Apakah itu Hepatitis?
Hepatitis adalah satu terma yang digunakan untuk menjelaskan keradangan hati. Pengertian penyakit hepatitis adalah penyakit radang hati yang boleh disebabkan oleh pelbagai perkara.
Terdapat dua jenis hepatitis iaitu jenis jangkitan dan bukan jangkitan. Hepatitis akibat jangkitan selalunya adalah disebabkan oleh organisma-organisma seperti virus, bakteria, kulat atau fungus dan juga parasite. Manakala radang yang bukan bersifat jangkitan adalah disebabkan oleh penggunaan bahan seperti alkohol yang berlebihan dan juga penyalahgunaan dadah. Hepatitis juga boleh disebabkan oleh masalah autoimun dan juga penyakit metabolik.
Dalam kebanyakan penyebab radang hati atau hepatitis ini, jangkitan viral atau viral hepatitis menjadi antara penyumbang terbesar penyebab masalah ini. Kebanyakan kes viral hepatitis adalah disebabkan oleh virus hepatitis A, virus hepatitis B dan virus hepatitis C. Namun begitu, terdapat juga virus hepatitis lain iaitu virus hepatitis E dan virus hepatitis D. Virus lain yang boleh menyebabkan hepatitis termasuklah cytomegalovirus (CMV), Epstein-Bar virus (EBV) dan herpes simplex virus (HSV)
Apakah Hepatitis B?
Apa itu Hepatitis B? Maksud Hepatitis B adalah penyakit radang hati yang disebabkan oleh virus hepatitis B. Virus ini adalah sejenis DNA virus yang hidup dalam produk darah seperti platelet dan plasma, dan juga cecair badan seperti sperma dan cecair faraj. Oleh itu, ia boleh merebak melalui pemindahan darah, perkongsian jarum suntikan, hubungan seksual dan sentuhan terus dengan cecair yang tercemar dengan virus ini. Oleh itu, mereka yang berisiko untuk mendapat jangkitan ini adalah mereka yang memerlukan pemindahan darah seperti pesakit hemophilia, mereka yang bekerja dalam sektor kesihatan seperti jururawat dan doktor dan juga pekerja di institusi seperti pusat pemulihan dan penjara, pasangan seksual pesakit hepatitis B, bayi dalam kandungan ibu yang menghidap hepatitis B dan juga keluarga angkat kanak-kanak yang menghidap penyakit ini.
Virus hepatitis B menyerang organ hati apabila menjangkiti manusia dan menyebabkan jangkitan akut atau kronik. Ia merupakan masalah yang dihadapi oleh penduduk seluruh dunia terutamanya di negara sedang membangun. Wabak penyakit hepatitis B banyak melanda kawasan seperti Timur Tengah, Afrika dan Mediterranean dan jumlah tertinggi dicatatkan di kawasan Barat Pasifik dan Afrika. Menurut WHO, seramai kira-kira 257 juta orang di dunia menghidap jangkitan hepatitis B dan pada tahun 2018, seramai 887000 orang telah mati akibat jangkitan ini. Kebanyakan kematian adalah akibat komplikasi “cirrhosis” dan kanser hati.
Virus Hepatitis B
Virus hepatitis B adalah sejenis virus DNA berdiameter 42-nanometer berbentuk sfera dan mempunyai 2 lapis cengkerang yang terbentuk dari zarah-zarah berbentuk sfera dan rod. Dua lapisan ini melindungi pusat yang mengandungi hepatitis B core antigen (HbcAg). Virus ini kebal terhadap perubahan suhu yang ekstrem serta kelembapan. Ia boleh hidup selama 15 tahun apabila disimpan pada suhu -20 darjah Celsius, 24 bulan pada suhu -80 darjah Celsius, 6 bulan pada suhu bilik dan 7 hari pada suhu 44 darjah Celcius.
Virus ini mempunyai 2 jenis gene iaitu (Surface gene) dan (Core gene). Surface gene adalah gene yang menghasilkan permukaan atau lapisan luar virus ini serta satu struktur protien yang dipanggil hepatitis b surface antigen (HBsAg). Manakala (Core gene) menghasilkan struktur protein yang membaluti DNAnya iaitu hepatitis b core antigen (HBcAG). Core gene ini juga menghasilkan satu lagi struktur protein yang dinamakan hepatitis b e antigen (HBeAg). Kesemua struktur protein HBsAg, HBcAg dan HBeAg ini digunakan dalam perubatan bagi mengenal pasti status jangkitan pesakit. Sebagai contoh, status HBeAg yang tinggi dalam pesakit menunjukkan bahawa pesakit mempunyai kandungan virus yang tinggi dan amat berisiko untuk menyebarkan jangkitan kepada orang lain.
Apabila virus ini menjangkiti manusia, tubuh badan akan menghasilkan antibodi. Antibodi-antibodi ini juga dihasilkan mengikut tahap jangkitan hepatitis B. Oleh itu, ujian darah akan menunjukkan kedua-dua status hepatitis B antigen dan antibodi dalam badan manusia dan akan digunakan untuk mengenal pasti status jangkitan pesakit sama ada baru dijangkiti, telah sembuh, telah menerima vaksin atau berpotensi menyebarkan jangkitan.
Kitaran hidup virus Hepatitis B boleh dibahagikan kepada 5 peringkat.
1. Peringkat toleransi sistem imun (Immune tolerance)
Ini adalah peringkat pertama jangkitan hepatitis B. Ia merupakan (Incubation period) atau tempoh pengeraman virus ini. Pesakit yang dijangkiti virus ini tidak menunjukkan sebarang gejala jangkitan ketika ini. Tempoh peringkat ini adalah 2-4 minggu bagi orang dewasa dan bagi bayi baru lahir yang dijangkiti tempoh pengeraman ini boleh memakan masa bertahun-tahun.
2. Peringkat sistem imun aktif (Immune active/Immune clearance)
Pada peringkat ini sistem imun tubuh telah bertindak terhadap virus ini dan cuba untuk menghapuskannya. Pada ketika ini kadar Hepatitis B e antigen adalah tinggi di dalam darah. Bagi sesetengah tubuh pesakit yang hampir berjaya memusnahkan populasi virus ini, penurunan kadar Hepatitis B DNA dapat dilihat. Peringkat ini boleh terbahagi kepada kronik dan akut. Tempoh peringkat ini bagi serangan akut adalah 3-4 minggu dan boleh memakan masa hingga 10 tahun atau lebih bagi serangan hepatitis B yang kronik. Tempoh ini juga dipanggil (Symptomatic period) di mana pesakit akan menunjukkan gejala-gejala jangkitan seperti demam, muntah, loya, keletihan, serta kesakitan pada sendi dan otot.
3. Peringkat jangkitan kronik yang tidak aktif (Inactive chronic infection)
Pada ketika ini replikasi virus adalah amat rendah dan antibody terhadap hepatitis B e antigen dapat dikesan.
4. Peringkat jangkitan kronik (Chronic disease)
Selepas jangkitan kronik yang tidak aktif, peringkat yang turut dipanggil (Chronic HBeAg-negative) ini boleh berlaku. Ia juga boleh muncul selepas peringkat kedua iaitu (Immune active) berlaku.
5. Peringkat Pemulihan (Recovery)
Peringkat ini merupakan peringkat terakhir dalam kitaran jangkitan virus Hepatitis B ini di mana, tiada sebarang DNA atau HBsAg dari virus ini yang boleh dikesan. Selain itu, kesemua antibodi terhadap virus ini telah dihasilkan oleh tubuh dan dapat dikesan melalui ujian darah.
Meskipun dalam perubatan moden, jangkitan Hepatitis B boleh dirawat, namun risiko jangkitan ini dan kesan jangka panjangnya terhadap pesakit tidak dapat dinafikan. Salah satu kesan yang ditakuti adalah (Hepatocellular carcinoma) atau kanser hati. Menurut kajian, dengan hanya kehadiran antibodi terhadap HbsAg tanpa kehadiran HBsAg atau DNA virus ini sendiri telah meningkatkan risiko seseorang terhadap kanser hati.
Written by: Dr Ilias Yee
MB BCh BAO (NUI), LRCPI, LRCSI, Fellow Open Medical Institute (Addiction), Fellow ASHM Leadership (Sexual Health & HIV Medicine)
18 Aug 2018