Memahami Penggunaan Kaedah Perancangan Keluarga Jenis Diafragma

Kaedah Perancang Keluarga Jenis Diafragma - DoctorOnCall

Apa itu Diafragma?

Diafragma adalah sejenis alat perancang berbentuk seperti kubah bulat yang diperbuat daripada getah nipis, lembut atau silikon dengan struktur yang fleksibel. Ia menutupi serviks (pintu masuk rahim) untuk mencegah sperma memasuki rahim. Diafragma perlu digunakan dengan spermisida (bahan kimia yang membunuh sperma) dan mesti ditinggalkan di dalam vagina sekurang-kurangnya 6 jam selepas hubungan seksual. Diafragma 92-96% berkesan untuk mencegah kehamilan jika digunakan dengan betul bersama spermisida.

Bagaimana Diafragma Berfungsi?

Apabila diafragma dimasukkan ke dalam vagina sebelum hubungan seksual, ia menghalang sperma memasuki serviks dan mencegah persenyawaan sperma dengan telur yang boleh menyebabkan kepada kehamilan. Walau bagaimanapun, diafragma tidak melindungi wanita daripada penyakit kelamin (STD), termasuk Human Immunodeficiency Virus (HIV). Sekiranya anda bimbang terhadap penyakit kelamin (STD) dan juga kehamilan, minta pasangan anda memakai kondom.

Bagaimana Menggunakan Diafragma?

Jika anda menggunakan diafragma buat kali pertama, adalah lebih baik untuk anda dapatkan khidmat konsultasi daripada pegawai kesihatan untuk:

• Menentukan diafragma yang sesuai untuk anda kerana diafragma mempunyai pelbagai saiz dan bentuk

• Mengetahui cara yang betul untuk memasukkan dan mengeluarkan diafragma

• Ketahui cara menggunakan diafragma dengan spermisida.

Penggunaan diafragma semasa haid tidak digalakkan kerana terdapat kemungkinan risiko komplikasi jangkitan bakteria yang mengancam nyawa (toxic shock syndrome).

Anda boleh bertanya kepada pegawai kesihatan jika anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai pencegah kehamilan diafragma.