Gejala sakit kepala primari
Migrain
Migrain menyebabkan sakit kepala berdenyut yang biasanya berlaku di satu belah kepala pesakit. Tahap kesakitan adalah sederhana atau parah dan ia biasanya berlanjutan selama 4-72 jam tanpa rawatan. Migrain mungkin jarang berlaku atau menyerang beberapa kali sebulan dan ia boleh bertambah buruk dengan aktiviti fizikal, cahaya atau bunyi.
Gejala-gejala tambahannya adalah seperti
Loya dan muntah
Sensitif kepada cahaya, bunyi dan kadangkala bau
Kabur penglihatan
Pening yang mungkin diikuti oleh pengsan.
Sesetengah pesakit migrain mempunyai aura iaitu simptom amaran sementara sebelum sakit kepala berlaku. Contoh-contoh simptom:
Masalah visual di mana pesakit melihat pelbagai bentuk, cahaya berkelip atau bintik terang
Kebas pada tangan dan kaki
Lemah atau kebas pada muka atau satu sisi badan
Pening kepala
Kesukaran bercakap
Mendengar bunyi
Sakit kepala tegang (sakit kepala kerana tekanan)
Ciri-ciri sakit kepala kerana tekanan termasuk sakit kepala yang melibatkan keseluruhan kepala, seolah-olah kepala diikat ketat. Tahap kesakitan yang dialami adalah ringan atau sederhana.
Sakit kepala kluster
Sakit kepala kluster menyerang dengan pantas dan biasanya menjejaskan satu belah kepala. Kesakitan yang dialami juga boleh merebak ke bahagian badan lain seperti sakit kepala sebelah kiri sampai mata atau sakit kepala sebelah kiri menjalar ke leher.
Gejala-gejala lain termasuk:
Air mata berlebihan, mata merah atau bengkak mata di belah yang terjejas
Hidung berair
Muka pucat
Peluh
Sensitif pada cahaya dan bunyi
Gejala sakit kepala sekunder
Sakit kepala sekunder berlaku akibat penyakit yang lain. Ini bermaksud pesakit boleh mengalami pelbagai jenis gejala bergantung kepada penyakit yang sedang dialaminya. Secara umumnya, sakit kepala sekunder akan dipertimbangkan sekiranya terdapat tanda-tanda amaran atau jika sakit kepala tersebut:
Berlaku buat pertama kali
Tahap kesakitan adalah parah
Diikutii dengan pemeriksaan fizikal pesakit. Apabila sakit kepala berlaku bersama dengan gejala neurologi lain, kemungkinan terdapatnya masalah pada struktur otak
Mempunyai perubahan corak kitaran ulangan
Dialami oleh individu yang menghidapi kanser, HIV atau kehamilan
Red flags sakit kepala
Tanda-tanda amaran sakit kepala harus dikenal pasti awal kerana terdapat kemungkinan ia disebabkan oleh keadaan yang serius atau mengancam nyawa. Pesakit dinasihatkan mendapatkan rawatan dengan segera jika sakit kepala mereka:
Berlaku secara tiba-tiba dan parah
Berpanjangan dan semakin serius
Berlaku selepas kecederaan kepala
Sakit kepala terus menerus disertai mual
Terjadi secara tiba-tiba selepas batuk, bersin, perubahan postur atau senaman
Berlaku bersama simptom neurologi lain seperti lemah anggota badan, rasa kebas, kesukaran berjalan, masalah penglihatan, masalah bercakap dan kekeliruan
Mempunyai gejala tambahan seperti demam, sakit dan tegang pada leher, sakit pada rahang semasa mengunyah, masalah penglihatan, sakit pada mata atau mata merah