Pedih Ulu Hati

Rawatan Berkesan Untuk Pedih Ulu Hati (Refluks)

Baca Soalan

Cara menangani pedih ulu hati

Pedih ulu hati merupakan salah satu masalah kesihatan yang sering dihadapi oleh orang ramai. Jika tidak dirawat dengan berkesan, masalah ini boleh membawa pelbagai kesan negatif terhadap kesihatan dan kualiti hidup para pesakit.

Secara umumnya, pedih ulu hati boleh dikawal dengan mengamalkan cara hidup sihat dan dengan menggunakan beberapa jenis ubat yang boleh diperolehi tanpa preskripsi doktor. Walaupun begitu, sekiranya keadaan bertambah teruk dan komplikasi berlaku, para pesakit mungkin memerlukan ubat lain atau pembedahan.

Amalkan cara hidup sihat

Amalan cara hidup sihat, terutamanya dari segi tabiat pemakanan, merupakan cara menghilangkan pedih ulu hati dengan cepat bagi kebanyakan pesakit. Para pesakit digalakkan mengenal pasti jenis-jenis makanan yang menyebabkan pedih ulu hati. Jenis-jenis makanan ini berbeza bagi setiap orang.

Antara contoh makanan yang boleh memberi kesan ialah makanan pedas dan berempah terutamanya kari, minuman berkarbonat dan makanan yang diawet. Para pesakit juga harus mengurangkan pengambilan makanan bergoreng dan berlemak kerana jenis makanan ini boleh menyebabkan perasaan kembung perut.Hal ini disebabkan oleh lemak yang melambatkan proses pencernaan.

Para pesakit juga digalakkan makan dalam jumlah yang sedikit tetapi lebih kerap. Elakkan makan hanya dua atau tiga sehari tetapi dalam jumlah yang banyak. Makan dengan perlahan-lahan dan kunyahlah makanan sehingga menjadi hancur. Janganlah baring dalam tiga jam selepas makan dan elakkan makan apabila dekat dengan waktu tidur.

Selain itu, berat badan yang optimum amatlah penting kerana berat badan yang berlebihan memberi tekanan pada bahagian abdomen. Hal ini menyebabkan asid di dalam perut mengalir ke arah esofagus. Para pesakit juga disarankan berhenti merokok dan mengelakkan pengambilan minuman arak kerana kedua-dua amalan ini boleh menyebabkan pedih ulu hati.

Ubat-ubatan yang berkesan

Antacids atau bismuth subsalicylate yang meneutralkan asid perut telah didapati berkesan dalam mengurangkan pedih ulu hati. Ubat ini boleh didapati di farmasi tanpa preskripsi doktor. Salah satu jenis antacid yang sering digunakan ialah Gaviscon. Gaviscon untuk ibu mengandung didapati selamat. Walaupun begitu, ibu mengandung digalakkan merawat masalah pedih ulu hati tanpa menggunakan ubat sekiranya keadaan tidak begitu serius.

Satu lagi kelas ubat yang berkesan ialah H-2-receptor antagonists (H2RAs). Salah satu contoh ubat kelas ini ialah ranitidine. Ubat ini mengurangkan asid perut. Walaupun kesannya tidak dirasai secepat antacid, ubat kelas ini berkesan untuk tempoh masa yang lebih panjang.

Proton pump inhibitors (PPIs) merupakan satu lagi kelas ubat yang amat berkesan dalam mengurangkan asid perut. Antara contoh ubat kelas ini ialah lansoprazole, omeprazole dan esomeprazole.

Selain ubat-ubat ini, metaclopramide yang sering digunakan untuk mengurangkan muntah, juga boleh diambil untuk mengosongkan perut dengan segera.

Pembedahan

Pembedahan hanya diperlukan untuk segelintir kes yang lebih serius. Tujuannya adalah untuk mengetatkan bahagian bawah esofagus yang bersambung dengan perut sepaya asid perut tidak mengalir ke dalam esofagus.

Endoskopi juga mungkin dijalankan untuk memeriksa esofagus dan perut para pesakit untuk mengesan komplikasi yang mungkin berlaku.

Written by: Sri Viknarajan A/L Puvendran

Universiti Hasanuddin, Indonesia – MEDICAL DEGREE (DR)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?