Badan Gemuk

Apakah Langkah Pencegahan dan Cara Mengatasi Obesiti (Kegemukan)

Baca Soalan

Bak kata pepatah,’Mencegah adalah lebih baik dari merawat’. Pernyataan ini adalah penting untuk semua masalah kesihatan. Amalan menangani masalah obesiti bukan sahaja dapat mengurangkan risiko anda mendapat masalah kesihatan yang berkait dengan obesiti seperti diabetes mellitus dan darah tinggi tetapi turut dapat memupuk tabiat gaya hidup yang sihat dalam kalangan rakyatMalaysia. Konsep ini harus diperkenalkan dan dipraktikkan dalam rutin harian kita kerana masalah obesiti di Malaysia makin teruk.

Langkah pencegahan dan rawatan obesiti mempunyai konsep yang sama dengan amalan gaya hidup sihat. Perubahan gaya hidup termasuk pemakanan, stres, pemantauan sendiri, senaman dan mengurangkan aktiviti pasif. Langkah mengatasi obesiti boleh dibahagikan mengikut umur, contohnya bayi, kanak-kanak, remaja dan dewasa.

Pencegahan obesiti bayi:

  • Bayi yang diberikan susu ibu mempunyai kurang kebarangkalian mengalami masalah obesiti berbanding dengan bayi yang menyusu botol. Statistik menunjukkan bayi yang menyusu badan adalah 15% hingga 25% kurang risiko untuk mengalami masalah obesiti.

Pencegahan obesiti kanak-kanak dan remaja:

  • Kebanyakkan kanak-kanak dan remaja mengalami masalah obesiti kerana tabiat pemakanan yang buruk dan kurangnya aktiviti fizikal.

  • Ibu bapa menjadi teladan kepada anak mereka dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang serta gaya hidup yang aktif.

  • Menghadkan masa di depan televisyen atau komputer di bawah 2 jam. Jika anda perlu menggunakan alat elektronik ini secara berpanjangan, sila berehat selepas sejam penggunaan.

  • Galakkan anak anda makan hanya apabila lapar dan makan dengan perlahan.

  • Elakkan makanan sebagai ganjaran atau tidak memberi makanan sebagai hukuman bagi anak anda.

  • Hidangkan sekurang-kurangnya 5 hidanganbahagian buah-buahan ataupun sayur-sayuran setiap hari.

  • Galakkan anak minum air kosong dan elakkan minuman yang manis.

Pencegahan obesiti dewasa:

  • Sentiasa memantau berat badan dengan alat penimbang berat anda.

  • Elakkan makanan yang berkalori tinggi seperti burger dan kentang goreng.

  • Hidangkan sekurang-kurangnya 5 hidangan buah-buahan atau sayur-sayuran setiap hari.

  • Luangkan masa untuk aktiviti yang membakar kalori seperti naik dan turun tangga ataupun berjalan kaki. Aktiviti ini dapat membantu anda dalam jangka masa panjang.

  • Anda boleh mengamalkan diet seimbang. Konsep ini membolehkan anda mengambil kalori yang diperlukan sahaja kerana kalori yang berlebihan akan menyebabkan berat badan bertambah.

Pencegahan obesiti perlu dipupuk sejak kecil lagi kerana sekiranya anak anda membesar, mereka berkemungkinan meneruskan gaya hidup yang diamalkan sejak kecil. Keberangkalian menjadi obes dalam kalangan kanak-kanak berumur 4 tahun adalah 20 peratus dan meningkat ke 80 peratus dalam kalangan remaja sekiranya amalan gaya hidup yang sihat tidak dipraktikkan.

Written by: SASHINI A/P SEENIVASAGAM

MBBS (Melaka-Manipal)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?