Adakah Anda Tergolong Dalam Fasa Pertama Penerima Vaksin COVID-19?
Pandemik COVID-19 telah memberi kesan yang besar kepada masyarakat dunia, mengubah kehidupan harian dan rutin kita. Banyak sektor seperti ekonomi dan pendidikan terjejas secara negatif.
Selain itu, pandemik ini telah mencabar sistem kesihatan di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Oleh itu, pembangunan vaksin yang berjaya untuk COVID-19 adalah mercu tanda harapan bagi setiap manusia yang ingin kembali kepada kehidupan normal. Beberapa syarikat di seluruh dunia telah berjaya mengembangkan vaksin COVID-19, tetapi pengeluarannya sehingga kini adalah terhad.
Vaksin-vaksin ini telah mula tersebar di seluruh dunia, dan diharapkan bahawa manfaatnya juga akan diperolehi oleh rakyat Malaysia tidak lama lagi. Tetapi walaupun apabila vaksin tiba di negara kita, disebabkan bekalan yang terhad, kemungkinan besar ia akan diberikan secara berperingkat. Jadi, siapa yang layak menerima vaksin ini terlebih dahulu?
Siapakah Yang Akan Menerima Vaksin COVID-19 Dahulu?
Terdapat pelbagai faktor yang perlu dipertimbangkan dalam memilih golongan yang akan mendapat vaksin COVID-19. Semestinya golongan yang berisiko tinggi akan diberikan dahulu tetapi bilangan yang berisiko tinggi juga terlalu ramai dan vaksin yang terhad kemungkinan tidak dapat menampung kesemua golongan ini. Oleh itu, pembahagian akan dilakukan mengikut keutamaan. Mengikut laporan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) antara golongan yang patut menerima vaksin dahulu adalah mengikut urutan di bawah:
1. Penduduk dan penjaga di pusat jagaan orang tua
2. Warga emas yang berusia 80 tahun dan ke-atas dan frontliner (doktor, jururawat)
3. Orang yang berusia 75 tahun dan ke-atas
4. Orang yang berusia 70 tahun ke-atas dan golongan yang berpenyakit kronik dan berisiko tinggi
5. Orang yang berusia 65 tahun ke-atas
6. Orang yang berusia 16 hingga 64 tahun yang menghidapi penyakit kronik
7. Orang yang berusia 60 tahun ke-atas
8. Orang yang berusia 55 tahun dan ke-atas
9. Orang yang berusia 50 tahun dan ke-atas
Melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dibangunkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pemberian vaksin akan dilakukan pada bulan Mac dalam 3 fasa. Iaitu, barisan hadapan, kumpulan rentan dan orang awam berusia 18 tahun ke-atas.
Ketika ini, frontliner atau petugas barisan hadapan adalah tulang belakang negara ini. Mereka memastikan kelangsungan pelbagai sistem dalam negara seperti kesihatan, makanan dan keselamatan. Frontliner seperti doktor, jururawat, petugas perubatan, polis, askar, servis makanan, pengangkutan, media, dan lain-lain lagi memerlukan vaksin ini untuk bertugas dengan selamat daripada jangkitan.
Kumpulan rentan memerlukan vaksin kerana mereka berisiko tinggi untuk jatuh sakit dan mati jika dijangkiti COVID-19. Antara orang golongan kumpulan rentan adalah; orang dewasa umur 65 tahun ke-atas, mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah, mereka yang menghidapi penyakit kronik, wanita hamil, bayi yang berusia kurang daripada 6 bulan. Perkerja di taman asuhan kanak-kanak dan rumah penjagaan orang tua-tua juga perlu mengambil vaksin ini agar mereka tidak menyebarkan jangkitan kepada mereka yang berisiko tinggi ini.
Adakah ini bermaksud sesiapa yang tidak berada dalam golongan yang tersenarai tidak akan mendapat vaksin? Tidak. Ini hanyalah senarai golongan yang akan menerima vaksin dahulu. Apabila kadar penghasilan vaksin meningkat, senarai golongan yang akan menerima vaksin juga akan meningkat dan semua rakyat Malaysia juga akan menerima vaksin ini.
Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Vaksin COVID-19
Memandangkan vaksin ini masih baru, tentu ramai yang tertanya tanya tentang keselamatan vaksin ini. Berikut adalah apa yang anda perlu tahu tentang vaksin COVID-19.
1. Memahami vaksin mRNA COVID-19
Vaksin mRNA adalah vaksin yang baru dalam fungsi perlindungan terhadap jangkitan. mRNA berperanan untuk mengajar tubuh badan kita menghasilkan sejenis protein yang serupa dengan sebahagian protein yang terkandung dalam coronavirus untuk memulakan tubuh badan bertindak balas terhadap virus ini. Melalui vaksin mRNA ini, sistem imuniti kita akan menghasilkan antibodi atau perlindungan apabila virus yang sebenar menjangkiti kita.
2. Adakah vaksin ini menyebabkan seseorang mendapat COVID-19?
Tidak. Walaupun vaksin ini dihasilkan daripada mRNA daripada coronavirus, ia hanya berfungsi untuk menghasilkan antibodi dalam tubuh badan. Vaksin ini tidak mengandungi virus ataupun komponen yang boleh menyebabkan anda jatuh sakit.
3. Adakah vaksin ini selamat?
Walaupun vaksin kaedah mRNA ini adalah vaksin yang baru, anda perlu mengetahui bahawa kaedah ini telah dikaji sejak dahulu lagi dan kaedah ini dilakukan untuk merawat penyakit lain.
Anda tidak perlu risau tentang keselamatan vaksin ini kerana pemilihan vaksin ini dibuat oleh pakar-pakar tempatan selepas menilai kesemua data, bukti dan laporan dari ujian klinikal. Pengeluaran sesuatu vaksin bukanlah perkara yang mudah. Untuk mendapat kelulusan dan digunakan oleh masyarakat, vaksin tersebut telah melalui proses penilaian ketat dan semakan dari pelbagai aspek untuk memastikan keselamatan pengguna.
Semua vaksin yang dicipta akan menjalani ujian klinikal untuk memastikan keselamatannya sebelum boleh digunakan oleh manusia di seluruh dunia. Food & Drug Administration (FDA) telah menetapkan syarat-syarat yang perlu dicapai dan patuhi untuk mendapatkan vaksin yang selamat digunakan.
Walaupun telah diberikan kelulusan untuk kegunaan vaksin FDA. Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) juga akan melakukan pemantauan yang berterusan untuk mengesan masalah seperti kesan sampingan vaksin.
4. Adakah penerima akan mengalami kesan sampingan?
Tiada rawatan dan ubat yang tiada kesan sampingan. Ubat seperti paracetamol yang anda gunakan untuk menghilangkan sakit kepala juga mempunyai kesan sampingan.
Setakat ini, berdasarkan data yang diperolehi, vaksin ini hanya menyebabkan kesan sampingan ringan seperti sakit kepala dan sakit otot.
5. Adakah vaksin ini efektif?
Setakat ini, salah satu vaksin yang dihasilkan iaitu vaksin mRNA berkesan sehingga 95% dalam mencegah jangkitan ini.
6. Adakah saya perlu memakai topeng muka selepas menerima vaksin?
Ya. Anda perlu memakai topeng muka walaupun setelah menerima vaksin. Selain melindungi diri anda sekiranya tergolong dalam 5% golongan di mana vaksin tersebut tidak efektif, anda jaga turut melindungi orang lain yang mungkin belum menerima vaksin atau tidak boleh menerima vaksin.
7. Adakah vaksin ini memberi perlindungan jangka masa panjang?
Buat masa ini, terlalu awal untuk kita mengetahui jika vaksin ini akan memberikan perlindungan untuk jangka masa panjang. Namun begitu, setakat ini, kita ketahui bahawa individu yang sembuh daripada COVID-19 mempunyai pelindungan atau imuniti untuk seketika sebelum boleh dijangkiti semula.
8. Adakah vaksin akan mencegah penyebaran virus?
Buat masa ini, walaupun data kajian mendapati vaksin berkesan dalam mencegah simptom-simptom ringan dan sederhana, kajian masih dilakukan untuk melihat jika vaksin dapat mencegah penyebaran virus ataupun tidak.
Kesimpulan
Walaupun vaksin COVID-19 telah dihasilkan, kita mestilah menjaga diri dan kesihatan. Sentiasa memakai topeng muka dan amalkan penjarakan sosial. Masih terlalu awal untuk kita meraihkan kemenangan terhadap pandemik ini. Ingat, kita jaga kita.