Penyakit Jantung

Penyakit Jantung - Komplikasi Serangan Jantung

Baca Soalan

Kesan penyakit jantung

  • Seperti banyak penyakit yang lain, terdapat beberapa kesan penyakit jantung kepada individu. Oleh sebab penyakit jantung mengakibatkan kematian sebahagian sel-sel jantung, aktiviti elektrik jantung dan fungsi jantung sebagai pam turut terjejas.
  • Hal ini menyebabkan pelbagai jenis komplikasi yang selalunya boleh diklasifikasikan kepada komplikasi jangka masa pendek dan komplikasi jangka masa panjang. Berikut ialah komplikasi serangan jantung wajib berjaga-jaga.

Komplikasi jangka pendek

  • Kesan sakit jantung yang paling awal ialah ritma detak jantung yang tidak teratur. Denyutan jantung mungkin menjadi tidak teratur, terlalu laju atau terlalu lambat.
  • Para pesakit biasanya mengalami simptom seperti:
    • keletihan
    • pening kepala 
    • sensasi denyutan yang luar biasa
  • Masalah ini boleh menyebabkan kegagalan jantung.
  • Dalam tempoh masa beberapa hari selepas serangan jantung, fungsi injap jantung juga mungkin terjejas. Komplikasi ini juga meningkatkan risiko kegagalan jantung.
  • Selepas serangan jantung, denyutan jantung juga menjadi lemah dan pesakit berisiko mengalami kemerosotan pengaliran darah ke seluruh badan yang boleh menjejaskan fungsi organ-organ lain.
  • Beberapa minggu selepas serangan jantung pula, para pesakit berisiko menghidap radang selaput jantung. Simptom yang mungkin berlaku termasuklah sakit dada dan demam.

Komplikasi jangka panjang

  • Komplikasi serangan jantung dalam jangka masa panjang termasuklah gangguan ritma detak jantung yang berlarutan. Jenis gangguan irama jantung yang paling biasa berlaku ialah atrial fibrillation.
  • Ketika masalah ini berlaku, pengaliran darah di dalam jantung menjadi kurang lancar dan pembentukan bekuan darah senang berlaku.
  • Oleh sebab itu, para pesakit berisiko menghidap strok apabila bekuan darah tersebut tertanggal dan sampai ke otak mengikut aliran darah.
  • Diagnosis biasanya dibuat dengan ujian ECG yang menganalisa ritma jantung. Pesakit atrial fibrillation biasanya akan diberi ubat cair darah seperti warfarin.
  • Kegagalan jantung juga boleh berlaku selepas serangan jantung. Pesakit-pesakit akan mengalami simptom seperti:
    • Keletihan
    • Sesak nafas yang menjadi lebih teruk dengan aktiviti fizikal
    • Bengkak kedua-dua belah kaki
    • Sensasi denyutan jantung yang luar biasa
  • Ujian yang mungkin dijalankan oleh doktor termasuklah echocardiography, di mana doktor akan mengimbas imej jantung dengan bantuan ultrasound untuk mengetahui fungsi jantung.
  • Kegagalan jantung boleh dirawati dengan ubat, pengurangan air minum dan rehabilitasi jantung.
  • Akhir sekali, sesetengah pesakit jantung berisiko menghidap masalah psikologi seperti kemurungan. Hal ini biasanya disebabkan oleh tekanan daripada diagnosis dan rawatan penyakit serta simptom yang mengganggu pelaksanaan aktiviti harian.
  • Walau bagaimanapun, rawatan yang berkesan sentiasa ada jika para pesakit mendapatkan bantuan.


Written by: Sri Viknarajan A/L Puvendran

Universiti Hasanuddin, Indonesia – MEDICAL DEGREE (DR)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?