Mengapakah Imuniti Kelompok Amat Penting Untuk Mengekang COVID-19?
Test Suffix | Test AnchorImuniti Kelompok Dan Fungsinya
Apakah itu imuniti kelompok? Imuniti kelompok atau lebih dikenali sebagai herd immunity berlaku apabila majoriti penduduk atau masyarakat sesebuah komuniti mempunyai imuniti terhadap penyebab sesuatu penyakit berjangkit. Imuniti kelompok ini membolehkan ahli masyarakat yang mempunyai imuniti lemah dilindungi daripada jangkitan atau wabak tertentu.
Imuniti kelompok dapat menghentikan penyebaran penyakit berjangkit yang berpotensi melumpuhkan sesebuah komuniti dalam masa yang singkat. Imuniti seperti ini hanya dapat diperoleh dan dicapai sekiranya majoriti populasi di dalam sesebuah komuniti mendapat vaksinasi atau imunisasi terhadap sesebuah penyakit.
Menurut John Hopkins School of Public Health, bergantung kepada kadar kebolehjangkitan sesebuah penyakit, pembentukan imuniti kelompok memerlukan antara 50% sehingga 90% penduduk yang mempunyai imuniti terhadap sesebuah jangkitan.
Contoh Imuniti Kelompok
Terma imuniti kelompok jarang digunakan sejak pengenalannya sekitar tahun 1910-an oleh doktor veterinar, George Potter. Terma ini pula digunakan di dalam perubatan sekitar tahun 1920-an di mana penyakit difteria merupakan epidemik pada masa tersebut. Selain difteria, antara penyakit yang berjaya dihapuskan oleh vaksin dan kemudiannya membentuk imuniti kelompok adalah:
Penyakit campak atau smallpox disebabkan oleh virus variola
Polio yang disebabkan oleh poliovirus
Batuk kokol atau pertussis yang disebabkan oleh bakteria Bordetella pertussis
Measles yang disebabkan oleh virus measles
Kebanyakan penyakit ini terutamanya biasa di kalangan kanak-kanak, tetapi kini jarang ditemui kerana vaksinasi pada usia awal. Ini hanyalah beberapa contoh penyakit-penyakit yang berjaya dilenyapkan kerana vaksinasi dan imuniti kumpulan. Imuniti kumpulan berkesan dalam melindungi masyarakat di mana majoriti penduduknya diimunisasi.
COVID-19 Dan Imuniti Kelompok
Terdapat dua kaedah untuk mencapai imuniti kelompok:
Mendedahkan sesebuah populasi terhadap penyakit tersebut sehingga 50-90% populasi dijangkiti dan membina imuniti. Ini merupakan kaedah yang salah dan tidak beretika kerana banyak nyawa akan terkorban sebelum peratusan imuniti kelompok dapat dicapai. Dalam konteks COVID-19, sesebuah populasi tidak mengamalkan penjarakan fizikal dan menggunakan pelitup muka akan meningkatkan kadar jangkitan virus tersebut kepada orang lain dan perkara ini dapat melumpuhkan sistem kesihatan di sesebuah tempat kerana lambakan pesakit dan seterusnya meningkatkan kadar kematian. Keadaan ini pernah berlaku di Sweden sehingga fasiliti kesihatan negara itu hampir lumpuh akibat jangkitan yang tidak terkawal.
Kaedah kedua pula adalah dengan memberikan vaksinasi kepada sesebuah populasi. Pemberian vaksin kepada sesebuah populasi dapat membina imuniti tanpa menyebabkan penduduk jatuh sakit. Selain daripada vaksinasi, pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan mempraktikkan kebersihan tangan perlu dilakukan sehingga imuniti kelompok dapat dicapai. Dengan cara ini, kita dapat mengekang penularan dan seterusnya menurunkan bilangan kes harian.
Bagi imuniti kelompok COVID-19, pelbagai langkah perlu dirangka dan memerlukan kerjasama semua pihak supaya ia dapat dicapai di samping menurunkan kadar jangkitan dan kes harian. Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilaksanakan buat kali kedua, kita masih dapat melihat peningkatan kes harian dan ini bermaksud kadar jangkitan masih lagi berada pada tahap yang tinggi. Oleh itu, program imunisasi terhadap virus COVID-19 ini amat diperlukan.
Bolehkah Kita Mencapai Imuniti Kelompok COVID-19?
Bahagian barat Australia dikatakan bebas daripada wabak tersebut buat sementara waktu dan rakyatnya bebas bergerak tanpa menggunakan pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal setelah perintah kawalan pergerakan yang amat ketat dilakukan sebelum itu dan perkara yang sama dapat dilihat di New Zealand. Setelah mendengar berita ini, siapa sahaja tidak mahu kehidupan mereka kembali seperti kehidupan pra-pandemik COVID-19 dahulu.
Vaksinasi dan pelaksanaan kehidupan norma baharu merupakan langkah yang terbaik untuk mengekang penularan wabak COVID-19 pada masa ini. Negara kita akan menerima bekalan vaksin COVID-19 dari pelbagai syarikat farmaseutikal dan bekalan vaksin ini diberikan kepada 80% penduduk dan akan diberikan secara berperingkat seperti yang dirangka di dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang telahpun bermula pada penghujung Februari tahun ini.
Bilakah sesebuah komuniti boleh mencapai imuniti kelompok? Ia bergantung kepada nilai reproduction number (R0 atau R-naught). Jadi apa pula R0? R0 memberitahu secara purata berapa ramai individu yang belum imun terhadap virus COVID-19 ini boleh dijangkiti oleh seorang individu yang disahkan positif COVID-19. Lebih tinggi nilai R0, lebih ramai orang yang perlu diberikan imunisasi untuk mencapai imuniti kelompok dan menurunkan kadar jangkitan virus tersebut.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kajian mengenai imuniti terhadap virus tersebut masih sedang berjalan dan peratusan atau berapa ramai populasi yang perlu divaksin bagi mengekang penularan wabak COVID-19 masih belum diketahui.