Pengenalan
Sakit kepala merujuk kepada kesakitan yang dialami di mana-mana bahagian kepala. Kesakitan yang dialami adalah berbeza berdasarkan lokasi, tahap, tempoh ia berlaku, kekerapan, sebab pencetusnya serta gejala-gejala lain yang dialami oleh pesakit.
Jenis- jenis sakit kepala
Sakit kepala mempunyai pelbagai jenis penyebab dan secara umumnya, kita boleh mengklasifikasikan sakit kepala kepada jenis primer dan sekunder.
a) Primer
Sakit kepala jenis primer berlaku apabila terdapatnya disfungsi struktur di kepala yang sensitif terhadap rasa sakit. Ia bukan disebabkan oleh penyakit dasar lain dan tidak dikaitkan dengan ketidakstabilan struktur di dalam otak. Terdapat kemungkinan yang saraf dan saluran darah di tengkorak, aktiviti kimia di otak atau otot kepala dan leher memainkan peranan dalam sakit kepala primer. Sesetengah orang juga mungkin membawa gene yang membuat mereka lebih cenderung untuk mendapat sakit kepala tersebut.
Sakit kepala primer yang paling umum termasuk:
Migrain
Migrain seringkali bermula ketika zaman kanak-kanak, remaja atau di usia awal dewasa. Risiko mendapat migrain adalah lebih tinggi bagi jantina wanita (3 kali lebih tinggi dibandingkan lelaki) dan pesakit yang mempunyai ahli keluarga dengan migrain. Penyebabnya masih belum ditentukan tetapi migrain dikatikan dengan penurunan tahap hormon otak serotonin yang menyebabkan saraf melepaskan bahan kimia (neurotransmitter), yang bertanggungjawab menyebabkan kesakitan.
Ciri-ciri sakit kepala migrain termasuk:
Tahap sakit yang sederhana atau parah dan menjejaskan satu sisi atau kedua-dua belah kepala
Sakit berdenyut
Biasanya berlangsung selama 4-72 jam tanpa rawatan
Ia mungkin jarang berlaku atau menyerang beberapa kali sebulan
Ia boleh bertambah teruk dengan aktiviti fizikal, cahaya atau bunyi
Gejala-gejala tambahannya adalah seperti:
Loya dan muntah
Kepekaan kepada cahaya, bunyi dan kadangkala bau
Penglihatan kabur
Pening yang kadang-kadang diikuti oleh pengsan.
Sesetengah pesakit migrain mempunyai aura, iaitu gejala sistem saraf sementara yang berlaku sebelum atau semasa migrain. Contoh-contohnya termasuk:
Masalah visual di mana pesakit ternampak pelbagai bentuk, cahaya berkelip atau bintik terang
Sensasi pin dan jarum pada lengan dan kaki
Kelemahan atau kebasa pada muka atau satu sisi badan
Pening
Kesukaran bercakap
Mendengar bunyi
Serangan migrain boleh dicetuskan oleh pelbagai faktor seperti:
Tekanan emosi
Makanan tertentu seperti coklat, minuman beralkohol, makanan yang mengandungi nitrat seperti sosej, monosodium glutamate (MSG), jeruk
Kafein
Cahaya terang
Perubahan cuaca
Perubahan corak tidur
Bunyi kuat
Penggunaan ubat berlebihan untuk melegakan sakit kepala
Perubahan hormon wanita (disebabkan oleh haid, pil kawalan kelahiran)
Sakit kepala tegang
Sakit kepala tegang adalah jenis sakit kepala yang paling kerap berlaku. Walau bagaimanapun, punca masih tidak difahami dengan baik. Ia dikaitkan dengan pengetatan otot di kulit kepala dan leher.
Ketegangan ini boleh bertambah teruk jika pesakit mempunyai tekanan emosi, tidak mendapat rehat yang mencukupi atau mempunyai postur yang lemah. Sakit kepala ini mungkin berlaku secara berkala, kurang daripada 15 hari sebulan atau secara kronik, lebih daripada 15 hari sebulan.
Sakit kepala yang dialami menjejaskan seluruh kepala. Tahap kesakitannya adalah ringan atau sederhana dan ia sering digambarkan seperti perasaan yang dialami apabila tali ketat diikat di sekeliling kepala. Pesakit juga boleh mengalami sensasi ketegangan di dahi atau di sisi dan belakang kepala bersama-sama dengan kesakitan pada otot leher, bahu dan kulit kepala
Sakit kepala kluster
Sakit kepala kluster merupakan jenis sakit kepala yang paling parah. Ia kerap menyerang orang muda dan jantina lelaki terutamanya mereka yang berusia 20-an atau 30-an. Penyebab sebenarnya tidak diketahui. Walau bagaimanapun, sakit kepala ini berlaku apabila laluan saraf trigeminal di muka diaktifkan.
Ciri-ciri kesakitannya adalah seperti berikut:
Sakit kepala sebelah yang boleh dirasai di belakang atau di sekitar mata
Ia boleh merebak ke dahi, hidung, pipi atau gusi pada belah yang terjejas
Sakit berdenyutan
Serangannya berlaku secara berkumpulan, beberapa kali sehari, dalam tempoh masa 2 minggu hingga 3 bulan, atau lebih lama. Ia mungkin hilang sepenuhnya selama beberapa bulan atau tahun tetapi boleh berulang pada masa hadapan
Ia boleh membangkitkan seseorang dari tidur. Serangan waktu malam mungkin lebih teruk daripada serangan siang hari
Gejala-gejala yang boleh mengiringi sakit kepala kluster termasuk:
Mata bengkak, pupil mata mengecil dan konjunktiva (tisu yang melapiskan bahagian dalam kelopak mata) menjadi merah.
Hidung berair atau berasa sesak
Berpeluh
Muka menjadi merah di sebelah yang terjejas
Kepekaan terhadap cahaya dan bunyi
b) Sekunder
Sakit kepala sekunder disebabkan oleh penyakit dasar yang lain. Kerap kali sakit kepala ini mempunyai gejala-gejala tambahan lain.
Apabila sakit kepala menjadi progresif dan berlaku bersama-sama dengan gejala neurologi lain, mereka boleh menandakan terdapatnya masalah struktur di otak, seperti:
Jangkitan otak - Meningitis (keradangan lapisan otak dan saraf tunjang), encephalitis (keradangan otak), abscess (kumpulan nanah)
Masalah saluran darah otak
Strok akibat pendarahan atau darah beku
Arteritis temporal (keradangan saluran darah di sisi tengkorak)
Trombosis vena (pembekuan darah dalam vena)
Hipertensi arteri (tekanan darah tinggi)
Malformasi vaskular (pembentukan saluran darah yang bermasalah)
Ketumbuhan di dalam otak
Trauma kepala
Hydrocephalus (cecair berlebihan yang tidak normal di dalam otak)
Kesan sampingan ubat preskripsi, kesan sampingan dadah rekreasi atau penggunaan ubat tahan sakit yang berlebihan
Contoh-contoh penyebab lain yang tidak berkaitan dengan otak termasuk:
Pseudotumor cerebri (peningkatan tekanan di dalam tengkorak tanpa alasan yang jelas)
Jangkitan bahagian badan lain seperti selsema, jangkitan telinga, jangkitan sinus, jangkitan tekak, demam dan sebagainya
Gangguan metabolik seperti hipoglisemia (paras gula terlalu rendah), hypoxia (kekurangan oksigen), hypercapnia (jumlah karbon dioksida yang terlalu tinggi) dan sebagainya
Masalah tengkorak, leher, mata, telinga, hidung, sinus, gigi, mulut atau struktur wajah
Neuralgia (kerengsaan saraf)
Tanda-tanda amaran
Tanda-tanda amaran sakit kepala menandakan bahawa masalah ini mungkin disebabkan oleh keadaan yang serius atau mengancam nyawa yang memerlukan rawatan segera.
Contoh tanda-tanda amaran sakit kepala:
Berlaku secara tiba-tiba dan parah
Berlaku bersama-sama gejala neurologi lain seperti kelemahan, kesukaran berjalan, kekebasan, masalah bercakap, masalah penglihatan dan kekeliruan
Berpanjangan dan semakin teruk
Berterusan disertai mual dan muntah
Berlaku selepas kecederaan kepala
Tercetus secara tiba-tiba selepas batuk, bersin, perubahan postur atau senaman
Mempunyai gejala tambahan lain seperti:
Sakit kepala belakang atau leher bersama-sama demam, ruam dan kepekaan kepada cahaya - Meningitis
Kulit kepala sisi yang sakit, sakit rahang semasa mengunyah - Arteritis sel “Giant”
Masalah penglihatan, kesakitan mata atau kemerahan mata - Glaukoma sudut tertutup akut