Baca Soalan
Cara Jangkitan Hepatitis B merebak
- Hepatitis B adalah radang hati yang disebabkan oleh virus hepatitis B. Penyakit ini boleh menyerang manusia secara akut ataupun kronik.
- Bagi jangkitan akut, ia selalunya boleh sembuh sendiri tetapi jangkitan kronik pula akan menyebabkan masalah sirosis dan kanser hati, yang boleh mendatangkan maut.
- Virus ini berjangkit melalui:
- Cecair badan (sebagai contoh, air liur, cecair faraj dan air mani)
- Hubungan seksual
- Ibu ke anak
- Darah atau produk darah
- Perkongsian jarum suntikan
- Jangkitan juga boleh berlaku melalui penggunaan jarum yang telah dicemari virus semasa akupunktur, bertindik dan bertatu.
Gejala Hepatitis B Akut dan Kronik
- 30-40% orang yang mengalami penyakit ini tidak akan menunjukkan apa-apa simptom kerana pada masa ini virus hepatitis B tidak aktif.
- Gejala-gejala akut selalunya muncul dalam dua hingga empat bulan selepas pesakit terdedah kepada virus, dan gejala ini akan hadir dari beberapa minggu sehingga 6 bulan lamanya.
Gejala awal hepatitis B adalah:
- Kekuningan pada kulit dan putih mata (jaundice)
- Demam
- Sakit sendi
- Loya
- Muntah
- Hilang selera makan
- Sakit perut
- Letih
- Air kencing gelap
- Najis berwarna pudar
- Kadangkala, dalam kes akut dengan komplikasi yang dinamakan “fulminant hepatitis”, walaupun jarang berlaku, pesakit akan mengadu mengalami:
- Gangguan pola tidur
- Kekeliruan
- Perut tiba-tiba membesar
- Masalah pendarahan yang sukar berhenti (coagulopathy)
- Situasi ini boleh mengancam nyawa pesakit.
- Keadaan seseorang itu dikatakan kronik berdasarkan ujian darah, iaitu kehadiran antigen virus hepatitis B selepas 6 bulan dijangkiti.
- Seperti yang dinyatakan di atas, hepatitis kronik boleh menyebabkan sirosis dan seterusnya kanser hati.
- Walaupun keadaan ini berbahaya, simtom hepatitis B dalam kes kronik tidak begitu ketara. Sakit perut ini pula selalunya di bahagian kanan atas, tahap sakit selalunya ringan hingga sederhana, dan sakit ini tidak berterusan.
- Oleh kerana simptomnya tidak spesifik, sesiapa yang berisiko tinggi untuk mendapat penyakit ini atau mengalami gejala-gejala tersebut dalam jangka masa panjang, haruslah bertemu dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Apakah diagnosis lain dengan gejala sama?
- Simptom - simptom yang dinyatakan di atas, selain merupakan tanda Hepatitis B, juga boleh disebabkan oleh masalah kesihatan yang lain.
- Sebagai contoh, jangkitan virus hepatitis A yang dikaitkan dengan:
- Makanan tercemar
- Masalah saluran hempedu
- Kecederaan hati disebabkan oleh ubat - ubatan
- Adalah dinasihatkan supaya sesiapa yang mengalami mana - mana gejala tersebut untuk bertemu dengan doktor untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Written by: Dr Ilias Yee
MB BCh BAO (NUI), LRCPI, LRCSI, Fellow Open Medical Institute (Addiction), Fellow ASHM Leadership (Sexual Health & HIV Medicine)
18 Aug 2018