Bolehkah Anda Menangguhkan Suntikan Dos Kedua Vaksin COVID-19?
Perkembangan vaksin baru untuk penyakit coronavirus 2019 (COVID-19) sangat mengagumkan, tetapi terdapat beberapa kontroversi mengenai pemberian dos kedua vaksin tersebut. Berdasarkan ketetapan, imunisasi dos kedua adalah perlu diberikan kepada setiap penerima vaksin pertama. Namun, perihal sama ada vaksin kedua harus ditangguhkan untuk memberi laluan kepada individu lain yang belum mendapatkan vaksin pertama berikutan pembekalan vaksin yang terhad. Persoalan lain mungkin muncul terutama dalam situasi sekiranya anda memerlukan dos kedua vaksin tetapi tiba-tiba janji temu anda dibatalkan. Anda mungkin mempunyai soalan mengenai selama mana jarak penangguhan dos yang dibenarkan. Adakah selamat untuk tangguh dos kedua vaksin COVID-19? Ketahui lebih lanjut ulasannya menerusi artikel ini.
Adakah Selamat Untuk Tangguh Dos Kedua Vaksin COVID-19?
Beberapa pandangan dari luar negara mengemukakan bahawa COVID-19 adalah wabak serius yang cepat merebak ke seluruh dunia, namun, penghasilan dan pengagihan vaksin berada pada kadar yang agak perlahan. Justeru, terdapat pendapat yang menyarankan agar dos kedua ditangguhkan sehingga jumlah individu yang menerima dos pertama mendominasi populasi penduduk. Bagaimanapun, kesan perlindungan dengan hanya satu suntikan vaksin masih tidak diketahui kerana belum ada data penelitian berkenaan perlindungannya dalam jangka masa panjang terhadap jangkitan COVID-19.
Para pakar kesihatan masih membincangkan kesesuaian menangguhkan dos kedua vaksin COVID-19 untuk menginokulasi lebih ramai orang. Memberi keutamaan kepada dos pertama dijangkakan supaya lebih ramai orang dapat menerima dos pertama lebih awal, yang pada gilirannya dapat menghalang penularan penyakit. Walau bagaimanapun, para pakar juga berpendapat bahawa risiko mutasi coronavirus yang lebih banyak mungkin menjadi kesan dari penangguhan dos.
Susulan perkara tersebut, dalam suatu sidang media di Rumah Putih pada Januari 2021, Dr. Anthony Fauci yang merupakan pakar penyakit berjangkit terkemuka Amerika Syarikat memberi amaran agar masyarakat tidak melambatkan imunisasi kedua COVID-19. Beliau mengatakan perkara tersebut boleh menjadi pemangkin penyebaran varian baru dengan memberi imuniti yang lebih lemah kepada masyarakat. Data juga menunjukkan bahawa dua dos vaksin adalah sepuluh kali ganda lebih baik.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Khairy Jamaluddin, negara kita akan memberi dos pertama dan kedua vaksin daripada jenis yang sama dalam program imunisasi COVID-19 yang bermula pada 26 Februari 2021. Kumpulan terawal program ini hanya membabitkan kira-kira 20 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.
Bilakah Sebenarnya Anda Harus Mendapatkan Dos Kedua Vaksin COVID-19?
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mengesyorkan agar dos kedua vaksin COVID-19 diberikan dalam 3 minggu (21 hari) dari dos pertama untuk vaksin Pfizer dan dalam masa 4 minggu (28 hari) untuk vaksin Moderna. Jika dos kedua tidak diberikan dalam jangka waktu tersebut tetapi tidak melebihi selang 6 minggu (42 hari), maka suntikan dos kedua boleh diberikan tanpa perlu mengulangi dos pertama. Pemberian dos kedua lebih awal daripada jangka masa yang dinyatakan di atas adalah tidak disyorkan. Akan tetapi, jika seseorang perlu mendapatkan dos kedua lebih awal atas sebab tertentu, maka suntikan dos kedua adalah dibenarkan hingga 4 hari lebih awal dari jadual yang sepatutnya.
Manakala bagi suntikan vaksin AstraZeneca (Oxford), penangguhan dos kedua hingga 12 minggu selepas dos yang pertama mempunyai potensi untuk berfungsi dengan baik. Kesan perlindungan dari dos pertama didapati belum berkurang sehingga 12 minggu sekaligus memberikan selang yang lebih lama antara kedua dos. Hal ini dilaporkan dalam satu kertas kerja saintifik dari Universiti Oxford pada awal Februari 2021. Walau bagaimanapun, penting untuk dicatat bahawa hasil kertas kerja tersebut masih belum diteliti secara rasmi oleh saintis lain. Apapun, di Malaysia, pada Februari 2021, hanya vaksin Pfizer yang telah diluluskan manakala vaksin lain seperti AstraZeneca, Sputnik V dan Sinovac sedang dinilai.
Mengapa Anda Memerlukan Dua Dos Vaksin COVID-19?
Penghasilan vaksin dirancang bagi membina memori imunologi yang akan memberi kemampuan kepada sistem kekebalan tubuh kita untuk mengenali dan menangkis patogen atau virus yang menjangkiti tubuh badan. Sebilangan besar vaksin COVID-19 memberikan tindak balas tersebut dengan memberikan sistem kekebalan tubuh melalui salinan protein coronavirus.
Dua dos vaksin bertujuan untuk faedah yang maksimum dimana dos pertama memicu memori imunologi manakala dos kedua adalah untuk menguatkannya.
Berdasarkan ujian klinikal yang dilakukan oleh setiap syarikat farmaseutikal, vaksin COVID-19 lebih efektif apabila diberikan dalam dua dos, dengan jarak masa yang agak lama. Sebuah artikel ilmiah yang diterbitkan di JAMA pada awal Februari 2021 menyatakan bahawa ketika vaksin pertama kali diuji, tindak balas sistem imun tubuh didapati agak lemah dalam beberapa minggu setelah imunisasi pertama, akan tetapi ianya dilaporkan menjadi lebih kuat setelah suntikan dos kedua vaksin.
Sehubungan itu, penelitian lebih lanjut diteruskan dengan melihat keupayaan penerimaan dua dos vaksin dalam mencegah jangkitan COVID-19 pada suatu kumpulan sukarelawan. Hasil penelitian mendapati kedua dos vaksin ini sangat berkesan untuk mencegah jangkitan berikutan gejala setelah suntikan dos pertama dan kedua yang dilaporkan. Ia menjadi petanda adanya tindak balas tubuh terhadap vaksin yang diberikan. Walau bagaimanapun, dalam penelitian tersebut, setiap sukarelawan tetap diberikan dos kedua. Justeru, masih tidak diketahui seberapa baik vaksin berfungsi jika hanya satu dos diberikan.
Kesimpulan
Konklusinya, pemberian dos kedua vaksin adalah disyorkan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Setakat ini, Malaysia masih cenderung untuk tidak menangguhkan suntikan dos kedua. Walaubagaimanapun, sudah tentu negara cakna dalam mengikuti perkembangan hasil penelitian seluruh dunia seiring waktu. Sebarang arahan akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa sekiranya kaedah pelaksanaan perlu diubah suai. Hal ini bagi memastikan masyarakat mendapat perlindungan yang maksimum terhadap jangkitan wabak COVID-19.
Tingkatkan ketahanan sistem imun tubuh dengan mengambil makanan seimbang dan berkhasiat.
Rujukan: