Anda Ragu Tentang Vaksin COVID-19? Ketahui Bagaimana Ia Dihasilkan
Sehingga kini, dunia masih dibelenggu oleh wabak COVID-19. Para saintis di seluruh dunia sedang berusaha menghasilkan rawatan terbaik bagi mengembalikan kehidupan pra-pandemik. Beberapa syarikat farmaseutikal juga sedang giat mengusahakan ubat antivirus untuk merawat pesakit COVID-19 sama ada mencipta ubat baru atau percubaan melalui ubat-ubatan sedia ada yang digunakan untuk jangkitan lain sebelum ini. Kajian bagi ciptaan vaksin pula terus berkembang dan diharap dapat digunakan sebagai langkah pencegahan jangkitan COVID-19.
Namun begitu, apabila vaksin kini telah berjaya dicipta dan mula diagihkan kepada masyarakat dunia, ramai yang sangsi dan meragui keupayaan dan keselamatan vaksin ini sehingga enggan mengambilnya. Jadi, mari ikuti artikel ini mengupas proses penghasilan vaksin COVID-19 dari awal sehingga ia sampai kepada pengguna.
Apakah Langkah Penting Dalam Penghasilan Vaksin?
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau World Health Organisation (WHO), terdapat beberapa langkah penting yang perlu diambil untuk memastikan suatu vaksin baru itu selamat dan boleh berfungsi dengan baik. Langkah-langkah yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
- Kajian Pra-Klinikal
Untuk keberkesanan dan keselamatan, vaksin diuji dalam beberapa kajian terhadap haiwan (animal studies) dan juga kajian cabaran (challenge studies).
- Fasa I: Ujian Klinikal
Sekumpulan kecil sukarelawan dewasa yang sihat menerima vaksin untuk menguji keselamatan vaksin.
- Fasa II: Ujian Klinikal
Vaksin diberikan kepada orang yang mempunyai ciri-ciri (seperti usia dan kesihatan fizikal) yang serupa dengan golongan individu yang menjadi sasaran utama untuk menerima manfaat ciptaan vaksin.
- Fasa III: Ujian Klinikal
Vaksin diberikan kepada ribuan orang dan diuji keberkesanan dan keselamatannya dengan lebih tepat.
- Fasa IV: Pengawasan Pasca Pemasaran
Kajian berterusan setelah vaksin diluluskan dan dilesenkan, untuk memantau kesan sampingan dan mengkaji kesan jangka panjang vaksin pada populasi masyarakat.
- Kajian Cabaran Terhadap Manusia (Human Challenge Studies)
Kajian dimana vaksin diberikan bersama patogen penyakit. Ujian seperti ini tidak menjadi kebiasaan praktikal kerana banyak cabaran etika yang perlu ditempuh.
Dalam kajian vaksin biasa, sekumpulan sukarelawan yang berisiko mendapat penyakit diberikan suntikan vaksin ujian, manakala sekumpulan lain tidak diberikan vaksin tersebut. Kemudian, peneliti akan memantau kedua-dua kumpulan ini dari semasa ke semasa dan membandingkan hasil untuk melihat samada vaksin itu selamat dan berkesan.
Dalam kajian cabaran terhadap manusia (human challenge studies), apabila sukarelawan yang sihat telah mendapat suntikan vaksin ujian, kemudian sukarelawan ini akan didedahkan kepada organisma atau patogen yang menyebabkan suatu penyakit tersebut. Hal ini bertujuan untuk melihat apakah vaksin itu benar-benar berfungsi. Beberapa saintis mempercayai bahawa pendekatan ini dapat mempercepat pengembangan dan penghasilan vaksin COVID-19, kerana memerlukan sukarelawan yang jauh lebih sedikit berbanding kajian vaksin biasa.
Walaubagaimanapun, terdapat beberapa pertimbangan etika penting yang mesti dipatuhi terutamanya untuk penyakit baru seperti COVID-19, dimana kita belum fahami sepenuhnya dan masih mempelajari bagaimana kaedah terbaik untuk merawatnya. Perkara ini menjadi antara cabaran sukar bagi komuniti perubatan dan sukarelawan untuk menganggarkan risiko sekiranya mereka “turun padang” dalam kajian cabaran terhadap manusia bagi vaksin COVID-19 ini.
Mengapa Terdapat Banyak Penghasilan Vaksin COVID-19 Yang Berbeza?
Untuk memenuhi permintaan vaksin COVID-19 di seluruh dunia, adalah mustahil bagi pengeluaran menjadi tanggungjawab tunggal sebuah syarikat. Oleh itu, saintis dan syarikat farmaseutikal di seluruh dunia sedang melakukan penyelidikan secara serentak pada kadar yang belum pernah terjadi sebelumnya, dengan hasil terbaik dan paling menjanjikan digunakan oleh masyarakat dunia. Pengeluaran serentak ini juga sangat penting untuk memastikan bahawa permintaan vaksin bagi penduduk di seluruh dunia dapat dipenuhi termasuk negara-negara yang kurang berkemampuan.
Kesimpulan
Kesimpulannya, proses penghasilan vaksin COVID-19 bukanlah suatu yang mudah. Terutama dalam era pandemik yang mencabar ini, penghasilan vaksin yang cepat amat diperlukan. Namun begitu, aspek keselamatan dan keberkesanan tetap menjadi standard tertinggi dalam proses tersebut.
Tingkatkan ketahanan sistem imun tubuh dan jalani kehidupan seharian yang sihat!