Tanda-tanda klinikal penyakit pedih ulu hati
Penyebab sakit ulu hati yang paling utama ialah gastro-esophageal reflux disease (GERD), iaitu sejenis kondisi yang berpunca daripada injap yang terlalu longgar di bahagian atas perut sehingga menyebabkan kemasukan asid perut ke dalam esofagus.
Pedih ulu hati berpanjangan sering menyebabkan kesakitan yang diibaratkan sebagai membakar di bahagian perut atau di bahagian dada. Kesakitan ini biasanya adalah lebih serius selepas makan dan semasa berbaring atau membongkok. Pedih ulu hati semasa mengandung pula adalah lebih serius pada trimester kedua dan ketiga. Golongan pesakit ini akan berjumpa dengan doktor untuk mengetahui punca kepada masalah mereka.
Semasa berjumpa dengan doktor, pemeriksaan fizikal yang teliti akan dijalankan untuk mengesan sebarang tanda-tanda klinikal yang menyokong diagnosis pedih ulu hati.
Tanda-tanda klinikal yang menyokong diagnosis pedih ulu hati adalah termasuk:
Kesakitan semasa menekan bahagian perut
Berat badan yang berlebihan atau kesusutan berat badan
Kesusahan untuk menelan makanan
Kesakitan di bahagian tekak atau dada semasa menelan
Tanda-tanda anemia atau kekurangan darah seperti muka yang pucat
Kerongkong yang merah
Kerosakan gigi dan gusi
Penghasilan air liur yang banyak
Sendawa
Batuk yang teruk
Kesusahan bernafas atau serangan asma
Pernafasan berbunyi atau wheezing
Suara yang serak
Bau mulut yang kurang menyenangkan
Ujian makmal untuk diagnosis penyakit
- Diagnosis pedih ulu hati boleh dibuat dengan menggunakan beberapa jenis cara. Salah satu cara yang paling biasa digunakan ialah esophageal pH monitoring. Kaedah ini melibatkan pemasukan alat ke dalam perut melalui mulut untuk mengesan dan menguji tahap keasidan di bahagian bawah esofagus. Jika tahap keasidan di bahagian bawah esofagus adalah tinggi, maka kemungkinan diagnosis GERD adalah sangat tinggi.
- Kaedah manometry melibatkan pemasukan sesebuah alat pengesan atau sensor yang dihalakan ke injap bahagian atas perut atau lower esophageal spinchter melalui mulut pesakit. Alat tersebut akan menguji fungsi injap tersebut dan mengesan sebarang kelonggaran semasa penutupan injap tersebut berlaku. Jika injap tersebut adalah longgar, maka kemungkinan diagnosis GERD adalah lebih tinggi.
- Bagi pesakit-pesakit yang telah mengalami pedih ulu hati untuk jangka masa yang lama atau pesakit-pesakit di mana kondisi mereka tidak bertambah baik dengan rawatan, ujian endoscopy akan dijalankan. Sebatang teropong yang halus akan dimasukkan melalui mulut pesakit untuk mengesan sebarang keradangan, ulser atau ketumbuhan di bahagian esofagus dan perut. Sampel tisu dari esofagus dan perut juga boleh diambil dan dihantar ke makmal untuk diuji supaya punca pedih ulu hati boleh ditemui dan rawatan yang sesuai boleh diberi secepat mungkin.
Written by: Sri Viknarajan A/L Puvendran
Universiti Hasanuddin, Indonesia – MEDICAL DEGREE (DR)
18 Aug 2018