Adakah Vaksin COVID-19 Akan Mengembalikan Kehidupan Pra Pandemik?

Vaksin COVID-19: Adakah Hidup Akan Kembali Normal? - DoctorOnCall

Pada bulan Januari 2021, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia memberi kenyataan bahawa Malaysia telah mengambil keputusan untuk membeli 12.2 juta dos tambahan vaksin COVID-19 yang dihasilkan oleh Pfizer-BioNTech, selain 12.8 juta dos yang telah dibekalkan.  Hal ini susulan jangkitan virus COVID-19 yang semakin meningkat sekaligus memaksa penguat kuasaan semula perintah kawalan pergerakan di kebanyakan negeri di negara kita. 

Perjanjian tersebut diharapkan dapat membantu Malaysia dalam usaha penyediaan vaksin COVID-19 yang cukup bagi penduduk Malaysia pada fasa awal suntikan ini. Setiap individu memerlukan dua dos vaksin. Malaysia juga membuat perjanjian untuk mendapatkan 6.4 juta dos vaksin yang dihasilkan oleh AstraZeneca (Britain-Sweden) serta jangkaan bekalan 6.4 juta lagi daripada COVAX (Pertubuhan Kesihatan Sedunia). Persoalannya, adakah suntikan vaksin COVID-19 ini mampu menjadikan kehidupan masyarakat dunia kembali normal seperti sebelum datangnya pandemik ini?

Adakah Kewujudan Vaksin Akan Mengembalikan Kehidupan Sebelum Pandemik?

Masihkah anda ingat kehidupan anda suatu ketika dahulu sebelum era COVID-19? Pastinya anda rindu akan kehidupan sebelum munculnya virus ini dimana kita semua bebas melakukan aktiviti harian seperti pergi ke pejabat, meluangkan masa dengan sahabat handai serta berjabat tangan sesama kita apabila bertemu. Setelah vaksin COVID-19 ditemui, kebanyakan masyarakat menjadi teruja dan menganggap vaksin ini sebagai “tiket pelepasan” untuk kembali kepada kehidupan sebenar. Adakah ini akan berlaku? 

Menerusi satu wawancara bersama pihak akhbar, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia menyangkal anggapan tersebut dan mengatakan bahawa ia sekadar membantu seseorang itu supaya tahap kritikal jangkitan itu berkurang. Malaysia menjadi negara Asia Tenggara ketiga yang bakal menerima vaksin COVID-19. Justeru, kita dianggap sebagai negara yang terawal di rantau Asia Tenggara.  Negara di rantau Asia Tenggara yang telah menerima vaksin sebelum Malaysia adalah Singapura dan Indonesia. Singapura mempunyai dana kewangan yang besar dan mereka sudahpun membuat tempahan lebih awal untuk pembekalan vaksin yang membabitkan urus niaga. Manakala, Indonesia mendapat bekalan awal kerana negara tersebut bersetuju untuk dijadikan negara kajian vaksin yang dibuat oleh China. 

Sehubungan itu, pengarah Institut Penyelidikan Klinikal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan bahawa satu dos vaksin Pfizer BioNtech seperti diketahui hanya memberikan perlindungan separa, manakala dos kedua memberikan perlindungan yang hampir 95 peratus. Perlindungan separa bermaksud seseorang individu masih mempunyai peluang sebanyak 50 peratus untuk mendapat jangkitan COVID-19 sejurus sebelum atau selepas menerima suntikan vaksin pertama.

Selain itu, data klinikal juga menunjukkan bahawa sistem pertahanan tubuh manusia mengambil antara enam hingga lapan minggu untuk menghasilkan antibodi yang cukup untuk melawan jangkitan COVID-19. Oleh itu, individu yang telah disuntik vaksin itu tidak mempunyai imuniti maksima terhadap COVID-19 selepas suntikan dos pertama dan ada kemungkinan dijangkiti virus sama tetapi bergejala rendah. Vaksin ini tidak 100 peratus berkesan dan menjadikan anda kebal terhadap COVID-19. Namun begitu, risiko jangkitan akan terus berkurangan apabila lebih ramai orang dalam komuniti mendapat vaksin. 

Secara ringkasnya, orang ramai tidak boleh meringankan panduan keselamatan COVID-19 walaupun selepas diberi vaksin untuk wabak jangkitan ini. Pemakaian pelitup muka serta mengekalkan jarak sosial adalah amat penting sehinggalah negara mencapai imuniti sepenuhnya. 


  • Adakah Vaksin Akan Mencegah Penularan COVID-19?

Menurut CDC (Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit), imunisasi COVID-19 akan menjadi alat penting untuk membantu mengurangkan kadar penularan wabak COVID-19. Memakai topeng dan mengamalkan penjarakan sosial boleh membantu mengurangkan risiko anda dijangkiti virus atau menyebarkannya kepada orang lain, tetapi langkah-langkah ini sahaja tidak mencukupi. Vaksin akan berfungsi menjadikan sistem pertahanan tubuh anda bersedia untuk melawan virus. Vaksin yang kini ditemui adalah untuk melindungi masyarakat daripada komplikasi penyakit yang teruk. Vaksin ini belum diperakui potensinya untuk menyekat penularan virus. Justeru, seseorang individu dapat dilindungi daripada mendapat komplikasi serius tetapi individu terbabit masih membawa virus dan berpotensi untuk menjangkiti orang lain. Namun, kebanyakan saintis percaya bahawa vaksin COVID-19 dapat mengurangkan viral load pada individu yang telah diberi suntikan sekaligus dapat mengurangkan kadar penularan wabak ini. 

  • Tidak Ada Perubahan Ketara Dalam Masa Terdekat

Penciptaan vaksin COVID-19 merupakan suatu usaha yang sangat luar biasa. Ini telah menunjukkan seberapa cepat pengembangan ilmiah dapat dicapai melalui kerja keras kolaboratif, dan seberapa besar kemahuan dapat menghasilkan impian. Selama tahun 2020, 61 vaksin telah dicipta, walaupun sebilangannya masih dalam ujian klinikal, ada yang melaporkan kadar keberkesanan lebih dari 90% terhadap jangkitan COVID-19. 

Pakar perubatan dari luar negara mengatakan bahawa penting bagi kita semua untuk menyedari bahawa disebabkan oleh kelewatan dalam pengeluaran vaksin dan permintaan yang tinggi dari seluruh pelusuk dunia, tidak akan ada "perubahan segera" dalam masyarakat kita. Ada juga yang meramalkan bahawa kemungkinan kita bakal memasuki pertengahan tahun 2021 sebelum kita dapat mendapatkan perubahan yang ketara. 

Manakala, pengarah Institut Penyelidikan Klinikal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula berpendapat bahawa untuk kembali kepada kehidupan normal sebelum munculnya Covid-19 ini, ianya memerlukan kira-kira 12 hingga 24 bulan sebelum kehidupan kita kembali kepada seperti sebelumnya. Perkara ini sememangnya memakan tempoh yang agak lama kerana selepas seseorang individu itu disuntik vaksin, individu terbabit bukanlah kebal daripada virus itu sebaliknya hanya mengurangkan tahap kritikal jangkitan saja. Memang ada kemungkinan risiko dijangkiti semula, tetapi tahap serius jangkitan itu diramal akan menurun. 

  • Mengekalkan Norma Baharu

Para saintis, pegawai kesihatan awam dan pakar semuanya telah memperingatkan masyarakat agar tidak menganggap remeh tentang  penjarakan sosial dan juga pemakaian pelitup muka. Kesan vaksin COVID-19 mungkin mengambil masa yang agak panjang untuk dibuktikan efektif. Walaupun anda sudah mendapatkan vaksin, anda harus terus mengikuti semua peraturan atau norma baharu dalam satu jangka waktu tertentu. Walaupun anda telah divaksinasi, anda perlu terus mengikuti norma baru sehingga masyarakat berjaya membina imuniti kelompok.

Selain itu, anda juga disarankan untuk sentiasa menjaga kesihatan dengan menguatkan sistem pertahanan tubuh badan selama pandemik ini berlangsung. Beberapa tips yang boleh diamalkan untuk meningkatkan tahap sistem kekebalan tubuh adalah pengambilan makanan yang seimbang, tidur yang cukup dan kerap melakukan aktiviti senaman. 

Tingkatkan ketahanan sistem imun tubuh dengan mengambil makanan seimbang dan berkhasiat.

Kesimpulan

Secara keseluruhan, pakar perubatan menjangkakan bahawa tahun  2021 akan lebih baik daripada tahun 2020. Namun, adakah kita akan kembali kepada kehidupan yang normal? Adakah kita akan merasa cukup selamat untuk menaiki kapal terbang, menonton wayang atau membeli belah di kawasan yang sesak?

Jawapan mungkin akan berbeza bagi setiap individu. Salah satu faktornya adalah berapa lama masa yang diperlukan untuk bandar tempat tinggal anda mendapat vaksin sekurang-kurangnya sehingga merangkumi 70% populasi kawasan. 

Pakar juga sukar untuk meramal keadaan walaupun dengan kewujudan vaksin ini kerana terdapat pelbagai kemungkinan yang mungkin merubah keadaan, seperti apakah mutasi virus yang serius akan menjadikan vaksin kurang berkesan atau ramai penduduk yang menolak vaksin COVID-19 ini menyebabkan imuniti kelompok tidak dapat dicapai.


Rujukan: