Jenis-Jenis Penyakit Jantung Yang Anda Perlu Tahu & Cara Mencegahnya
Penyakit jantung masih kekal sebagai penyebab kematian no.1 di Malaysia sejak beberapa tahun yang lalu. Mengikut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, penyakit jantung, spesifiknya penyakit arteri koronari meliputi 15.6% punca kematian pada tahun 2018 dengan purata kematian sebanyak 50 orang sehari!
Jenis-Jenis Penyakit Jantung
1. Penyakit Arteri Koronari (Coronary Artery Disease)
Penyakit ini merupakan penyakit jantung yang paling biasa dihadapi dalam kalangan rakyat Malaysia dan seluruh dunia. Ia berlaku akibat pengumpulan plak di dalam arteri koronari iaitu arteri yang menyalurkan darah dan oksigen kepada jantung yang menyebabkan kematian otot jantung dengan segera dan boleh membawa maut.
2. Aritmia
Penyakit jantung aritmia berlaku apabila degupan jantung menjadi tidak teratur dan tidak sekata. Gangguan irama jantung ini boleh dikategorikan sama ada terlalu cepat (tachyaritmia) atau terlalu perlahan (bradyaritmia). Antara gejala penyakit aritmia ini ialah sesak nafas, jantung berdebar dan sakit dada.
3. Penyakit Jantung Kongenital
Penyakit jantung ini kebiasannya dilihat dalam kalangan bayi dan kanak-kanak. Kebiasaanya penyakit jantung kongenital berlaku disebabkan struktur anatomi jantung yang tidak lengkap atau gangguan dalam pengaliran darah masuk dan keluar jantung. Antara risiko berlakunya penyakit jantung ini adalah, pengambilan alkohol oleh ibu mengandung serta penyakit seperti jangkitan Rubella.
4. Kegagalan Jantung
Kegagalan jantung boleh berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor yang berkaitan dengan jantung atau organ lain. Antara punca yang menyumbang kepada kegagalan jantung termasuk, penyakit arteri koronari, aritmia dan tekanan darah tinggi. Masalah-masalah ini biasanya menyebabkan otot-otot jantung terpaksa bekerja dengan lebih keras untuk mengepam darah ke seluruh tubuh. Lama kelamaan, otot-otot jantung ini akan menjadi tebal, atau lemah dan tidak dapat mengepan dengan baik lagi.
5. Penyakit Injap Jantung
Jantung kita mempunyai 4 ruang dan setiap ruang ini terpisah dengan injap yang berfungsi untuk mengelakkan darah mengalir semula ke ruang sebelumnya. Injap jantung boleh menjadi terlalu keras sehingga tidak terbuka sepenuhnya lalu menyukarkan aliran darah, atau menjadi lemah sehingga tidak tertutup sepenuhnya lalu menyebabkan darah mengalir ke belakang. Kedua-dua masalah ini boleh disebabkan oleh pelbagai perkara seperti jangkitan atau keradangan pada injap dan penuaan. Penyakit injap jantung yang tidak dirawat boleh menyebabkan kegagalan jantung.
Gejala Penyakit Jantung
Penyakit jantung yang berlainan akan memberikan gejala yang berlainan. Namun begitu, gejala sakit jantung yang biasa berlaku adalah:
- Sakit dada
- Sesak nafas semasa rehat atau ketika melakukan aktiviti
- Degupan jantung lebih kuat
- Keletihan walaupun tidak melakukan aktiviti atau kerja berat
- Sakit, kebas, atau lemah pada anggota tangan atau kaki (biasanya kiri)
- Sakit pada bahagian rahang, leher, perut bahagian atas atau belakang
Sekiranya anda mengalami gejala di atas, atau mengesyaki anda diserang penyakit jantung, sila dapatkan rawatan di hospital dengan segera.
Penyebab Penyakit Jantung
- Merokok
Merokok meningkatkan risiko menghidap penyakit jantung sebanyak 4 kali lebih berbanding mereka yang tidak merokok. Setiap puntung rokok mempunyai lebih 4000 bahan beracun yang merosakkan sistem peredaran darah.
- Diabetes
Penyakit diabetes yang tidak terkawal boleh menyebabkan pelbagai komplikasi termasuklah penyakit arteri koronari. Gula berlebihan di dalam darah boleh menghasilkan bahan yang merosakkan dinding saluran darah dan menjadi punca pembentukan plak yang akhirnya akan menyumbat saluran tersebut..
- Hipertensi
Tekanan darah tinggi yang tidak dikawal menyebabkan kecederaan pada dinding saluran darah koronari, saluran darah periferi dan serta meningkatkan tekanan di dalam jantung. Kesemua masalah ini meningkatkan risiko kegagalan jantung. Ketahui risiko anda untuk menghidapi hipertensi.
- Obesiti
Sekiranya BMI anda melebihi 27.5kg/m₂ (Klasifikasi Asian), anda mempunyai risiko 4 kali ganda lebih tinggi untuk menghidap penyakit jantung. Kandungan kolesterol jahat yang tinggi dalam badan boleh terkumpul pada saluran arteri koronari dan menghasilkan plak yang menganggu aliran darah ke otot jantung.
- Kurang Aktiviti Fizikal
Amalan gaya hidup yang tidak aktif merupakan salah satu faktor utama berlakunya obesiti yang merupakan risiko utama penyakit jantung.
- Alkohol
Pengambilan minuman yang mengandungi alkohol dalam kuantiti yang berlebihan juga merupakan salah satu penyebab penyakit jantung.
- Tekanan
Pengurusan tekanan terbahagi kepada fizikal (keletihan), psikologi (kesepian, konflik, patah hati) dan sosial (pengangguran, penceraian). Tekanan yang tidak diuruskan dengan baik boleh memudaratkan bukan sahaja kesihatan mental, malah kesihatan jantung anda.
- Keturunan
Sejarah keturunan yang menghidapi penyakit jantung juga merupakan risiko penyakit jantung. Walau bagaimanapun peratusan ini adalah jauh lebih rendah daripada risiko yang boleh diubah suai seperti perubahan gaya hidup dan kawalan penyakit.
- Jantina
Lelaki mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit jantung, Menurut laporan KKM, 1 daripada 3 lelaki dewasa mengidap penyakit darah tinggi dan 1 daripada 4 lelaki dewasa mengidap paras kolesterol yang tinggi. Kedua-dua faktor ini merupakan risiko utama penyakit jantung.
Cara Mencegah Penyakit Jantung
#Suku-suku separuh ketika mengambil makanan
Sudah semestinya kebanyakan daripada kita pernah mendengar program pinggan sihat oleh KKM yang dikenali sebagai suku-susku separuh. Konsep suku-suku separuh ini adalah sangat ideal untuk diamalkan oleh setiap anggota seisi keluarga walaupun anda seorang yang sihat. Disiplinkan diri kita makan mengikut kuantiti dan jumlah yang betul. Ambil suku karbohidrat, suku protein dan penuhkan separuh pinggan anda dengan sayur-sayuran dan buah-buahan pelbagai warna.
Walaupun memiliki berat badan yang ideal, tanpa disedari, akibat amalan diet yang tidak seimbang, terdapat lemak tersembunyi pada organ vital di dalam tubuh. Situasi ini lebih popular dikenali sebagai TOFI (“Thin Outside, Fat Inside”). Kesimpulannya, tubuh yang kurus tidak bermaksud anda bebas daripada penyakit jantung. Makanlah dengan bersederhana mengikut panduan yang ditetapkan.
Kurangkan juga pengambilan gula dan garam yang berlebihan. Elakkan mengambil minimum 3 dalam 1 yang dihebohkan dengan pelbagai kebaikan. Sebenarnya, ia mengandungi gula yang berlebihan iaitu lebih daripada 3 sudu teh dan kandungan krimer yang tinggi.
#Badan anda perlukan senaman, jom jalan-jalan
Bersenam dapat meningkatkan kecergasan fizikal anda dan memperbaiki keupayaan mengawal paras gula dalam darah. Selain itu, bersenam juga mengurangkan masalah kegemukan dan mengurangkan tekanan. Senaman pada tahap yang sederhana seperti berjalan dan berbasikal adalah memadai sekiranya dilakukan untuk jangka masa yang sesuai untuk meningkatkan kadar nadi jantung pada tahap yang selamat dan baik.
#Berhenti merokok sekarang!
Sekiranya ketagihan merokok tidak berada pada tahap yang teruk, tabiat ini boleh dihentikan tanpa pengunaan ubat- ubatan. Terdapat beberapa tips untuk berhenti merokok yang boleh anda praktikkan sendiri di rumah.
- Menyibukkan diri- Buat sesuatu bagi mengalihkan fikiran
- Minum air yang mencukupi - Minum air masak dan elakkan minuman berkafein
- Mandi dengan kerap dan basuh tangan selalu untuk mengalihkan fikiran
- Amalkan meditasi atau bersukan
- Tarik nafas panjang- Tarik nafas yang panjang 3 kali secara perlahan-lahan
Namun, sekiranya ketagihan merokok berada pada tahap yang serius dan membimbangkan, sila dapatkan pertolongan daripada Klinik Berhenti Merokok. Para doktor akan membantu anda untuk mengurangkan ketagihan tersebut sama ada dengan ubat-ubatan atau terapi gantian nikotin.
#Buat pemeriksaan kesihatan berkala
Semua orang terutamanya yang mempunyai risiko penyakit jantung perlu menjalani pemeriksaan berkala di mana-mana klinik untuk memastikan tahap gula, tekanan darah dan paras kolesterol anda berada di tahap yang baik. Sekiranya, anda mengalami sebarang gejala penyakit jantung seperti sesak nafas, sakit dada dan lain-lain, sila rujuk kepada doktor agar rawatan yang sesuai dapat diberikan.
Risau tentang jantung anda? Konsult doktor kami secara PERCUMA!
* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall