Bagaimana saya boleh mengenali tanda-tanda autisme dan apakah punca autisme?

Anonymous
Selamat pagi, doktor. Saya seorang tukang masak di sebuah restoran yang terkenal di tempat tinggal saya ini. Saya berumur 29 tahun dan telah berkahwin. Suami saya juga bekerja sebagai tukang masak di tempat yang sama seperti saya. Beliau berumur 32 tahun. 
Kami dikurniakan seorang anak perempuan dan anak saya baru mencecah umur 4 tahun 3 bulan. Sejak kebelakangan ini, saya mendapati anak saya berkelakuan pelik. Dia akan bertutur dalam perkataan yang tidak difahami. Pada mulanya saya ingat ianya merupakan sesuatu yang dipelajari di tadika tetapi apabila bercakap dengan guru tadikanya, saya mendapati gurunya memberitahu saya perkara yang sama. terdapat juga sebuah kes di tadikanya di mana anak saya mulai mengetuk kepalanya pada dinding kerana didapati penselnya diambil oleh kawannya. 
Saya berasa sangat takut dan bimbang dan segera meluru ke tadika untuk mendapatkan anak saya. Guru tadika tersebut memberitahu beliau berjaya memberhentikan anak saya daripada melakukan perbuatan tersebut. Selepas kejadian tersebut, anak saya juga tidak suka pergi ke tadika dan sering kali memegang tangan saya dan menangis. Disebabkan masalah ini, saya pun terpaksa mengambil cuti dan pergi ke tadika bersamanya. 
Saya langsung tidak tahu apa yang sedang berlaku kepadanya dan guru tadika juga memberitahu anak saya selalunya tidak akan bercakap dengan sesiapa pun dan tidak akan memandang muka mereka. Bolehkah doktor memberitahu apa masalah yang dialami oleh anak saya ini? Mungkinkah ia autisme dan jika ia, apakah punca autisme?
Anonymous
Selamat pagi, doktor. Saya seorang tukang masak di sebuah restoran yang terkenal di tempat tinggal saya ini. Saya b... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA
Terima kasih puan atas soalan tersebut. Berdasarkan apa yang puan nyatakan ini, saya mengesyaki anak puan mungkin mempunyai masalah autisme. Autisme merupakan satu bentuk kecacatan dari aspek neurologi yang mengakibatkan masalah dari segi perkembangan bahasa, tingkah laku serta pertuturan yang melibatkan kanak-kanak.

Ianya bukan sebuah penyakit fizikal. Anak puan menunjukkan perbuatan anti-sosial dan juga tingkah laku yang membahayakan diri sendiri seperti mengetuk kepala di dinding. Ini merupakan ciri utama masalah autisme.

Selain itu, disebabkan anak puan mempunyai masalah ini maka puan haruslah sertakan anak puan dalam sekolah khas yang membolehkan anak puan mendapat pendidikan yang sebaiknya. Hal ini kerana sekolah khas mempunyai kebolehan mengajar anak puan dengan menggunakan teknik yang betul. Ini akan mencepatkan proses perkembangan tahap pendidikan bagi anak puan. Di samping itu juga, sekolah ini akan dapat membantu anak puan bersosial dengan orang-orang lain dan mengurangkan sikap suka mencederakan diri sendiri.

Punca autisme datangnya dari masalah genetik dan ianya tidak boleh dihilangkan begitu sahaja. Puan dan suami puan haruslah memahami bahawa autisme ini sebuah masalah yang umum dan haruslah membawa anak anda ke doktor kanak-kanak untuk mendapatkan kesimpulan yang lebih tepat selepas pemeriksaan yang lebih terperinci.

Terima kasih puan atas soalan tersebut. Berdasarkan apa yang puan nyatakan ini, saya mengesyaki anak puan mungkin m... See More

APAKAH ITU AUTISME?

Autisme merupakan satu bentuk kecacatan dari aspek neurologi yang mengakibatkan masalah dari segi perkembangan bahasa, tingkah laku serta pertuturan yang melibatkan kanak-kanak. Ianya bukan penyakit fizikal. Masalah ini sering kali dikenalpasti pada tahap awal pembesaran anak tersebut oleh ibu bapanya sendiri. Kebanyakkan ibu bapa akan perasan anak mereka mengalami masalah ini pada umur 2 atau 3 tahun.

APAKAH PENYEBAB AUTISME

Autisme selalunya bermula sejak zaman kanak-kanak pada usia yang kecil lagi. Terdapat beberapa punca masalah autisme ini. Penyebab utama autisme yang sering kali dibincangkan oleh para pengkaji ialah genetik. Kita masih lagi tidak memahami keseluruhan tentang genetik dan tiada rawatan untuk mengelakkan masalah ini untuk berlaku.

Selain itu, terdapat juga teori yang menyatakan bahawa autisme ini berlaku apabila ibu yang mengandung terjebak kepada pencemaran udara terutamanya bahan metal atau tabiat yang tidak sihat seperti merokok, minum arak atau penyalahgunaan dadah. Ini akan menjejaskan kesihatan janin dalam kandungan dan kemungkinan besar boleh menjadi punca masalah autisme atau masalah serius yang lain.

APAKAH GEJALA AUTISME

Gejala autisme ini sememangnya sukar diabaikan kerana ianya membimbangkan ibu bapa mereka kerana tingkah laku anak mereka akan berubah. Antara ciri-ciri autisme ini ialah tidak suka bersosial dengan orang lain, berkelakuan anti-social, sering kali melakukan perbuatan yang sama berulang kali, suka membuat aktiviti bersendirian, tidak mempunyai minat dalam sebarang aktiviti dan banyak lagi. Antara yang disenaraikan inilah yang menjadi titik-titik pertama yang menjadi petanda bahawa anak mempunyai ciri masalah autisme ini.

Dalam kegiatan sosial, kanak yang mempunyai autisme ini akan kurang melihat seseorang itu pada mata dan bercakap. Mereka hanya akan bercakap sedikit dan tidak pandang muka orang di hadapannya. Ini merupakan salah satu masalah yang dapat kita lihat selalu pada kanak-kanak autisme.

Selain itu juga, mereka tidak boleh berpisah daripada ibu bapa mereka. Hal ini kerana mereka menganggap ibu bapa mereka sebagai individu terutama atau terpenting dalam hidup mereka. Jadi, sekiranya mereka harus berpisah dari ibu bapa, ianya akan menimbulkan masalah kerana anak tersebut akan menangis, menjerit dan membuat perangai di mana-mana jua. Ini merupakan salah satu sebab mereka tidak dapat ke sekolah biasa seperti budak lain.

Di samping itu, terdapat juga kanak-kanak autisme yang akan mengulangi perbuatan mereka. Contohnya, mereka akan menggerakkan badan seperti menggoyangkan kepala atau menepuk tangan dan ini akan dilakukan dengan berulang kali tanpa berhenti. Mereka juga akan mempunyai keinginan untuk mencederakan diri sendiri seperti mengetukkan kepala pada dinding atau mencucuk mata dengan menggunakan jari. Ini merupakan masalah yang serius dan ibu bapa haruslah belajar menangani masalah ini dengan kesabaran.

Seterusnya, terdapat juga sesetengah kanak autisme yang akan mengalami masalah dari segi pertuturan. Golongan ini akan bercakap bahasa tersendiri yang tidak boleh difahami oleh orang lain. Selain itu, mereka juga akan mempunyai masalah untuk bercakap kerana perkembangan otak mereka agak perlahan. Jadi, mereka akan mengalami kelambatan dalam proses bercakap. 

Akhirnya, terdapat bilangan yang kecil kanak-kanak autisme mempunyai kondisi Asperger Syndrome atau Savant Syndrome. Mereka merupakan golongan yang amat berbakat berbanding dengan individu biasa tetapi mempunyai gejala austisme.

APAKAH RAWATAN AUTISME

Rawatan autisme merangkumi pelbagai aspek kerana masalah ini tidak dapat diselesaikan dengan ubat-ubatan sahaja. Ianya memerlukan perhatian dari segi lain juga.


Rawatan utama yang boleh diberikan ialah dari segi pendidikan. Hal ini kerana autisme akan membawa masalah kepada pembelajaran. Oleh itu, mereka haruslah dihantar ke sekolah khas kerana di sekolah khas ini terdapat cikgu yang mahir dalam cara atau teknik untuk mengajar murid yang mempunyai masalah seperti ini. Bakat kanak-kanak ini akan diteroka dengan teknik pembelajaran yang betul. Mereka juga akan menambah baik dari segi sosial supaya mereka boleh berinteraksi dengan orang lain dan kualiti hidup mereka akan diperbaiki.

Di samping itu, rawatan seterusnya adalah dengan menggunakan ubat-ubatan. Hal ini kerana kanak-kanak autisme mempunyai kemungkinan besar untuk menjadi agresif pada bila-bila masa. Jika berlarutan, ianya akan mendatangkan bahaya kepada kesihatan kanak tersebut. Oleh itu, mereka akan diberikan ubat untuk bertenangkan emosi mereka supaya tidak melakukan sebarang tingkah laku yang menjejaskan kesihatan mereka dan orang sekeliling.

APAKAH NASIHAT KEPADA IBU BAPA

Nasihat yang boleh diberikan kepada ibu bapa adalah mereka haruslah banyak bersabar sekiranya mempunyai anak yang menghadapi masalah ini. Hal ini kerana anak mereka masih kecil dan masih memerlukan sokongan ibu bapa untuk mengharungi cabaran ini. Ianya menjadi tanggungjawab ibu bapa juga untuk mengetahui masalah autisme ini dan bersama-sama berganding bahu untuk membesarkan anak mereka. Sekiranya mereka meluangkan masa untuk mengetahui dan mempelajari gejala autisme ini, mereka boleh membantu anak-anak mereka dari semua segi dalam kehidupan mereka.

Selain itu, seperti yang kita ketahui, masyarakat sekeliling mungkin mempunyai stigma negatif dan ini boleh menyebabkan ibu bapa sekalian berasa kecewa dengan anak mereka tetapi azam para ibu bapa tidak seharusnya dijejaskan oleh stigma tersebut. Hal ini kerana anak mereka lagi penting dan memerlukan mereka sahaja untuk mengharungi cabaran.

Oleh itu, ibu bapa bolehlah menyertai kelab yang ditubuhkan untuk ibu bapa yang mempunyai anak autisme. Ini akan dapat membantu ibu bapa lebih memahami masalah ini serta berkongsi pengalaman mereka kepada ibu bapa lain yang mempunyai masalah yang sama. Anda juga boleh mendapatkan nasihat daripada doktor kami di laman www.doctoroncall.com.my

References