Bahaya hepatitis C
- Hepatitis C merupakan penyakit yang berbahaya kerana berpotensi menjadi jangkitan kronik lalu memudaratkan fungsi hati dan meningkatkan risiko kanser hati.
- Hepatitis C lebih berisiko menjadi penyakit yang kronik berbanding dengan hepatitis B. Penyakit ini juga mudah berjangkit.
- Virus hepatitis C merebak melalui cecair badan seperti:
- Darah
- Air mani
- Lendir faraj
- Air liur
- Orang ramai disarankan supaya mempunyai kesedaran untuk mencegah hepatitis C.
Cara hepatitis C merebak
- Kita harus mengetahui cara virus ini berjangkit supaya cara pencegahan Hepatitis C boleh dilaksanakan dengan berkesan.
- Virus ini merebak dengan pelbagai cara seperti yang disenaraikan di bawah:
Sekiranya transfusi dilakukan dengan darah yang tercemar, virus hepatitis C boleh masuk ke dalam badan pesakit melalui salur darah.Selain transfusi darah, sebarang luka di kulit, tatu, tindik dan akupuntur yang tidak bersih juga mungkin menjadi cara virus ini merebak.
Kecederaan yang disebabkan oleh jarum yang tercemar turut menjadi punca hepatitis C. Oleh sebab itu, para pekerja kesihatan menghadapi risiko hepatitis C yang lebih tinggi berbanding dengan orang ramai.
Perkongsian alat-alat peribadi.
Penagih dadah turut terdedah kepada risiko hepatitis C ketika berkongsi jarum.
Mereka yang mengamalkan hubungan kelamin berisiko tinggi atau hubungan kelamin tanpa perlindungan. Ini termasuklah mereka yang tidak menggunakan kondom semasa hubungan seksual dan mereka yang mempunyai banyak pasangan.
Virus juga mungkin disebarkan kepada bayi melalui uri sekiranya ibunya menghidap hepatitis C.
Ahli keluarga pesakit hepatitis C turut menghadapi risiko hepatitis C.
- Mereka yang didapati berisiko menghidap hepatitis C seharusnya menghindarkan perkara dan amalan berbahaya yang telah disenaraikan untuk elak hepatitis C.
Langkah-langkah pencegahan
- Walaupun hepatitis B boleh dicegah dengan vaksin, vaksin yang berkesan untuk hepatitis C belum dijumpai. Oleh sebab itu, langkah pencegahan hepatitis C menjadi lebih penting untuk mengurangkan risiko jangkitan.
- Elak hepatitis C dengan cara-cara berikut:
Ahli keluarga pesakit hepatitis C disarankan supaya mendapatkan ujian saringan. Hal ini adalah untuk mengetahui status jangkitan sendiri. Jika didapati positif, rawatan yang sesuai boleh diberikan dengan lebih awal.
Alat-alat peribadi seperti ketip kuku, berus gigi, pisau cukur dan sebagainya tidak harus dikongsi dengan orang lain. Hal ini kerana alat-alat ini boleh menyebabkan luka yang memudahkan kemasukan virus.
Amalkan hubungan kelamin yang selamat. Gunakan perlindungan seperti kondom kerana kondom dapat mengurangkan pendedahan terhadap cecair badan yang mungkin tercemar. Kurangkan hubungan seksual berisiko tinggi dengan bersikap setia terhadap pasangan.
Bersihkan titisan darah dengan segera. Agen peluntur boleh digunakan untuk tujuan ini.
Pesakit hepatitis C tidak dibenarkan menderma darah kerana virus boleh merebak ke badan penerima.
Jika pendedahan terhadap virus berlaku, sila dapatkan nasihat doktor dengan segera.