Hepatitis B

Komplikasi Jangkitan Hepatitis B

Baca Soalan

Hepatitis B: Akut dan Kronik

  • Hepatitis B adalah sejenis jangkitan hati yang berlaku akibat serangan virus hepatitis B. Penyakit ini boleh berlaku secara akut (jangka masa pendek) ataupun kronik (jangka masa panjang).
  • Keadaan seseorang itu dikatakan sebagai kronik jika virus hepatitis B masih ada dalam badan mereka 6 bulan selepas dijangkiti.

Komplikasi Hepatitis B (Akut dan Kronik)

  • Bahaya hepatitis B boleh dibahagikan kepada kes akut dan kronik. Penyakit hepatitis akut ini kurang merbahaya daripada kronik, tapi dalam 1 daripada 100 kes, ianya boleh menyebabkan masalah fulminant hepatitis B.
  • Dalam kes ini, sistem imun tubuh menyerang hati dan menyebabkan kerosakan terhadapnya. Ia boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan cepat. Dalam kes kronik pula, dianggarkan satu daripada lima orang yang menghidapi virus ini akan mendapat sirosis hati.
  • Sirosis tidak akan menujukkan gejala-gejala yang ketara sehinggalah berlaku kerosakan teruk kepada organ hati.

Apabila perkara ini terjadi, pesakit akan mengalami:

  • Keletihan
  • Berasa lemah
  • Hilang selera makan
  • Kurang berat badan
  • Bengkak pada perut atau pergelangan kaki
  • Buat masa ini, tiada rawatan yang dapat menyembuhkan sirosis akan tetapi beberapa kaedah boleh dilakukan untuk mengatasi gejala dan melambatkan perkembangannya.
  • Seterusnya, akibat hepatitis B, pesakit boleh juga mendapat kanser hati. 1 daripada 20 pesakit yang mendapat sirosis hati, yang disebabkan oleh virus hepatitis B, berisiko untuk mendapat kanser ini.
  • Rawatan untuk kanser ini melibatkan pembedahan untuk membuang bahagian yang terjejas atau prosedur pemindahan hati.

Apakah kaitan Hepatitis B dan Hepatitis D?

  • Selain hepatitis B, terdapat beberapa jenis virus hepatitis lain seperti hepatitis A, C, D dan E. Namun, hanya mereka yang sudah dijangkiti hepatitis B berisiko mendapat hepatitis D, kerana virus hepatitis D ini bergantung kepada virus hepatitis B untuk membiak dalam tubuh badan manusia.
  • Jangkitan hepatitis D akan mengakibatkan penyakit hati yang lebih serius berbanding jangkitan hepatitis B sahaja. Ia dikaitkan dengan masalah sirosis yang lebih cepat berlaku, peningkatan risiko kanser hati dan kegagalan hati pada peringkat awal jangkitan.

Kaitan Hepatitis B dan HIV

  • Virus hepatitis B (HBV) dan Human Immonodeficiency Virus (HIV), adalah dua penyakit yang berbeza tetapi berjangkit degan cara yang sama iaitu bersentuhan dengan cecair tubuh yang mengandungi virus (air mani, cecair faraj, darah).
  • 5-10% pesakit HIV, juga menghidapi penyakit hepatitis B, dan apabila mereka mengalami dua jangkitan pada masa yang sama, risiko kegagalan fungsi hati mereka menjadi lebih tinggi dan lebih cepat.
  • Tempoh berapa lama penderita hepatitis B bertahan hidup adalah berdasarkan tahap jangkitan hepatitis B sewaktu mereka didiagnos dan juga kepatuhan mereka dalam mengambil ubat - ubatan dan mengikuti rawatan susulan.
  • Mereka yang berdisiplin dalam rawatan mempunyai masa depan yang cerah untuk sembuh dan mempunyai jangka hayat yang sama dengan mereka yang tidak dijangkiti.


Written by: Dr Ilias Yee

MB BCh BAO (NUI), LRCPI, LRCSI, Fellow Open Medical Institute (Addiction), Fellow ASHM Leadership (Sexual Health & HIV Medicine)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?