Perbandingan suhu normal dan demam
Banyak orang yang bertanya berapa normal suhu badan orang dewasa. Julat suhu yang normal adalah berbeza sedikit bergantung kepada bahagian yang digunakan untuk mengukur suhu. Biasanya bahagian mulut akan digunakan untuk mengukur suhu badan.
- Bagi orang dewasa, suhu badan yang normal biasanya adalah antara 36.5°C hingga 37.5°C.
- Suhu normal bayi dan kanak-kanak adalah antara 36.8°C hingga 37.9°C.
- Bagi orang tua yang melebihi 64 tahun, suhu normal mereka adalah lebih rendah iaitu antara 35.8°C hingga 36.8°C.
Berdasarkan kenyataan di atas, suhu tubuh yang demam biasanya merujuk kepada suhu tubuh yang melebihi batasan atas suhu normal. Sebagai contohnya, demam bagi orang dewasa berlaku semasa tubuh melebihi 37.5°C manakala demam bagi kanak-kanak berlaku semasa mereka mempunyai suhu tubuh 38.0°C dan ke atas. Hyperpyrexia atau demam yang amat tinggi merujuk kepada suhu badan yang melebihi 41.5°C. Kondisi ini biasanya disebabkan oleh penyakit-penyakit yang tenat seperti perdarahan otak dan jangkitan darah sepsis.
Tanda-tanda lain yang perlu dikenalpasti
Salah satu tanda yang paling biasa semasa demam ialah sakit kepala. Selain deman dan sakit kepala, sakit badan, sakit sendi dan sakit otot juga sering berlaku terutamanya bagi demam panas yang disebabkan oleh jangkitan virus seperti virus influenza. Jangkitan bakteria yang serius seperti TB dan jangkitan paru-paru sering menyebabkan perasaan sejuk dan kegigilan. Oleh sebab suhu badan akan meningkat semasa demam, pesakit biasanya akan berpeluh untuk menyejukkan kulit.
Pesakit yang demam biasanya akan berasa letih dan tidak bermaya. Selera untuk makan juga akan berkurangan. Jika pesakit yang demam tidak minum air yang secukupnya dan berpeluh banyak, maka pesakit akan mempunyai risiko menghidap dihidrasi atau kekurangan air dalam badan. Tanda-tanda kekurangan air adalah rasa dahaga, pembuangan air kencing yang sedikit serta mulut yang kering. Kanak-kanak yang berusia antara 6 bulan hingga 5 tahun juga boleh mengalami febrile seizures atau sawan.
Cara menggunakan termometer yang betul
Penggunaan termometer secara betul adalah penting untuk mendapatkan bacaan suhu badan yang tepat. Pilih mana-mana termometer yang paling sesuai dan mudah untuk digunakan.
Termometer dahi - Arahkan termometer ke dahi tanpa menyentuh dahi dan tekan butang sehingga mendengar bunyi “beep”.
Termometer telinga - Masukkan termometer ke dalam telinga dan arahkan muncung ke arah muka. Tekan butang sehingga mendengar bunyi “beep”.
Termometer dubur – Termometer biasanya digunakan untuk mengukur suhu badan bayi. Sapukan jeli petroleum seperti Vaseline pada termometer sebelum menggunakannya. Baringkan bayi atas perutnya dan masukkan muncung termometer ke dalam dubur untuk jarak setengah hingga satu inci. Pegang termometer dan pastikan bayi tidak bergerak selama 3 minit.