Cara Mencegah Sakit Kepala
Terdapat pelbagai cara mengatasi sakit kepala yang telah ditemui oleh pakar-pakar perubatan. Pepatah Melayu ada menyebut bahawa “mencegah adalah lebih baik dari merawat”. Oleh itu, cara yang paling berkesan untuk mengatasi sakit kepala ialah mencegah sakit kepala daripada berlaku. Kaedah-kaedah pencegahan sakit kepala bukan sahaja akan mengurangkan jumlah serangan sakit kepala malah kesakitan yang dialami juga boleh dikurangkan.
- Bagi sakit kepala migrain, faktor-faktor yang mencetuskan sakit kepala ialah minuman beralkohol, minuman yang mengandungi kafein seperti kopi, keletihan, bunyi bising, cahaya terang, bau busuk, kurang tidur dan makanan tertentu.
- Oleh itu, cara mengatasi migrain yang paling berkesan ialah dengan mengelakkan diri dari terdedah kepada faktor-faktor pencetus yang tersebut di atas.
- Stres dan tekanan emosi merupakan salah satu faktor yang paling lazim menyebabkan sakit kepala.
- Oleh itu, kaedah-kaedah yang mengurangkan stres seperti mengisi masa lapang dengan hobi, senaman, meditasi, menarik dan menghembus nafas dalam dan mengambil cuti rehat adalah sangat berkesan untuk mencegah sakit kepala.
- Di samping itu, tidur yang mencukupi juga berupaya mengecas tenaga badan dan mengurangkan tekanan emosi. Bantal dan tilam yang sesuai harus digunakan untuk menjamin tidur yang berkualiti.
- Bagi mereka yang bekerja di pejabat, sakit kepala sering berpunca dari ketegangan otot di bahagian bahu dan leher.
- Ketegangan otot berlaku kerana mereka yang bekerja di pejabat sering mengamalkan posisi kepala yang tidak seimbang semasa menggunakan komputer atau membuat laporan.
- Oleh itu, warga pejabat digalakkan untuk meluangkan sedikit masa untuk membuat senaman ringan selepas bekerja untuk beberapa jam.
- Urutan di bahagian leher dan bahu juga membantu melegakan ketegangan otot.
- Kedudukan kerusi, meja dan skrin komputer haruslah sesuai supaya tidak menyebabkan tekanan dan ketegangan pada otot di leher, bahu dan belakang badan.
- Kajian telah menunjukkan bahawa amalan diet yang sihat berkesan untuk mencegah sakit kepala.
- Pengambilan daging tanpa lemak, buah-buahan dan sayur-sayuran segar harus ditingkatkan manakala makanan yang berlemak, berminyak, berkalori tinggi atau makanan segera(proses) haruslah dielakkan.
- Selain itu, minum air yang secukupnya adalah sangat penting kerana kekurangan air di dalam badan akan meningkatkan risiko sakit kepala.
- Di samping itu, tabiat merokok haruslah dihentikan dan tempat terbuka yang penuh dengan asap rokok haruslah dielakkan.
- Untuk sesetengah pesakit, ubat-ubatan boleh digunakan untuk mencegah serangan sakit kepala.
- Sebagai contoh, ubat seperti propanolol boleh digunakan untuk mencegah serangan sakit kepala dalam kalangan pesakit migrain.
- Selain ubatan, rawatan alternatif seperti chiropraktik, akupuntur dan aromaterapi juga boleh membantu mencegah sakit kepala.
Para pesakit digalakkan untuk berbincang dengan doktor untuk mendapatkan rawatan yang paling sesuai.