Penyebab, Gejala, Diagnosis, Rawatan Dan Ubat Penyakit Hipertensi
Apakah maksud Hipertensi
Hipertensi atau tekanan darah tinggi merupakan salah satu risiko kepada penyakit jantung, angin ahmar atau strok, masalah buah pinggang dan pembuluh darah. Diagnosis tekanan darah tinggi diberikan mengikut julat tekanan darah seseorang yang telah dipantau sekurang - kurangnya selama 24 jam dengan purata bacaan tekanan darah melebihi bacaan julat normal. Julat bacaan tekanan darah yang normal sebelum ini adalah 120/80 mmHg dan definisi hipertensi ialah tekanan darah melebihi 140/90 mmHg. Manakala bacaan kurang dari 140/90 mmHg tetapi melebihi 120/80 mmHg dikategorikan sebagai tekanan darah meningkat atau (Elevated blood pressure).
Hipertensi menurut WHO adalah sebuah keadaan di mana tekanan di dalam pembuluh darah meningkat secara berterusan. Julat bacaan tekanan darah yang baru telah diguna pakai pada masa kini untuk mengklasifikasikan tekanan darah tinggi. Bermula tahun 2018, berikut merupakan julat bacaan yang digunakan sebagai ciri ciri tekanan darah tinggi adalah seperti berikut:
Tekanan darah normal:
- Tekanan sistolik < 120 mmHg
- Tekanan diastolik < 80 mHg
Tekanan darah meningkat (Elevated blood pressure):
- Tekanan sistolik 120-129 mmHg
- Tekanan diastolik < 80 mmHg
Hipertensi Tahap 1:
- Tekanan sistolik 130-139 mmHg
- Tekanan diastolik 80-89 mmHg
Hipertensi Tahap 2:
- Tekanan sistolik >140 mmHg
- Tekanan diastolik > 90 mmHg
Krisis Hipertensi:
- Tekanan sistolik > 180 mmHg
- Tekanan diastolik > 120 mmHg
Tanda-tanda Hipertensi
Pesakit yang menghidap masalah ini selalunya tidak mempunyai tanda dan gejala hipertensi yang spesifik melainkan apabila seseorang itu mengalami krisis hipertensi.
Sakit kepala merupakan gejala yang sering dikaitan dengan masalah ini, namun begitu ia merupakan gejala yang tidak spesifik kerana biasa dihadapi oleh mereka yang mempunyai tekanan darah normal.
Penghidap tekanan darah tinggi boleh menghadapi gejala yang berkaitan dengan penyebab hipertensi itu sendiri seperti tanda-tanda penyakit pheochromocytoma atau tanda penyakit buah pinggang.
Tanda-tanda juga boleh dilihat sekiranya pesakit telah mengalami kerosakan organ seperti pada mata, buah pinggang, otak, pembuluh darah atau jantung akibat komplikasi tekanan darah tinggi.
Risiko Mendapat Hipertensi
Berikut merupakan ciri-ciri golongan yang berisiko:
- Peningkatan umur. Semakin meningkat umur, semakin tinggi risiko peningkatan darah tinggi.
- Mengamalkan gaya hidup tidak aktif
- Merokok
- Mengalami masalah kegemukan
- Mempunyai sejarah penyakit hipertensi dalam keluarga
- Pengambilan makanan yang tinggi kandungan garam
- Mempunyai masalah kolesterol tinggi
- Mengambil minuman alkohol berlebihan
Apakah Punca Hipertensi
Lebih dari 90% masalah tekanan darah tinggi ini tidak diketahui puncanya dan dikenali sebagai (Essential hypertension).
Bagi 5-10% masalah hipertensi digelar hipertensi sekunder atau (Secondary hypertension). Dalam keadaan ini, tekanan darah tinggi adalah berpunca daripada masalah pada organ lain iaitu:
1) Penyakit buah pinggang – merupakan penyebab dalam kebanyakan kes iaitu hampir 75%.
- Masalah struktur buah pinggang (Intrinsic renal disease)
- Masalah pembuluh darah dalam buah pinggang (Renovascular disease)
2) Penyakit endokrin
- Cushing’s Syndrome
- Conn’s Syndrome
- Pheochromocytoma
- Acromegaly
- Hyperparathyroidism
3) Sebab lain
- (Coarctation of aorta)
- Mengandung
- Ubatan seperti steroid dan pil pencegah kehamilan
Rawatan Hipertensi
Rawatan bagi pesakit yang mengalami masalah hipertensi adalah bergantung kepada umur pesakit, nilai julat tekanan darah tinggi pesakit, dan juga sekiranya pesakit mempunyai masalah kesihatan lain. Pesakit yang menghidap tekanan darah tinggi selalunya turut berpotensi menghidap masalah kencing manis atau diabetes dan juga kolestrol tinggi. Oleh itu, rawatan bagi masalah ini turut akan melibatkan pengurusan kedua-dua penyakit ini.
Secara umumnya, bagi tekanan darah kurang daripada 130 mmHg iaitu pesakit tekanan darah meningkat atau (Elevated blood pressure), meskipun tidak dikira menghidap hipertensi, pesakit akan dinasihatkan agar mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan riadah, makan makanan seimbang, tidak merokok dan dinasihatkan untuk memeriksa semula tekanan darah selepas setahun.
Begitu juga bagi Hipertensi Tahap 1, rawatan tanpa ubat iaitu merubah gaya hidup adalah disyorkan melainkan seseorang pesakit mempunyai risiko penyakit jantung dan strok. Pengambilan makanan yang mempunyai kandungan garam dan kolesterol yang rendah adalah disarankan. Pengurangan berat badan dan mengatasi tekanan dengan baik juga adalah salah satu cara merawat tekanan darah tinggi pada tahap 1.
Bagi Hipertensi Tahap 2, modifikasi gaya hidup ke arah yang lebih sihat serta penggunaan ubat-ubatan untuk mengawal tekanan darah tinggi adalah perlu. Pada tahap ini, pemeriksaan tekanan darah tinggi yang lebih kerap dan pemeriksaan bagi memantau komplikasi yang berpotensi untuk berlaku adalah penting seperti pada penglihatan mata, keadaan jantung dan buah pinggang.
Pesakit-pesakit yang dikenal pasti menghidap atau berisiko menghidap masalah ini adalah disarankan untuk mempunyai mesin memeriksa tekanan darah sendiri untuk memudahkan pemantauan tekanan darah mereka.
Berikut merupakan cara-cara memeriksa tekanan darah tinggi di rumah menggunakan alat pemeriksaan tekanan darah tinggi elektronik. Bacaan tekanan darah mempunyai dua nilai. Nilai di atas adalah bacaan sistolik manakala bacaan diastolik adalah nilai di bawah.
- Pastikan anda berada dalam keadaan tenang dan selesa. Seeloknya, periksa tekanan darah anda di tempat yang senyap.
- Memakai pakaian yang longgar, dengan lengan pendek atau melipatkan lengan baju sekiranya anda memakai lengan panjang dan elakkan daripada memakai pakaian yang mempunyai kawasan lengan yang ketat
- Duduk di kerusi yang terletak bersebelahan dengan meja dan letakkan tangan sambil tapak tangan menghadap ke arah atas, pada permukaan yang separas dengan jantung. Anda boleh menggunakan bantal atau alas bagi meletakkan tangan pada kedudukan ini.
- Duduk dengan tegak dan pastikan kaki anda tidak bersilang
- Pasang “blood pressure cuff” pada lengan dan ikuti arahan yang diberikan oleh manual mesin pemeriksa tekanan darah tinggi.
- Rekodkan bacaan tekanan darah dan bawa rekod tersebut bersama ke klinik semasa pemeriksaan berkala bersama doktor.
- Tekanan emosi, merokok, suhu sejuk, bersenam, minuman berkafin dan sesetengah ubat boleh meningkatkan tekanan darah menjadi tinggi. Ambil kira faktor-faktor tersebut apabila anda sedang mengambil bacaan tekanan darah kerana ia boleh mempengaruhi bacaannya.
Cara Mencegah Hipertensi
Seseorang individu yang mempunyai risiko tinggi seperti umur yang meningkat dan mempunyai sejarah penyakit hipertensi dalam keluarga, haruslah mengamalkan langkah-langkah untuk mencegah masalah tekanan darah tinggi ini. Antara langkah-langkah yang boleh diamalkan adalah seperti berikut:
- Mengawal berat badan
- Mengawal pemakanan. Kurangkan pengambilan makanan penyebab hipertensi iaitu yang makanan yang mengandungi garam dan kandungan kolesterol yang tinggi. Sebaliknya lebihkan pengambilan makanan untuk hipertensi seperti yang kaya serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, ambil daging yang rendah lemak, ikan, dan juga produk tenusu. Makanan yang mengandungi potassium juga adalah baik untuk hipertensi seperti pisang.
- Pastikan pengambilan alkohol dan garam adalah dalam kuantiti yang sederhana
- Amalkan gaya hidup yang aktif dengan memperbanyakkan aktiviti riadah
- Berhenti merokok
- Kurangkan tekanan dan atasi masalah emosi dengan berkesan.
- Langkah di atas juga boleh dijadikan sebagai tips menurunkan tekanan darah tinggi.
Written by: Sri Viknarajan A/L Puvendran
Universiti Hasanuddin, Indonesia – MEDICAL DEGREE (DR)
18 Aug 2018