Kurap

Cara Menghilangkan Kurap Dengan Berkesan

Baca Soalan

Pengenalan

Kurap atau juga dikenali sebagai ‘ringworm’ adalah suatu jangkitan yang disebabkan oleh kulat. Ia boleh dikategorikan dalam kumpulan jangkitan tinea. Tanda-tanda klasik yang boleh membantu anda dalam mengenal pasti kurap pada anggota badan anda ataupun ahli keluarga yang tersayang adalah ruam kemerah-merahan yang berbentuk bulat dan menyebabkan kegatalan. Walaupun tampak remeh, kurap boleh mempengaruhi kualiti hidup dan keyakinan diri individu yang menghadapinya.

Bergantung kepada kawasan ataupun anggota badan yang terlibat, kulat tinea ini mempunyai pelbagai jenis. Terdapat lapan variasi kurap, antaranya adalah tinea pedis (kaki), tinea cruris (bahagian celah paha), capitis (kepala), faciei (muka), unguium (kuku), barbae (bahagian janggut), manuum (tangan) dan corporis yang boleh menjejaskan mana-mana kawasan pada badan anda seperti kurap di punggung.

Kurap pada bahagian kepala dan jenis corporis adalah antara yang biasa dijumpai. Banyak teori telah diusulkan sebagai penyebab kurap dan keadaan cuaca yang panas dan lembap seperti di negara-negara tropika termasuk Malaysia adalah antara penyumbang kepada terjadinya penyebaran jangkitan ini. Anda boleh dijangkiti daripada orang lain yang sudah terlebih dahulu mendapatnya atau juga melalui binatang peliharaan anda seperti kucing dan anjing. Selain itu, ia boleh merebak melalui sentuhan terus terhadap objek yang sudah sedia ada memiliki kulat ini di atas permukaan. Pemindahan kurap dari satu bahagian ke bahagian lain juga adalah sangat biasa berlaku.

Sekiranya anda mengesyaki bahawa kurap telah menakluk mana-mana kawasan tubuh anda atau ahli keluarga, adalah amat digalakkan untuk anda berjumpa dengan doktor bagi pengesahan dan juga untuk mendapatkan rawatan yang paling sesuai. Untuk sesetengah kes, diagnosis rasmi perlu dilakukan oleh pakar kerana terdapat kemungkinan ruam yang anda alami itu mungkin tidak disebabkan oleh kurap.

Rawatan kurap

Anda mungkin merasakan bahawa rawatan daripada doktor adalah tidak perlu kerana farmasi-farmasi yang terdekat menjual banyak krim anti-kulat yang menjanjikan kesan yang penuh mujarab. Ia mungkin benar untuk sesetengah tinea. Namun, jenis-jenis yang lain memerlukan sedikit penelitian. Berikut merupakan antara cara menghilangkan kurap yang efektif.

Corporis, celah paha dan kaki= Secara umumnya, krim topikal seperti terbinafine dan butenafine boleh menyelesaikan masalah anda. Dalam hal ini, anda perlu mengelakkan diri anda dari membeli krim yang mengandungi ketoconazole kerana ia boleh menyebabkan masalah pada hati. Miconazole dan clotrimazole juga diiklankan dengan banyak dalam pasaran namun ia sudah terbukti mempunyai tahap keberkesan yang rendah berbanding daripada dua ubat yang sudah dinyatakan di atas. Selain itu, jauhi diri anda dari mendapatkan krim campuran bethamethasone/clotrimazole kerana ia mampu menjadikan kurap anda semakin teruk.

Sekiranya tidak membawa hasil yang memuaskan, doktor boleh memilih untuk memberikan anda tablet anti-kulat. Bagi jangkitan di kaki yang berlanjutan, anda dinasihatkan untuk memakai kasut yang sedikit besar, selain daripada sentiasa memastikan celahan jari dan kaki sentiasa kering.

Kepala= Ubat kurap sapuan tidak akan membawa sebarang perubahan kepada jangkitan di kepala. Hal ini disebabkan oleh ketidakupayaan krim untuk menembusi liang-liang rambut pada kulit kepala. Tinea capitis ini biasa berlaku pada kanak-kanak dan dengan itu, ia boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada mereka dan juga penjaga. Ubat kurap untuk kanak-kanak yang terjejas dengan perkara ini adalah tablet seperti griseofulvin atau fluconazole dan perlu disertai oleh syampu rambut yang mempunyai selenium sulfide atau ketoconazole sebagai bahan asas.

Kuku= Cara merawat kurap pada manusia yang mempunyai jangkitan di kuku adalah amat panjang. Ia memakan masa dalam 3 hingga 6 bulan dan kadar kegagalan rawatan juga boleh dikatakan sangat tinggi. Sekali lagi, ubat terbinafine adalah pilihan untuk para doktor bagi mengubati kulat ini. Kadangkala, pesakit-pesakit yang sudah menjangkau usia emas boleh memilih untuk tidak menjalani sebagai rawatan kerana ia hanya mencacatkan penampilan kuku tanpa memberi symptom-simptom yang lain.

Komplikasi kurap tidak dirawat

Jangkitan kulat ini pada kebiasaannya tidak akan mengakibatkan kesan kesihatan yang serius. Dengan rawatan yang cukup, masalah yang besar jarang sekali untuk berlaku. Walaupun begitu, terdapat kebarangkalian untuk seseorang individu mendapat komplikasi seperti penyebaran kuman di bahagian bawah kulit atau juga dikenali sebagai cellulitis. Rawatan dengan menggunakan antibiotik seharusnya boleh melenyapkan terus situasi tersebut.

Selain itu, sistem imuniti badan boleh bertindak balas terhadap kurap dengan membuatkan kawasan di sekeliling kurap itu menjadi lebih teruk. Pesakit juga boleh mendapat asma atau eczema namun ia masih jarang dilaporkan di negara ini.

Pencegahan kurap

Mencegah adalah ternyata lebih baik daripada mengubati. Peribahasa ini boleh diaplikasikan pada mana-mana masalah kesihatan, termasuk juga jangkitan kurap. Untuk memastikan anda dapat mengurangkan kemungkinan terjejas dengan situasi ini, berikut merupakan langkah-langkah yang boleh digunakan.

1. Sentiasa memastikan kulit anda kering, terutamanya selepas mandi.

2. Elakkan daripada mengenakan pakaian yang terlalu ketat.

3. Pakaian dalam dan stokin harus ditukar setiap hari.

4. Selepas melakukan aktiviti sukan yang melibatkan sentuhan fizikal yang banyak, amalkan membasuh tangan dengan sabun.

5. Jangan kongsi tuala, pakaian ataupun alatan sukan dengan individu lain.

6. Ketika di tempat awam, sentiasa pakai selipar atau alas kaki.

7. Jika anda mempunyai kurap di kaki, pakai stoking terlebih dahulu sebelum memakai pakaian lain untuk memastikan tiada pemindahan atau penyebaran berlaku kepada anggota badan yang lain.

8. Bawa ahli keluarga anda yang terkena kurap untuk berjumpa dengan doktor dengan segera agar orang lain termasuk anda tidak turut terjejas.

9. Sekiranya binatang peliharaan anda mempunyai tanda-tanda kurap seperti ruam atau kehilangan bulu badan, bawa ia ke klinik doktor haiwan.

10. Lengkapkan diri anda dan orang terdekat dengan pemahaman dan pengetahuan mengenai jangkitan kurap.

Written by: Sri Viknarajan A/L Puvendran

Universiti Hasanuddin, Indonesia – MEDICAL DEGREE (DR)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?