihan: Merasa terlalu lemah walaupun untuk menjalankan aktiviti harian biasa termasuk aktiviti yang tidak menggunakan tenaga yang banyak.
  • Berasa tidak selesa atau sakit di bahagian dada: Merasakan tekanan atau seperti terdapat benda berat menekan di dada terutamanya ketika sedang melakukan aktiviti atau apabila keluar dalam udara sejuk.
  • Pening dan sakit kepala : kepala terasa sakit dan pening secara tiba-tiba.
  • Pitam atau pengsan 
  • Batuk
  • Bengkak di bahagian kaki atau abdomen: Bengkak di kaki ini dipanggil edema di mana bahagian kaki yang bengkak akan meninggalkan kesan apabila ditekan dengan jari. Manakala bengkak di abdomen anda boleh menyebabkan anda berasa kembung.
  • Bunyi degupan jantung tidak normal (murmur)


Komplikasi

  • Kegagalan jantung
  • Darah beku
  • Kematian

Apakah Punca Penyakit Injap Jantung?

Punca yang menyumbang kepada keadaan ini biasanya berlaku disebabkan oleh masalah kesihatan. Tetapi, untuk sebahagian kes, kecacatan dari lahir juga merupakan punca penyakit injap jantung. Di sini disenaraikan antara masalah kesihatan yang boleh membawa atau menjadi punca kepada penyakit injap jantung:

  • Penuaan - penuaan boleh menyebabkan injap jantung menjadi keras 
  • Endokarditis bakteria, iaitu kearadangan pada tisu jantung akibat jangkitan
  • Demam Reumatik, iaitu keradangan disebabkan oleh jangkitan bakteria streptokokkus
  • Aneurisme Aorta, bengkak atau benjolan yang tidak normal muncul pada aorta
  • Aterosklerosis, iaitu saluran arteri menjadi keras 
  • Degenerasi Myxomatous, iaitu kerosakkan pada tisu penyambung dalam injap mitral
  • Lupus, iaitu penyakit autoimun yang kronik
  • Penyakit arteri koronori
  • Kardiomiopati dan sifilis
  • Ketumbuhan atau tumor
  • Kesan ubat-ubatan

Jenis Penyakit Injap Jantung

Penyakit injap jantung boleh dibahagikan kepada dua jenis. Yang pertama ialah stenosis, masalah ruang injap jantung menjadi sempit akibat injap yang kejang, menebal atau bercantum. Ini menyebabkan injap tidak terbuka sepenuhnya dan darah tidak dapat mengalir dengan lancar. Keadaan Ini menyebabkan jantung perlu bekerja lebih keras bagi mengepam darah untuk melalui injap yang sempit ini. Keadaan ini lama kelamaan, menyebabkan otot jantung menjadi tebal.

Jenis yang kedua dikenali sebagai regurgitation di mana injap gagal tertutup dengan sempurna. Ini menyebabkan darah mengalir ke belakang selepas injap terutup. Regurgitasi menyebabkan ventrikel perlu mengepam isipadu darah yang lebih besar daripada yang biasa sekaligus boleh menyebabkan ruang jantung menjadi besar dan melemahkan otot jantung.

Kedua-dua stenosis dan regurgitasi injap jantung boleh mengakibatkan kegagalan jantung dan ia boleh terjadi pada semua injap jantung. Selain itu, penyakit injap jantung juga dikaitkan dengan peningkatan risiko kepada aritmia jantung. Satu lagi jenis penyakit injap jantung adalah atresia iaitu situasi di mana tiada injap terbentuk didalam jantung.


Pemeriksaan & Rawatan

Kebiasaannya, pesakit yang mempunyai masalah injap jantung mempunyai degupan jantung yang tidak normal. Doktor akan mendengar bunyi jantung melalui stetoskop semasa peperiksaan fizikal dan mencari kelainan degupan jantung (murmur) yang mungkin menunjukkan masalah pada injap jantung anda.

Pengimejan dan ujian aliran akan selepas pemeriksaan fizikal bagi memastikan keadaan jantung. Kemudian, doktor akan membuat keputusan berdasarkan keputusan ujian dan keadaan semasa pesakit dan memilih rawatan yang sesuai.

  • X-ray pada bahagian dada: Ujian ini akan menunjukkan bentuk, saiz dan kedudukan jantung kerana penyakit injap jantung boleh menyebabkan saiz jantung membesar.
  • (ECG) dan (EKG): Ujian ini menggunakan gelombang bunyi (ultrabunyi) untuk menghasilkan imej jantung dan arteri yang mengelilinginya secara terperinci.
  • Cardiac Catheterisation: Ujian ini membolehkan doktor melihat jika terdapat sebarang masalah pada aliran darah yang mungkin disebabkan oleh masalah injap jantung.

Berdasarkan keadaan injap jantung, gejala dan keadaan pesakit, doktor akan mencadangkan beberapa rawatan seperti:

  • Ubat-ubatan yang berkaitan dan dipantau penggunaannya
  • Dinasihatkan untuk berhenti merokok jika anda seorang perokok
  • Pembedahan perlu dilakukan sekiranya pesakit didapati berada dalam keadaan yang serius. Jenis pembedahan bergantung kepada tahap penyakit injap jantung sama ada akan dibaiki atau ditukar menggunakan injap buatan.


Apa Yang Pesakit Injap Jantung Perlu Tahu?

  • Kenal pasti jenis dan tahap penyakit injap jantung yang anda alami
  • Maklumkan kepada semua doktor dan doktor gigi jika anda mempunyai penyakit injap jantung
  • Segera hubungi doktor jika anda mempunyai simptom atau gejala penyakit berjangkit
  • Jaga kesihatan gigi dan gusi anda
  • Ambil antibiotik sebelum menjalani prosedur yang boleh menyebabkan pendarahan berlaku
  • Ambil ubat mengikut arahan seperti preskripsi doktor

Sekiranya anda mengalami gejala seperti sakit dada, sesak nafas dan jantung berdebar, sila rujuk ke fasiliti kesihatan dengan segera. Kematian akibat penyakit jantung adalah salah satu penyumbang tertinggi statistik kematian. Dengan kemajuan teknologi perubatan masa kini, pelbagai rawatan boleh dilakukan bagi merawat, mengawal dan mencegah penyakit jantung daripada menjadi parah. Kadar survival adalah lebih tinggi sekiranya penyakit dapat dikesan dan dirawat pada peringkat awal. 


Risau tentang jantung anda? Konsult doktor kami secara PERCUMA!


 


Rujukan: