Kaedah Perancang Keluarga Jenis Implan. Apa Anda Perlu Tahu?
Implan
Implan merupakan kaedah kontraseptif yang dipasang di bawah lapisan kulit lengan oleh pegawai kesihatan yang terlatih. Ia mempunyai jangka hayat selama 3 tahun. Anda dianjurkan untuk menggantikannya lebih awal jika anda mempunyai berat badan yang berlebihan.
Bagaimanakah ia berfungsi?
Ia melepaskan sejenis hormon perlahan-lahan yang berfungsi untuk:
• Mencegah pelepasan sel telur
• Membuat lendir serviks menjadi lebih kental, sehingga menghalang sperma bersenyawa dengan sel telur.
• Menipiskan lapisan dinding rahim, sehingga mengurangkan kemungkinan implantasi telur yang disenyawakan.
Sekiranya implan dipasang pada hari pertama hingga hari kelima haid anda, ia akan memberi kesan kontraseptif atau perlindungan serta merta. Sekiranya dipasang pada hari lain dalam kitaran haid anda, implan mungkin tidak berfungsi serta merta, dan anda disyorkan untuk menggunakan kaedah kontraseptif tambahan seperti kondom selama 7 hari pertama.
Sejauh manakah keberkesanan implan?
Keberkesanan implan melebihi 99% jika ia dipasang dengan betul.
Apa kelebihannya?
Antara kelebihan implan adalah:
• Ia berfungsi selama 3 tahun, oleh itu anda tidak perlu memikirkan tentang pencegah kehamilan untuk jangka masa setelah implan dipasang.
• Ini boleh menjadi pilihan jika anda tidak dapat menggunakan alat kontraseptif yang mengandungi estrogen.
• Implan boleh dicabut pada bila-bila masa sekiranya anda mengalami kesan sampingan. Kesuburan anda akan kembali dengan cepat.
• Anda boleh terus menggunakannya sehingga menopaus.
• Anda boleh menggunakannya semasa menyusukan anak.
Apakah kesan sampingannya?
Implan boleh menyebabkan pendarahan haid anda menjadi tidak teratur, lebih lama, lebih ringan atau lebih banyak. Sila bercakap dengan doktor anda sekiranya pendarahan haid anda terlalu banyak atau berpanjangan. Seorang daripada lima wanita tidak akan mempunyai haid semasa memakai implan ini (ini tidak berbahaya). Kesan sampingan lain adalah seperti sakit kepala, mual, sakit payudara, perubahan mood dan jerawat, tetapi biasanya hilang selepas beberapa bulan terawal.
Adakah ia sesuai untuk saya?
Kaedah implan ini mungkin tidak sesuai jika anda mahu kitaran haid anda teratur, mempunyai risiko osteoporosis, atau sedang/pernah mempunyai kondisi kesihatan tertentu seperti:
• Penyakit Arteri
• Penyakit Jantung
• Darah beku dalam salur darah
• Penyakit hati
• Migrain
• Kanser payudara
• Diabetes dengan komplikasi
Sila berbincang dengan pegawai kesihatan anda untuk mengetahui sama ada kaedah perancang kehamilan implan ini sesuai untuk anda.
Penting: Maklumkan kepada doktor atau ahli farmasi anda mengenai sebarang penyakit atau operasi yang pernah atau sedang anda alami, atau sebarang ubat-ubatan yang sedang anda ambil.