Pedih ulu hati merujuk kepada rasa sakit yang membakar di dada atau sakit perut bahagian tengah atas pusat yang berlaku akibat kesan asid dari perut yang telah memasuki saluran pemakanan (esofagus). Pergerakan asid dari perut ke arah kerongkong melalui esofagus ini dikenali sebagai refluks asid dan ia berlaku apabila injap di antara esofagus dan perut anda gagal tertutup rapat. Keadaan ini kerap berlaku kepada kita semua dan biasanya tidak perlu dirisaukan. Namun, jika masalah ini berulang-ulang dan kerap berlaku, seseorang itu mungkin mengalami penyakit “gastro-esophageal reflux” (GERD).
Faktor yang boleh meningkatkan risiko refluks:
Kedudukan badan anda selepas makan: Seseorang yang berbaring lebih senang mendapat pedih ulu hati kerana asid lebih senang mengalir. Oleh sebab itu, ramai dengan GERD mendapat pedih ulu hati ketika tidur.
Jumlah makanan: Sakit ulu hati ketika makan boleh berlaku terutamanya jika makan terlalu banyak.
Sifat makanan yang anda makan: Makanan dan minuman yang tertentu seperti makanan pedas dan berminyak serta minuman berkafein, berkarbonat dan beralkohol.
Berlebihan berat badan
Merokok
Kehamilan
Hernia hiatus: Keadaan di mana sebahagian perut anda berada di dada anda walaupun sepatutnya berada di abdomen anda.
Tanda dan gejala pedih ulu hati
Gejala pedih ulu hati adalah seperti berikut:
Rasa terbakar di dada yang berlaku selepas makan
Sakit perut bahagian atas seperti ditusuk
Perut bahagian tengah sakit bila ditekan
Kesakitan dada, terutamanya selepas membongkok, berbaring atau makan
Sakit tekak atau rasa membakar di kerongkong
Cecair yang berasa masam atau berasid di bahagian belakang kerongkong akibat regurgitasi makanan bersama dengan asid
Perasaan seperti makanan terlekat di tengah dada atau tekak
Kesukaran menelan
Tidur terganggu
Batuk yang berpanjangan
Laryngitis: Keradangan bahagian kerongkong di mana terletaknya pita suara
Walau bagaimanapun, anda patut berwaspada sekiranya anda mengalami sebarang kesakitan dada. Jika kesakitan itu adalah kesakitan yang teruk atau luar biasa yang berlaku bersama-sama gejala-gejala lain seperti sakit ulu hati dan sesak nafas dan keketatan dada atau jika kesakitan tersebut merebak ke tempat lain seperti lengan, leher, rahang atau ke belakang badan, ia mungkin disebabkan oleh serangan sakit jantung.
Untuk memastikan anda tidak mengalami masalah yang serius dan jika anda berasa risau atau sedang mengalami masalah-masalah yang berikut, tolong rujuk kepada doktor anda bagi pemeriksaan lanjut:
Gejala berterusan walaupun penggunaan ubat-ubatan
Pedih ulu hati berlaku lebih daripada dua kali seminggu
Anda mempunyai mual atau muntah yang berterusan
Anda mengalami kesukaran menelan
Anda mengalami penurunan berat badan dan selera makan yang berkurangan
Written by: Sri Viknarajan A/L Puvendran
Universiti Hasanuddin, Indonesia – MEDICAL DEGREE (DR)
18 Aug 2018