Ketahui Manfaat Soya. Benarkah Soya Membahayakan Kesihatan?

Kebaikan Soya Untuk Kesihatan. Benarkah Soya Berbahaya? - DoctorOnCall

Kenali Soya

Kacang soya sudah menjadi sumber makanan sejak beribu tahun yang lalu. Kacang soya yang penuh dengan nutrisi dan khasiat mengandungi pelbagai manfaat untuk kesihatan badan.

Di zaman yang moden ini, kacang soya juga telah menjadi sumber utama protein untuk pengamal vegetarian dari negara-negara barat. Tidak dinafikan juga, rakyat Malaysia sendiri banyak mengambil kacang soya dalam pemakanan seharian.

Kacang soya boleh dijumpai dalam pelbagai bentuk seperti kicap, tauhu, tempe, taufufa, susu soya, tepung soya dan minyak soya. Sebagai rakyat Malaysia kita perlu ambil tahu khasiat soya yang boleh membekalkan kita dengan pelbagai nutrisi. Ramai juga di zaman moden ini tertipu dengan mitos-mitos kacang soya sehingga ada yang takut untuk makan atau minum soya.

Kacang soya mengandungi kandungan protein yang tinggi tetapi tidak setinggi protein yang boleh didapati daripada haiwan. Kacang soya juga sesuai untuk pesakit diabetes kerana mempunyai GI (glycemic index) yang rendah untuk kandungan karbohidrat dan secara tidak langsung menyebabkan kadar gula dalam darah meningkat dengan perlahan dan sedikit.

Asid folik yang boleh dijumpai di dalam kacang soya sangat sesuai untuk wanita yang hamil kerana asid folik penting untuk tumbesaran janin di dalam rahim terutamanya dalam perkembangan saraf. 

Kebaikan Soya

1. Mengelakkan Osteoporosis

 

Osteoporosis merupakan penyakit tulang dimana tulang menjadi lemah dan mudah retak. Penyakit ini sering berlaku di kalangan wanita menopause kerana ketika ini kadar estrogen dalam badan menurun. Hormon estrogen amat penting dalam pembentukkan tulang.

Kacang soya mengandungi isoflavones. Isoflavones merupakan komponen yang serupa dengan hormon estrogen. Di dalam kes osteoporosis, kacang soya digunakan sebagai rawatan alternatif untuk rawatan penggantian hormon.

2. Kanser Payudara

Pernah dengar tentang minum susu soya boleh menyebabkan kanser payudara? Dari mana khabar angin ini berasal? Penjelasannya agak mudah.

Kadar estrogen yang tinggi berisiko untuk menghasilkan kanser payudara. Isoflavones yang terkandung dalam kacang soya serupa dengan hormon estrogen. Anggapan ini adalah salah kerana kandungan isoflavones di dalam kacang soya tidak mencukupi untuk menyebabkan kanser payudara.

Isoflavones dalam kacang soya telah dikaji dan menunjukkan jika anda selalu makan makanan sumber daripada kacang soya, anda boleh menurunkan kadar risiko untuk kanser payudara. Di dalam sebuah kajian, wanita Asia yang makan kacang soya dapat mengurangkan risiko kanser payudara sebelum dan selepas menopaus.

Namun begitu, suplemen soya mengandungi kadar isoflavones yang tinggi dan ada kajian yang menunjukkan suplemen soya meningkatkan risiko kanser payudara.

3. Kencing Manis

Tahukah anda, isoflavones dalam kacang soya boleh menurunkan risiko kencing manis atau Diabetes mellitus jenis 2. Sebuah kajian mendapati bahawa penambahan kacang soya dalam diet pemakanan mampu mengurangkan risiko kencing manis tetapi bagaimana ia berfungsi masih belum ketahui. 

4. Kolesterol

Pengambilan makanan berasaskan kacang soya telah dibuktikan mampu menurunkan kadar kolesterol dalam badan. Antara jenis kolesterol yang kita perlu ambil tahu ialah, high density lipoprotein (HDL) dan low density lipoprotein (LDL).

High density lipoprotein juga dipanggil “kolesterol baik” dan low density lipoprotein dipanggil “kolesterol tidak baik” berdasarkan kemampuan membawa kolesterol untuk metabolisma. Kolesterol LDL ialah punca dalam penyakit saluran darah tersumbat.

Kacang soya berperanan untuk menurunkan kadar kolesterol LDL dan meningkatkan kadar kolesterol HDL yang berfungsi untuk mengalihkan kolesterol LDL daripada saluran darah. Kajian menunjukkan, individu yang mempunyai tinggi kolesterol dan mengamalkan diet kacang soya menunjukkan penurunan kolesterol LDL yang ketara.

5. Obesiti

Kacang soya juga dikatakan dapat menurunkan berat badan dan mampu mencegah pengumpulan lemak di dalam tisu badan. Untuk pengetahuan anda, diet pemakanan yang tinggi protein boleh mengurangkan selera makan sekaligus menyebabkan anda kurang mengambil makanan.

Seperti yang dijelaskan, kacang soya merupakan sumber protein dan mampu membuat anda berasa kenyang. Jadi anda akan cenderung untuk mengurangkan pengambilan makanan berlemak dan tinggi karbohidrat.

Secara tidak langsung ini membantu anda menurunkan berat badan. Sebuah kajian yang dibuat menunjukkan protein yang berasaskan haiwan dan kacang soya mempunyai kesan termogenik yang tinggi berbanding diet berasaskan karbohidrat dan menunjukkan bahawa pengambilan kacang soya mampu mencegah obesiti.

Kebaikan Soya untuk Kulit

Khasiat soya tidak terhad kepada kesihatan tubuh sahaja, soya juga mempunyai manfaat kecantikan. Soya diperkaya dengan vitamin E dan amat bermanfaat untuk kesihatan kulit. Menggunakan pelembab yang mengandungi soya boleh membantu mengekalkan kelembapan kulit.

Selain mengekalkan kelembapan, soya mempunyai phytoestrogen yang berperanan untuk menghilangkan kedutan pada kulit dan membuatkan kulit kelihatan awet muda.

Mitos-mitos Soya

Ramai masyarakat di luar sana yang takut untuk mengambil soya kerana terpengaruh dengan mitos tentang kadar bahaya soya. Mari ikuti artikel ini bagi membongkar mitos-mitos soya satu-persatu.

 

1. Soya Mengurangkan Maskuliniti Lelaki

Ini tidak benar. Kacang soya mempunyai komponen yang dinamakan phytoestrogen dan ia didapati boleh mengganggu kesuburan untuk seekor tikus. Namun begitu, kajian dibuat telah membuktikan phytoestrogen hanya mengganggu kesuburan tikus jantan dan tiada apa-apa kaitan dengan manusia lelaki.

Terdapat kes perubahan hormon pada lelaki yang berpunca daripada pengambilan soya yang terlalu tinggi dan ini hanya perlu dirawat dengan mengurangkan pengambilan soya.

Oleh itu para lelaki jangan takut untuk minum atau makan makanan berasaskan soya, kacang soya tidak mengganggu hormon testosteron anda dan tiada bukti soya akan mengurangkan maskuliniti anda.

2. Soya Menyebabkan Kanser Payudara

Seperti yang dijelaskan di bahagian atas, soya tidak menyebabkan kanser payudara, sebaliknya boleh mengurangkan risiko kanser payudara.

3. Soya Menyebabkan Kanser Prostat

Tuduhan terhadap soya ini juga tidak benar. Soya sebenarnya mampu mengurangkan risiko kanser prostat. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa meminum air soya dapat menurunkan paras PSA (prostate-specific antigen).

4. Soya Mengganggu Fungsi Tiroid

Soya hanya boleh mengganggu fungsi tiroid individu yang menghidapi hipotiroid subklinikal sahaja, dan hanya dos phytoestrogen soya yang sangat tinggi akan membuatkan pesakit hipotiroid subklinikal menjadi hipotiroid klinikal. Oleh itu, mereka yang tiada penyakit ini tidak perlu risau untuk menikmati hidangan berasaskan soya.

Kesimpulan

Justeru, melalui artikel ini, harapannya anda tidak akan teragak-agak lagi untuk menikmati hidangan berasaskan soya. Soya memberikan pelbagai manfaat dan kebaikan untuk kesihatan badan, namun perlu diambil dalam kuantiti sederhana bersama makanan berkhasiat lain. Kurangkan pengambilan minuman soya yang bergula atau hidangan soya yang tinggi garam untuk manfaat soya yang optimum. Selamat menikmati hidangan soya anda!

Rujukan: