Bagaimanakah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Akan Dijalankan?
Pada penghujung tahun 2020, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan kenyataan bahawa KKM akan melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang meliputi seluruh lapisan masyarakat di Malaysia dan ia akan diberikan secara percuma kepada warganegara Malaysia. Vaksin ini juga akan diberikan kepada bukan warganegara yang menetap di negara ini. Program ini merupakan program imunisasi yang terbesar yang pernah dilakukan oleh negara setakat ini.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaludin berkata program ini tidak boleh gagal kerana objektifnya perlu dicapai iaitu memastikan imuniti kelompok (herd immunity) berjaya dibentuk dan seterusnya dapat memulihkan ekonomi negara daripada pelbagai aspek.
Melalui perutusan khas yang disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini terbahagi kepada tiga fasa di mana fasa pertama telah pun bermula pada penghujung bulan Februari lalu. Fasa ketiga dijangka akan selesai sekitar bulan Februari 2022 di mana sekurang-kurangnya 80% atau sekitar 25 juta rakyat Malaysia akan mendapat vaksin ini dan setiap fasa menyasarkan golongan-golongan tertentu seperti kepentingan tugas dan tahap kesihatan. Anda boleh mendapatkan suntikan vaksin ini di pusat pemberian vaksin yang akan dibuka pada masa terdekat ini.
Fasa Pertama
Fasa pertama telah bermula pada penghujung bulan Februari ini dan melibatkan petugas barisan hadapan atau lebih dikenali sebagai frontliners. Lebih kurang 500,000 petugas barisan hadapan dari pelbagai sektor akan menerima vaksin ini, antaranya:
Doktor dan pekerja sektor kesihatan
Polis Diraja Malaysia (PDRM)
Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
Bomba dan Penyelamat
RELA
Tujuan fasa pertama ini menyasarkan golongan barisan hadapan adalah kerana golongan ini paling terdedah dengan virus tersebut dan untuk melindungi diri mereka sebelum dapat berkhidmat untuk orang lain, terutama golongan yang bekerja dalam sektor kesihatan.
Fasa Kedua
Fasa kedua melibatkan golongan warga emas dan golongan yang berisiko tinggi berumur 60 tahun ke atas. Antara individu yang terlibat dalam fasa kedua program ini adalah:
Golongan yang mempunyai penyakit kronik seperti penyakit darah tinggi, jantung, obesiti, kencing manis dan lain-lain
Warga emas
Golongan Orang Kurang Upaya (OKU)
Fasa ini dijangka akan bermula sekitar April dan akan berlangsung sehingga Ogos tahun ini dan dianggarkan sebanyak 9 juta orang akan menerima suntikan vaksin ini.
Fasa Ketiga
Fasa ketiga ini pula melibatkan semua golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas. Fasa ini akan bermula pada bulan Mei dan akan berlangsung sehingga bulan Februari tahun hadapan. Fasa ini merupakan fasa paling penting kerana sekiranya fasa ketiga ini berjaya, imuniti kelompok dapat dicapai dan seterusnya dapat memberi pelindungan kepada golongan yang tidak dapat menerima vaksin atas sebab-sebab tertentu seperti faktor kesihatan, usia dan sebagainya.
Disebabkan jumlah penerima vaksin yang terlalu ramai dalam fasa ketiga ini, pemberiannya akan diberikan secara berperingkat kepada penerima. Oleh itu, anda perlu patuh kepada tarikh yang tertera pada kad temu janji pemberian vaksin ini untuk kedua-dua dos untuk mengelakkan masalah komunikasi dan menyusahkan staf kesihatan dan penerima yang lain.
Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, beberapa tempat telah dikenal pasti sebagai pusat penyimpanan dan juga pusat pemberian vaksin ini, antaranya:
Fasiliti kesihatan awam dan swasta
Pusat konvensyen
Dewan orang ramai atau serbaguna
Universiti
Dengan adanya program imunisasi ini, diharapkan pemberian vaksin COVID-19 dapat mengekang penularan wabak ini dan seterusnya memberi perlindungan maksimum kepada semua golongan rakyat Malaysia.
Disarankan agar anda mendapatkan vaksin secepat mungkin untuk kebaikan bukan sahaja diri anda sendiri tetapi juga bagi mereka di sekeliling anda. Vaksin tidak hanya terbukti selamat, tetapi juga berkesan.
Kesan sampingan ringan vaksin ini akan hilang dalam beberapa hari atau mungkin sama sekali tidak muncul. Jika anda mempunyai sejarah alergi terhadap vaksin atau reaksi alergi yang mengancam nyawa oleh vaksin atau ubat lain, sila beritahu pembekal penjagaan kesihatan anda sebelum anda menerima suntikan.
Berkenaaan dengan cara pendaftaran dan mendapatkan vaksin ini, anda sudah boleh mula mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera dan ia dilaksanakan secara sukarela. Kami berharap ramai rakyat Malaysia akan menerima vaksin ini demi menjaga keselamatan diri, keluarga dan juga komuniti sekeliling. Sekiranya anda telah menerima suntikan vaksin, anda dinasihatkan untuk meneruskan kehidupan norma baharu seperti memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan kebersihan tangan sehingga kita bebas daripada wabak ini.