Anda Pernah Dijangkiti COVID-19? Adakah Anda Perlukan Vaksin?
Kejayaan pembangunan vaksin COVID-19 oleh saintis merupakan langkah pertama ke arah memulihkan masyarakat dari kesan buruk pandemik ini. Di Malaysia, sasaran pertama program imunisasi COVID-19 adalah pekerja kesihatan, diikuti oleh individu yang mempunyai penyakit kronik berisiko tinggi. Selepas itu, individu yang berumur 18 tahun ke atas akan mendapat peluang untuk divaksinasi COVID-19. Namun, bagaimana pula dengan individu yang mempunyai sejarah jangkitan COVID-19? Patutkah individu yang pulih dari COVID-19 divaksin? Dapatkan maklumat lanjut melalui artikel ini.
Adakah Vaksin Perlu Untuk Individu Yang Sudah Pernah Dijangkiti COVID-19?
Jawapannya ya. Berdasarkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), suatu kenyataan telah dibentangkan dalam sebuah mesyuarat pada bulan Disember 2020, mengenai pemberian vaksin kepada individu yang pernah dijangkiti COVID-19. Menurut sumber tersebut, vaksinasi harus diberikan kepada masyarakat tanpa mengambil kira sejarah samada pernah dijangkiti COVID-19 dengan gejala mahupun tanpa gejala. Di samping itu, data dari ujian klinikal fasa 2/3 menunjukkan bahawa vaksinasi adalah selamat dan bermanfaat kepada individu yang pernah terkena jangkitan COVID-19.
- Persoalan Tentang Antibodi Semulajadi
Secara teorinya, memang benar jika seseorang sudah terkena suatu jangkitan, tubuh akan bertindak untuk menghasilkan “antibodi semulajadi”. Ia merupakan zat protein yang berpotensi untuk melawan dan mencegah patogen atau virus yang sama daripada menjangkiti tubuh pada masa akan datang. Bagaimanapun, perkara yang menjadi masalah ialah tahap kekebalan atau antibodi sangat berbeza bagi setiap individu yang pernah dijangkiti virus COVID-19. Pakar kesihatan belum mengetahui apakah ada kemungkinan bahawa manusia bakal menjadi kebal terhadap COVID-19 setelah dijangkiti. Walaupun sebilangan besar pesakit COVID-19 yang telah pulih mempunyai antibodi terhadap virus tersebut. Namun, jangka masa antibodi semulajadi itu bertahan masih menjadi tanda tanya dan dalam masa yang sama banyak laporan menyatakan bahawa imuniti tersebut tidak bertahan dalam jangka masa yang lama dan mereka yang telah dijangkiti ini masih berpotensi untuk dijangkiti kembali. Justeru, pemberian vaksin kepada individu yang pernah dijangkiti COVID-19 adalah sesuatu yang harus dilakukan.
Apakah Kesan Sampingan Vaksin Terhadap Individu Yang Sudah Pernah Dijangkiti COVID-19?
Dalam satu penelitian di luar negara mendapati bahawa bekas pesakit COVID-19 cenderung mempunyai tindak balas antibodi yang lebih tinggi setelah suntikan dos pertama vaksin berbanding dua dos vaksin pada individu yang belum pernah terkena jangkitan. Penelitian yang dilaporkan pada Februari 2021 ini membabitkan seorang pakar biologi molekul yang dijangkiti COVID-19 pada akhir bulan Mac 2020 dan kini telah sembuh. Ia dikatakan kira-kira seminggu selepas beliau dan rakan sekerja terpaksa menutup makmal mereka di Hospital Mount Sinai, New York. Beliau menjelaskan gejala yang dialaminya akibat jangkitan COVID-19 adalah seperti sakit kepala yang hebat, demam tinggi dan sakit badan sehingga tidak dapat bergerak bukanlah suatu pengalaman yang ingin diulang. Justeru, apabila beliau telah layak untuk mendapatkan vaksin COVID-19 pada suku pertama tahun 2021 ini, beliau mengambil suntikan tersebut tanpa berlengah lagi. Dua hari setelah vaksinasi, beliau mengalami gejala sakit kepala dan sakit badan yang sama seperti gejala ketika beliau dijangkiti COVID-19 tempoh hari. Namun, gejala setelah vaksinasi itu pulih dengan cepat tetapi beliau mengakui agak terkejut dengan tindak balas kuat daripada tubuhnya terhadap vaksin COVID-19.
Dalam satu kajian yang dijalankan oleh The Icahn School of Medicine di Mount Sinai, para penyelidik mendapati bahawa orang yang sebelumnya pernah dijangkiti virus COVID-19 melaporkan keletihan, sakit kepala, menggigil, demam, dan sakit otot dan sendi setelah suntikan dos pertama adalah lebih kerap daripada mereka yang tidak pernah dijangkiti. Bekas pesakit COVID-19 juga mempunyai tahap antibodi yang jauh lebih tinggi setelah dos pertama dan kedua vaksin. Bagaimanapun, kajian tersebut masih memerlukan dapatan lanjut daripada kajian lain dan juga pendapat pakar yang berbeza.
Terdapat juga beberapa laporan di Birmingham, mengenai vaksin COVID-19 yang mempunyai pelbagai kesan sampingan yang berbeza setelah kedua-dua dos suntikan, dimana dikatakan dos kali kedua kerap menimbulkan kesan kepada penerima vaksin tersebut. Wakil pegawai kesihatan yang merupakan seorang doktor di situ menjelaskan bahawa kesan sampingan yang dialami setelah suntikan vaksin COVID-19 menandakan vaksin tersebut berfungsi. Namun begitu, beliau mengatakan sukar untuk memberitahu siapa yang akan mengalami kesan sampingan dan siapa yang tidak. Hal ini kerana kesan sampingan adalah benar-benar bergantung kepada tahap sistem imun seseorang dan bagaimana tubuh bertindak balas. Mungkin kebanyakan orang yang menerima vaksin mengalami sakit lengan. Beberapa kajian menunjukkan peratusan yang sangat besar, iaitu sebanyak 70-80%, akan mengalami sakit kepala dan sebilangan kecil orang akan mengalami sakit otot. Bagaimanapun, beliau berkata bahawa sejarah menghidap COVID-19 sebelum ini tidak mengubah risiko untuk mengalami kesan sampingan setelah vaksinasi.
Pemberian vaksin diharapkan akan meningkatkan ketahanan antibodi terhadap virus ini dengan lebih baik. Keperluan dos kedua bagi individu yang telah dijangkiti masih dalam penelitian. Beberapa pakar imunologi berpendapat bahawa individu yang telah sembuh daripada jangkitan COVID-19 hanya memerlukan satu dos vaksin. Akan tetapi, penelitian tersebut masih dalam proses tinjauan daripada beberapa pakar lain.
Kesimpulan
Kesimpulannya, vaksin ini masih diperlukan bagi mereka yang pernah dijangkiti COVID-19, namun begitu, disebabkan beberapa perkara masih dalam penelitian, sebaiknya tiada sebarang spekulasi tidak berasas dilakukan atau disebarkan. Pihak berkuasa akan memaklumkan tindakan selanjutnya bagi vaksinasi buat golongan ini agar semua pihak dapat dilindungi tanpa sebarang kemudaratan.
Tingkatkan ketahanan sistem imun tubuh dan jalani kehidupan seharian yang sihat!
Rujukan: