Baca Soalan
Pengenalan
- Penyakit jantung merupakan pembunuh nombor satu manusia di dunia pada ketika ini. Ia juga menjadi salah satu risiko kepada penyakit lain seperti strok serta mengakibatkan pelbagai komplikasi dalam jangka panjang.
- Oleh yang demikian, pelbagai pihak terutamanya badan-badan kesihatan sedunia telah menyarankan pelbagai cara mengatasi penyakit jantung. Pencegahan penyakit jantung terbahagi kepada dua iaitu:
(Primordial prevention) Pencegahan Primordial:
- Langkah pencegahan primordial adalah pencegahan yang berfokus kepada gaya hidup populasi masyarakat.
- Dengan kata lain, langkah ini dilakukan dengan berfokuskan kepada aktiviti hidup seharian masyarakat yang sihat bagi memastikan semua risiko terhadap penyakit terutamanya penyakit jantung dapat diturunkan.
- Langkah ini bukan sahaja ditujukan kepada warga tua, pesakit jantung atau pesakit yang berisiko untuk mendapat penyakit jantung, tetapi juga ditujukan buat semua populasi baik tua mahupun muda.
(Primary prevention) Pencegahan Primari:
- Berfokus kepada pesakit yang berisiko untuk mendapat penyakit jantung. Langkah ini bertujuan untuk mencegah mereka yang berisiko ini dari mendapat penyakit jantung atau melewatkan penyakit ini dari menyerang mereka.
Primordial prevention (Pencegahan Primordial)
- Langkah pencegahan primordial ini mempunyai 4 perkara utama yang perlu dilakukan bagi mencapai gaya hidup sihat. Salah satu badan yang telah menggariskan panduan bagi pencegahan penyakit ini adalah Department of Health and Human Services dari Amerika Syarikat.
- Beberapa badan kesihatan lain turut serta mengeluarkan garis panduan bagi pencegahan ini serta melakukan penambahbaikan dari masa ke semasa.
- Mereka termasuklah:
- American Heart Association (AHA)
- American College of Cardiology (ACC)
- European Society of Cardiology (ESC)
- European Artherosclerosis Society (ESA)
- World Health Organisation (WHO)
- Garis-garis panduan yang dikeluarkan oleh badan-badan ini kebanyakannya menekankan:
- Kepentingan diet yang sihat dan seimbang
- Peningkatan aktiviti fizikal
- Mengatasi masalah berat badan
- Kempen menjauhi rokok
- Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia tidak ketinggalan dalam langkah ini. Banyak kempen dan garis panduan telah dikeluarkan bagi membantu rakyat Malaysia mencapai gaya hidup yang lebih sihat.
Diet Sihat
- Aspek pemakanan sememangnya merupakan faktor yang amat penting dalam penjagaan kesihatan. Pada tahun 2010, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan satu buku panduan bertajuk (Malaysia Dietary Guidelines).
- Panduan ini mempunyai 14 kunci utama yang disarankan kepada masyarakat bagi pengambilan diet yang sihat.
- Ambil pelbagai jenis makanan mengikut keperluan badan yang disarankan
- Kekalkan berat badan dalam julat yang sihat
- Aktif setiap hari
- Ambil kuantiti nasi dan bijirin yang mencukupi
- Banyakkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari
- Ambil makanan seperti ikan, daging, ayam, telur dan kekacang dalam kuantiti sederhana
- Pastikan anda minum susu dan makan produk tenusu dalam kadar yang mencukupi
- Hadkan pengambilan makanan berlemak dan kurangkan penggunaan minyak dalam penyediaan makanan
- Kurangkan kuantiti garam dan sos dalam penyediaan dan pengambilan makanan
- Ambil makanan dan minuman yang kurang kandungan gula
- Banyakkan minum air setiap hari
- Menggalakkan pemberian susu ibu sahaja kepada bayi sejak lahir hingga enam bulan dan kemudian digalakkan memberi susu ibu di samping makanan lain sehingga bayi berusia dua tahun
- Pastikan makanan yang diambil bersih dan selamat
- Gunakan info tentang nutrisi makanan pada pembungkus produk makanan sebaiknya
Jauhi rokok
- Rokok merupakan risiko kepada banyak penyakit merbahaya. Salah satunya ialah penyakit jantung.
- Rokok bukan sahaja memberi kesan kepada penggunanya, tetapi juga orang sekeliling yang menghidu asap rokok tersebut. Oleh yang demikian, masyarakat dinasihatkan untuk menghindari rokok.
- Pelbagai kempen telah dijalankan untuk memberi kesedaran tentang bahaya rokok. Para pengamal perubatan juga telah diberi panduan untuk menggalakkan dan membantu para pesakit agar berhenti merokok.
- Penggunaan bahan seperti tampalan nikotin, gula getah nikotin dan lain-lain boleh digunakan untuk membantu perokok mengurangkan ketagihan terhadap rokok.
Aktiviti fizikal
- Kajian yang dilakukan terhadap kadar aktiviti fizikal yang dilakukan oleh orang dewasa di Malaysia menunjukkan majoriti masyarakat lebih banyak menghabiskan masa harian mereka dengan tidur dan duduk.
- Maka tidak hairanlah sekiranya berlaku peningkatan dalam bilangan pesakit kronik seperti penghidap penyakit jantung. Oleh itu, masyarakat amat disarankan untuk bergerak aktif setiap hari.
- Ia merupakan pencegahan penyakit jantung pada wanita dan juga lelaki yang amat efektif. Setiap dewasa perlu melakukan senaman ringan dalam 30 minit sekurang-kurangnya 5 kali seminggu atau 75 minit senaman berat dalam seminggu.
- Kanak – kanak dan remaja juga tidak terkecuali dalam hal ini, lebih-lebih lagi kerana kanak-kanak masa kini lebih banyak menghabiskan masa di hadapan gajet dan televisyen.
- Mereka disarankan untuk melakukan sebarang aktiviti fizikal selama 60 minit setiap hari. Mereka juga digalakkan melakukan aktiviti atau senaman menguatkan tulang dan otot 3 kali dalam seminggu.
Obesiti
- Obesiti sememangnya dikenalpasti meningkatkan risiko penyakit jantung serta penyakit yang meningkatkan risiko serangan jantung seperti:
- kencing manis
- darah tinggi
- tinggi kolesterol
- Oleh itu, mereka yang mempunyai berat badan berlebihan disarankan untuk:
- mengurangkan berat badan
- mengambil pemakanan seimbang
- meningkatkan aktiviti fizikal
- menjalani pemeriksaan saringan kesihatan bagi mengenal pasti risiko atau mengesan penyakit yang mungkin dihidapi
- Ini adalah bertujuan untuk merawat atau mencegah mereka dari mendapat penyakit tersebut dari peringkat awal.
- Berat badan yang berlebihan atau terlalu kurang adalah tidak baik untuk tubuh. Ramai menyangka bahawa bentuk badan kurus bermakna sihat.
- Namun berat badan yang terlalu kurang juga boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan. Oleh itu, kekalkan berat badan anda dalam julat yang sihat dengan melakukan aktiviti fizikal seiring dengan pengambilan kalori makanan anda.
- Selain itu, anda disarankan agar sering menimbang berat badan seeloknya seminggu sekali bagi memantau kenaikan atau penurunan berat badan.
Primary prevention (Pencegahan Primari)
- Seperti yang telah diterangkan, (Primary prevention) atau Pencegahan primari bagi penyakit jantung adalah bertujuan sebagai cara mencegah serangan jantung mendadak bagi mereka yang berisiko dari mendapat penyakit jantung.
- Perkara ini dilakukan melalui ubatan yang telah dikenalpasti dapat melindungi jantung kepada pesakit-pesakit yang berisiko.
- Selain itu kawalan terhadap penyakit yang dihidapi seperti kencing manis, tinggi kolesterol dan tekanan darah tinggi juga haruslah dititik beratkan kepada pesakit dalam usaha mencegah serangan penyakit jantung.
Written by: Sri Viknarajan A/L Puvendran
Universiti Hasanuddin, Indonesia – MEDICAL DEGREE (DR)
18 Aug 2018