Kenapa demam berlaku?
Demam boleh menjadi suatu perkara yang menyusahkan. Namun tahukah anda apakah rahsia di sebalik berlakunya demam? Demam adalah suatu bentuk tindak balas badan. Ia sangat berguna bagi menyokong dan membantu tubuh badan dengan mencipta persekitaran yang optimum di dalam tubuh untuk memastikan sistem imuniti boleh bekerja dengan cekap untuk melawan jangkitan kuman dan virus.
Selain itu, ia juga berupaya bagi mengelakkan virus dan kuman yang masuk ke dalam sistem badan dari membiak dan merebak ke seluruh sistem yang lain. Selain dari jangkitan kuman dan virus, penyalahgunaan alkohol dan dadah jenis amphetamine boleh menaikkan suhu juga selain daripada strok haba.
Bagaimana demam berlaku?
- Apabila terdapat jangkitan dari kuman dan virus, sesetengah daripada mereka boleh menghasilkan suatu bahan yang dipanggil sebagai pyrogen.
- Ia mencetuskan siri tindak balas kompleks yang pada akhirnya menaikkan suhu badan. Apabila pyrogen sudah berada di dalam sistem peredaran, hypothalamus, iaitu organ yang berada di bahagian dasar otak akan mengesan kehadirannya.
- Melalui beberapa mekanisme, hypothalamus boleh mengeluarkan prostaglandin, sejenis hormon yang bertanggungjawab dalam penghasilan demam.
- Demam panas dewasa mungkin selalunya tidak begitu membimbangkan, namun antara penyebab demam tinggi mendadak pada kanak-kanak adalah kerana kesan pyrogen terhadap sistem imuniti mereka yang masih belum matang.
Penyakit-penyakit yang boleh menyebabkan demam:
Selain daripada demam yang disebabkan oleh virus dan kuman yang tidak begitu membahayakan, banyak lagi penyakit yang boleh membuatkan seseorang individu itu demam.
Antaranya adalah demam denggi yang disebabkan oleh virus denggi. Ia adalah merupakan demam yang agak popular di dalam kalangan masyarakat negara tropika oleh kerana jumlah nyamuk Aedes yang banyak. Keletihan yang teramat sangat juga boleh menghasilkan suhu badan yang tinggi.
Di samping itu, penyakit yang menghasilkan keradangan secara kronik seperti rheumatoid arthritis juga adalah antara faktor. Sesetengah kanser, sebagai contoh leukemia dan limfoma terkenal dengan demam pada waktu malam.
Ubat-ubatan terutamanya ubat untuk rawatan sawan dan imunisasi boleh menyumbang kepada peningkatan suhu badan. Demam pada anak boleh terjadi dengan kerap namun seharusnya ia tidak boleh dipandang mudah dan ibu bapa harus sentiasa berjaga-jaga.
Demam yang tidak diketahui sebab (PUO)
Situasi ini didefinisikan sebagai demam yang berlarutan lebih dari 3 minggu dengan suhu sekurang kurangnya 38.3 darjah Celsius tanpa sebab yang boleh dijelaskan dengan mudah pada peringkat awal demam.
Kebiasannya, pada penghujung demam, sebab terjadinya perkara ini akan diketahui dan sebab-sebabnya boleh dibahagikan kepada empat. Ia adalah jangkitan, radang, kanser yang malignan dan sebab-sebab lain seperti hepatitis dan hypertiroidism yang tidak boleh dimasukkan ke dalam tiga kategori sebelumnya itu.
Diagnosis PUO tetap dibuat pada peringkat awal, walaupun tanpa sebab, kerana ia boleh dijadikan sebagai amaran terhadap perkara yang boleh membawa masalah lebih besar.