Disebalik Pengendalian Logistik Vaksin Coronavirus (COVID-19)

Cabaran Pengendalian Logistik Vaksin COVID-19 - DoctorOnCall

Kesan COVID-19 terhadap status sosioekonomi dunia telah memberi kesan yang belum pernah terjadi sebelumnya. Oleh itu, kerajaan di seluruh dunia telah cuba mendapatkan sebanyak mungkin vaksin untuk mencapai populasi yang divaksinasi sebanyak 80% yang diperlukan untuk imuniti kumpulan. Walau bagaimanapun, dapat dilihat bahawa bekalan tidak dapat mengekalkan permintaan.

    Namun yang sering menjadi persoalan baru-baru ini adalah desas desus berkait penggunaan peti sejuk beku pada suhu ekstrim, teknologi pembotolan oleh industri tempatan dan impak kedua-duanya terhadap perolehan & pengagihan vaksin kepada masyarakat.Ketahui cara penyimpanan vaksin, maksud rangkaian sejuk (cold chain), dan proses akhir pembotolan vaksin (fill & finish), dengan lebih lanjut di melalui artikel ini.

Tingkatkan sistem kekebalan tubuh dengan mengambil suplemen yang tepat.

Cabaran Logistik Terbesar Dalam Sejarah

    Khusus di Malaysia, pengendalian vaksin COVID-19 adalah antara cabaran logistik terbesar dalam sejarah. Oleh itu ia sedang diperhalusi dengan memantapkan lagi pengendalian rangkaian sejuk (bagi vaksin Pfizer & Gamaleya) serta membuka ruang kepada industri tempatan untuk memainkan peranan dalam aspek akhir pemprosesan dan pembotolan vaksin Sinovac.

    Selain itu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) juga telah memastikan 54 pusat simpanan vaksin (di seluruh negara) mempunyai fasiliti peti penyimpanan yang mencukupi. Selain itu, kerjasama KLN, KKM & MOSTI pula terus bergiat aktif bagi memastikan kelangsungan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berjalan dengan lancar.

    Prosedur penyimpanan rangkaian sejuk di negara tropika ini juga amat memerlukan pelan kontigensi rangkaian sejuk yang berkredibiliti. Cuaca panas dan akses jana kuasa yang terhad dapat mempersulit usaha pihak berkuasa dalam memastikan program vaksinasi mencapai sasaran objektif. Sebagai contoh, berikut adalah tiga jenis penyimpanan vaksin mengikut kadar suhu yang diperlukan oleh setiap fasiliti.

Jenis Penyimpanan Vaksin

Kadar Suhu Penyimpanan Vaksin

Peti Sejuk (Farmasi) Konvensional 

1 hingga 12 darjah celcius

Peti Sejuk Beku (Cold Chain)

-10 hingga -45 darjah celcius

Peti Sejuk Beku (Ultra Cold Chain)

-50 hingga -86 darjah celcius



Apa Itu Cold Chain?

    Rangkaian sejuk (Cold Chain) merupakan sebuah sistem penghantaran dan penyimpanan vaksin menggunakan platform bersepadu & kaedah yang dapat mengekalkan suhu optimum yang diperlukan oleh vaksin tertentu. Kawalan suhu ini adalah penting bagi memastikan sesetengah vaksin kekal stabil bermula dari kilang pemprosesan, pengangkutan, pusat penyimpanan sehingga ke pusat pemberian vaksin. 

Elemen penting sistem Cold Chain

  • Peti Sejuk Beku

  • Peranti Pengukur Suhu

  • Teknologi ice box & dry ice 

  • Peranti thermos (i.e. Arktek, NanoQ, dll.)

    Sebagai contoh, sekotak susu yang mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan kita jika disimpan pada suhu yang salah, akan mudah rosak sehingga tidak boleh di manfaatkan lagi. Perbezaanya dengan vaksin adalah, setiap produk pelalian yang telah dicipta mempunyai julat suhu penyimpanan yang bervariasi, bergantung kepada jenis vaksin. Vaksin yang berlainan memerlukan peti sejuk farmaseutikal yang berbeza.

    Di Malaysia, kaedah cold chain diperlukan bagi vaksin jenis adenovirus vector (hybrid) dan ultra cold chain bagi vaksin jenis mRNA. Walaupun kajian klinikal mendapati bahawa vaksin jenis mRNA & hybrid ini merupakan salah satu alternatif yang sangat berkesan, secara fizikalnya (struktur kimia) vaksin-vaksin tersebut sangatlah rapuh, jadi ia memerlukan penyimpanan yang rapi bagi mengekalkan fungsinya.


Apa itu Fill & Finish?

    Antara langkah proaktif dalam memastikan kelancaran penerimaan vaksin adalah, dengan melaksanakan proses pembotolan vaksin di Malaysia - menerusi kaedah ‘fill & finish’. Menerusi kaedah tersebut pihak kerajaan hanya perlu membeli vaksin secara pukal (in bulk), kemudian mempertanggungjawabkan proses selanjutnya (akhir) pada pihak industri tempatan. Secara tidak langsung ini dapat memendekkan waktu menunggu tempahan & menjimatkan kos perolehan vaksin secara keseluruhan. 

    Fill & Finish ialah proses akhir pengisian vaksin kedalam vial (tabung kaca) sebelum ia diedarkan ke hospital atau seluruh pusat pemberian vaksin negara. Penglibatan seperti ini semestinya akan menjadi suatu nilai tambah yang amat bermanfaat kepada negara, seterusnya dapat menjadi pemacu kepada usaha penyelidikan & pembanganunan industri dalam menghasilkan vaksin tempatan di masa akan datang.

    Walaubagaimanapun, kriteria untuk menjadi pihak utama yang bertanggungjawab dalam proses pengeluaran vaksin ini, semestinya mempunyai taraf yang sangat tinggi. Vaksin merupakan salah satu produk kesihatan yang sentiasa dipantau dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesannanya. Pihak Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan WHO akan sentiasa memastikan Good Manufacturing Practice dan piawaian regulatori antarabangsa di jaga dengan baik.


Kesimpulan

    Operasi logistik vaksin kali ini adalah antara yang paling mencabar, ia melibatkan jumlah tenaga kerja dan anggaran penerima hampir 10 kali ganda berbanding mana-mana kempen vaksinasi sebelum ini. Ia juga melibatkan usaha sama antara institusi tempatan dan pihak dari luar negara. Faktor sebegini yang membuatkan inisiatif antarabangsa seperti COVAX & CEPI memainkan peranan yang sangat penting agar distribusi vaksin terkendali dengan baik, adil & sesegera mungkin ke seluruh negara di serata dunia. Oleh itu marilah kita sama-sama memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan strategi imunisasi negara dengan mengambil vaksin yang diberikan apabila tiba masanya.

Kekal sihat dan dapatkan vaksinasi anda dengan doktor kami!

Rujukan: