Vaksin COVID-19 Dihasilkan Begitu Cepat. Adakah Ia Selamat?

Bagaimana Vaksin COVID-19 Dihasilkan Begitu Cepat? - DoctorOnCall

Pengenalan

Dalam masa setahun dunia diserang COVID-19, para penyelidik bekerja keras memerah keringat untuk mencipta vaksin bagi melawan coronavirus yang telah meragut nyawa lebih dua juta orang di seluruh dunia.

Perjalanan mencipta sebotol vaksin yang berjaya kebiasaanya mengambil masa 18 bulan atau lebih. Contohnya vaksin BCG (bacille Calmette-Guérin) mula ditemui dan dicipta pada tahun 1920, tetapi hanya mula digunakan untuk orang ramai pada 1927 di negara Barat. Negara kita sendiri memulakan pemberian vaksin BCG hanya pada 1961.

Penemuan vaksin bagi wabak ini adalah amat diharapkan kerana wabak ini bukan sahaja telah meragut nyawa, tetapi juga telah menyebabkan pelbagai sektor seperti ekonomi, pendidikan dan kesihatan terjejas teruk. Oleh itu, ciptaan vaksin COVID-19 diharap dapat membantu mengekang wabak ini dan memperbaiki keadaan.

Namun begitu, cepatnya penghasilan vaksin ini menimbulkan rasa sangsi masyarakat terhadapnya, sehingga muncul spekulasi yang mengatakan COVID-19 adalah ciptaan dan propaganda, serta vaksin COVID-19 tidak selamat kerana terlalu cepat dihasilkan. Jadi, mari ikuti artikel ini untuk memahami, mengapa vaksin ini boleh terhasil dengan cepat.

Bagaimana Vaksin Dapat Dihasilkan Dengan Cepat

Berikut adalah faktor-faktor yang membantu penghasilan vaksin ini dengan lebih pantas berbanding vaksin terdahulu.

1. Kemajuan teknologi masa kini - Ahli virologi Prof Emeritus Datuk Sai Kit berkata kemajuan teknologi membolehkan para saintis mencipta vaksin percubaan untuk COVID-19 dalam masa beberapa minggu sahaja berbanding sebelumnya. Walaupun penghasilan vaksin yang selamat digunakan manusia biasanya mengambil masa bertahun, kemajuan teknologi telah membolehkan vaksin yang penting untuk mengekang wabak ini dihasilkan dengan masa yang lebih singkat.

2. Kurangnya kerenah birokrasi - Menurut pakar sistem kesihatan, sebahagian besar pembangunan vaksin diambil oleh tuntutan birokrasi dan menunggu dana kewangan. Oleh itu, masa yang dihabiskan untuk penyelidikan itu sendiri dikurangkan. Semua proses ini telah diubah untuk membantu mempercepatkan pengeluaran dan kelulusan vaksin COVID-19.​

3. Perkongsian data - Selain itu, para saintis juga dapat memanfaatkan penyelidikan dan kajian sebelum ini mengenai vaksin dan coronavirus terdahulu dan kini lebih banyak perkongsian data daripada semua pihak diberikan demi untuk mencipta vaksin COVID-19 yang diperlukan oleh masyarakat di seluruh dunia.

4. Lebih banyak dana- Bagi membantu kajian vaksin COVID-19 pihak kerajaan di seluruh dunia, badan-badan NGO, individu dan pelbagai agensi telah menyalurkan bantuan kewangan dan kemudahan kepada para penyelidik di seluruh dunia agar penyelidikan vaksin ini dapat dijalankan dengan lancar.

5.Bilangan sukarelawan yang mencukupi bagi melakukan ujian klinikal vaksin.- Selain itu, bilangan ahli sukarelawan yang lebih ramai membolehkan firma farmaseutikal berupaya melakukan ujian klinikal yang mencukupi untuk mendapatkan data yang tepat dan hasil yang terbaik.

Adakah Vaksin Ini Selamat?

Walaupun vaksin ini berjaya dicipta, kejayaan ini mengundang pelbagai persoalan dan rasa curiga berkenaan keselamatan dan keberkesanan vaksin COVID-19.

Perdebatan semakin kencang di media sosial berkenaan keselamatan vaksin ini. Kebanyakan orang meluahkan perasaan bimbang mereka terhadap kehadiran vaksin yang dikatakan dibangunkan dengan keadaan tergesa-gesa.

Untuk makluman anda, pelbagai proses penilaian telah diambil oleh pihak kerajaan sebelum memperoleh vaksin daripada syarikat pengeluar vaksin COVID-19. Hal ini kerana keberkesanan dan keselamatan vaksin menjadi persoalan utama sebelum ia secara rasmi boleh diguna pakai kepada masyarakat umum.

Pihak kerajaan juga mewajibkan vaksin tersebut melalui proses keselamatan dan keberkesanan yang ketat. Agensi Regulatori Farmasi Negara telah diberi tugas untuk menggalas tanggung jawab ini. Agensi ini telah meneliti dengan secara mendalam data-data yang diberikan berkenaan vaksin COVID-19 ini. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga memberi jaminan bahawa tiada kompromi dalam hal ini dan akan dilakukan kajian secara telus dan teliti.

Tambahan lagi agensi ini juga bertanggung jawab menilai bagaimana untuk membolehkan vaksin ini sampai kepada rakyat yang memerlukannya. Hal ini membuktikan bahawa kerajaan tidak memberikan vaksin ini secara membuta tuli walaupun syarikat pengeluarnya mendakwa vaksin COVID-19 yang dihasilkan oleh pihak mereka adalah 95 peratus berkesan untuk menangani jangkitan virus berkenaan.

Bagaimana Vaksin Ini Diberikan?

Satu dos akan disuntik pada bahagian atas lengan dan diikuti dengan dos kedua 21 hari kemudian. Vaksin ini dikatakan kadar keberkesanannya adalah 52 peratus selepas dos pertama dan 95 peratus selepas dos kedua. Perubahan mula kelihatan ketara selepas 14 hari mendapat dos pertama.


Kesimpulan

Saintis dan pakar perubatan bertungkus-lumus bagi mencari penyelesaian untuk berlawan dengan virus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Pelbagai kajian ke arah pembinaan vaksin yang ampuh bagi melawan Coronavirus sudah banyak dilakukan. Keluarga virus ini sudah pun menyerang dunia sejak tahun 1960. Antara virus yang berasal daripada keluarga Coronavirus termasuklah Common Flu, SARS, dan MERS-Cov.

Sementara pihak kerajaan dan Kementerian Kesihatan menguruskan isu vaksin yang sesuai untuk rakyat negara kita, buat masa ini,  'vaksin' yang terbaik adalah dengan mematuhi segala SOP yang ditetapkan oleh pihak berautoriti seperti penjarakan sosial, amalan kebersihan dan mengamalkan norma baharu dalam masyarakat.

Rujukan: