Benarkah Sukarelawan Ujian Klinikal Vaksin Itu Tikus Makmal?

Vaksin COVID-19: Kajian Klinikal Fasa 3 di Malaysia - DoctorOnCall

    Baru-baru ini masyarakat digemparkan dengan berita bahawa sebuah program penyelidikan vaksin akan melibatkan vaksin dari China dan sukarelawan bagi ujian klinikal dari kalangan rakyat Malaysia. Pelbagai kebimbangan telah disuarakan terhadap kajian tersebut. Perlu difahamkan bahawa ini merupakan Kajian Klinikal Fasa 3. Dalam erti kata lain, ia adalah fasa kajian yang hanya dilaksanakan apabila produk itu telahpun di uji sebelumnya (secara intensif) dan telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Jadi, tentu ramai yang tertanya tanya tentang bagaimana sebenarnya kajian klinikal vaksin dijalankan dan apakah perbezaan setiap fasa. Jadi, mari ikuti artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Tingkatkan sistem kekebalan tubuh dengan makanan yang seimbang & berkhasiat.

Apa Itu Kajian Klinikal Vaksin? 

    Setiap vaksin yang diagihkan ke masyarakat umum perlu menjalani Kajian Klinikal bagi memastikan keberkesanan vaksin - atau dalam bahasa perubatan diistilahkan sebagai kadar efikasi vaksin - berada di tahap yang paling tinggi dan seterusnya, tiada risiko kesan sampingan yang serius.

    Disamping itu, Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) menetapkan kadar minimum efikasi sesuatu vaksin yang boleh diterima untuk kegunaan umum perlu mencapai  sekurang-kurangnya 50%. Namun kebanyakan vaksin yang dihasilkan oleh institusi di seluruh dunia mempunyai kadar keberkesanan yang lebih tinggi daripada kadar minima tersebut. Berdasarkan penerangan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kajian klinikal vaksin terbahagi kepada tiga fasa, iaitu:

Fasa I

Kajian yang melibatkan puluhan sukarelawan bagi mengenal pasti 

  • kesan tindak balas vaksin

  • Profil keselamatan vaksin peringkat awal

Fasa II

Kajian yang melibatkan ratusan sukarelawan bagi mengenal pasti

  • jumlah atau kadar dos vaksin yang sesuai

  • Profil tahap keselamatan yang lebih lengkap

Fasa III

Kajian yang melibatkan ribuan sukarelawan bagi mengenal pasti

  • kadar efikasi atau keberhasilan vaksin

  • kebarangkalian kesan sampingan vaksin yang lain 



Siapakah Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Science?

    Tak kenal maka tak cinta, untuk makluman anda institusi inilah yang menghasilkan vaksin untuk diuji di Malaysia. Ia adalah sebuah institusi yang berprestasi tinggi dan terkemuka di negara China. Dibuka semenjak tahun 1958, institusi ini mempunyai kepakaran hebat dalam bidang virologi, imunologi, molekular biologi, perubatan genetik, penyelidikan zoologi dan epidemiologi. Malah ia juga secara rasminya merupakan rakan kolaborasi WHO dalam membangunkan sebuah pusat penyelidikan enterovirus di rantau Asia. 

    Vaksin yang diuji merupakan vaksin jenis inactivated virus. Terdapat banyak institusi lain yang turut menggunakan teknologi vaksin yang sama termasuk Sinopharm (China), Sinovac (China) dan Bharat Biotech (India). Antara kelebihan vaksin jenis ini ialah:    

  • Tidak memerlukan kaedah logistik ‘cold chain’ 
  • Tidak perlu disimpan di peti sejuk beku dengan suhu yang ekstrim 
  • Dihasilkan dari teknologi sedia ada dengan rekod keberhasilan yang baik

    Selain itu, antara produk lain yang pernah dihasilkan oleh institusi berprestij ini termasuklah vaksin polio, vaksin hepatitis dan vaksin enterovirus bagi mencegah penyakit yang lazimnya ditemukan pada kanak-kanak kecil seperti Hand, Foot & Mouth Disease (HFMD).


Sejarah Kajian Klinikal Di Malaysia

    Sebenarnya, Kajian Klinikal Vaksin bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia. Sebagai contoh negara kita pernah menyertai satu kajian klinikal bagi vaksin denggi keluaran Amerika Syarikat beberapa tahun yang lalu. Selain itu, kita juga pernah menjadi tuan rumah kepada kajian perubatan untuk merawat Hepatitis C dan banyak lagi. Malah negara kita telah sekian lama mengamalkan dasar terbuka kepada mana-mana negara yang ingin menjadikan Malaysia sebagai pusat Kajian Klinikal bagi produk kesihatan mereka.

    Ini juga menunjukkan bahawa, Kajian Klinikal tidaklah terpaku kepada vaksin semata-mata. Semua produk kesihatan dan perubatan wajib melalui proses yang sama. Ini termasuk ubat-ubatan, produk kecantikan, suplemen tambahan, dan lain-lain. Walau bagaimanapun, tempoh Kajian Klinikal lazimnya berbeza berdasarkan jenis produk tersebut. Yang jelas, setiap uji kaji akan dijalankan dengan penuh cermat, dan diawasi badan-badan regulatori yang diiktiraf di peringkat global.

Strategi berhadapan varian baharu 

    Walaupun dunia telah digemparkan dengan beberapa varian virus COVID-19 yang baharu. Para cendiakawan dan saintis menjelaskan bahawa selagi mana variasi virus tersebut hanya melibatkan perubahan yang kecil dari kod genetik coronavirus, selagi itulah ianya tidak signifikan dan vaksin yang telah dihasilkan setakat ini masih mampu memberi imunisasi dan perlindungan yang sewajarnya. 

    Malah kita perlu sedar bahawa selain kempen imunisasi besar-besaran, antara strategi lain yang berkesan apabila berhadapan dengan varian baharu juga termasuk SOP pandemik & norma baru yang disarankan oleh pihak berkuasa. Kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal merupakan antara kaedah dan langkah terbaik dalam memutuskan rantaian COVID-19. 


Kesimpulan

    Justeru marilah kita sama-sama meraikan dan menghargai para sukarelawan yang sementara menjalani Ujian Klinikal Fasa 3 Vaksin COVID-19 di Malaysia. Keberhasilan kajian ini juga memberi peluang kepada negara dalam memperolehi bekalan vaksin coronavirus yang lebih banyak demi kepentingan masyarakat tempatan. Dengan itu, sokongan dan pengetahuan yang baik terhadap usaha seperti ini perlu disebarkan agar salah faham dapat kita kurangkan dalam kalangan masyarakat.

Kekal sihat dan dapatkan vaksinasi anda dengan doktor kami!

Rujukan: