Bagaimana Kaedah Merancang Keluarga Secara Semulajadi Dilakukan?

Merancang Keluarga Secara Semulajadi (NFP) - DoctorOnCall

Apa Itu Perancangan Keluarga Semulajadi?

Perancangan keluarga secara semulajadi adalah kaedah untuk mengelakkan kehamilan tanpa perlu menggunakan bahan kimia atau alat fizikal. Kaedah ini mengurangkan risiko hamil dengan membiarkan pasangan merancang aktiviti seksual mereka tanpa menggunakan kaedah kontrasepsi. 

Bagaimana Perancang Keluarga Semulajadi Berfungsi?

Perancangan keluarga secara semula jadi melibatkan pemerhatian dan catatan tanda-tanda kesuburan semula jadi yang berbeza (indikator kesuburan) pada tubuh wanita setiap hari sepanjang kitaran haidnya, bermula dari hari pertama haid sehingga hari terakhir sebelum haid berikutnya bermula.

Indikator kesuburan ini merangkumi:

• Suhu badan: Suhu badan berubah sepanjang kitaran haid akibat dari pengaruh hormon estrogen dan progesteron. Suhu badan akan meningkat sedikit setelah ovari melepaskan telur (juga dikenali sebagai ovulasi). Perubahan suhu badan ini dapat diukur dengan menggunakan termometer khusus untuk ovulasi atau termometer basal.

• Rembesan serviks: Jumlah, tekstur dan jenis lendir serviks berubah kerana naik turunnya tahap estrogen dan progesteron. Permulaan masa subur akan memberikan gambaran seperti lendir yang lembap, melekit dan putih atau berkrim, sedangkan waktu paling subur akan ditandai dengan lendir yang jernih, basah, tidak melekit dan licin (seperti telur putih mentah).

• Tempoh kitaran haid: Tempoh waktu kitaran haid biasanya sekitar 28 hari, namun ia boleh menjadi lebih panjang atau lebih pendek. Ovulasi biasanya berlaku sekitar 10–16 hari sebelum bermulanya haid pada kitaran selanjutnya - tidak kira berapa panjang tempoh kitaran haid.

Memantau satu atau lebih indikator kesuburan ini membolehkan seorang wanita mengenali waktu paling subur dan paling tidak subur dalam tempoh sebulan, seterusnya dapat mengenal pasti masa yang selamat untuk melakukan hubungan seks.

Sejauh Mana Keberkesanan Perancangan Keluarga Semula Jadi?

Bergantung pada kaedah yang digunakan, perancang keluarga secara semulajadi mempunyai keberkesanan hingga 99% dalam mencegah kehamilan jika dilakukan dengan betul. 

Walau bagaimanapun, kaedah perancang keluarga semulajadi bukanlah sesuatu yang mudah untuk dipelajari. Ia memerlukan 3-6 kitaran haid untuk memahami bagaimana melakukannya dengan berkesan dan catatan harian yang baik untuk mengawasi tanda-tanda kesuburan. Selain itu, indikator kesuburan juga boleh berubah jika seseorang menggunakan kontraseptif (hormon) kecemasan. Anda mungkin ingin mengetahui lebih lanjut mengenai perancang keluarga semulajadi dari pakar perancang keluarga. 

Rujukan: