Terdapat pelbagai jenis penyebab sakit kepala yang wujud dan secara umumnya, kita boleh bahagikan penyebab sakit kepala kepada penyebab jenis primer dan sekunder.
Penyebab sakit kepala primer
Sakit kepala primer adalah disebabkan oleh disfungsi atau aktiviti berlebihan sel saraf otak yang berfungsi mengesan rasa sakit di bahagian kepala. Ia tidak disebabkan oleh sebarang penyakit dan punca sebenar tidak diketahui.
Sakit kepala primer yang umum termasuk:
Migrain: Penyebab migrain belum lagi dapat ditentukan. Namun, risiko mendapat migrain adalah lebih tinggi bagi para wanita dan individu yang mempunyai ahli keluarga dengan migrain. Migrain juga dikatakan berlaku apabila tahap hormon serotonin jatuh sehinggakan saraf di kepala melepaskan bahan kimia (neurotransmitter) yang menyebabkan kesakitan. Faktor-faktor yang boleh mencetuskan migrain termasuk cahaya terang, perubahan kitaran tidur, makanan tertentu, bunyi bising dan berlebihan, tekanan dan sebagainya.
Sakit kepala tekanan (tension headache): Kesakitan ini berlaku akibat ketegangan otot di bahagian kepala dan leher . Punca ia berlaku belum lagi diketahui tetapi ia dikaitkan dengan faktor-faktor seperti tekanan, dehidrasi dan postur badan yang lemah.
Sakit kepala kluster: Kita mengetahui bahawa terdapat saraf di muka terlibat apabila sakit kepala ini berlaku namun, penyebabnya belum diketahui. Saraf inilah yang menyebabkan rasa sakit di sekitar mata yang kerap kali dialami oleh pesakit.
Penyebab sakit kepala sekunder
Sakit kepala sekunder disebabkan oleh penyakit dasar yang lain dan kerap kali menyebabkan gejala-gejala tambahan. Contohnya, penyebab sakit kepala berpanjangan seperti ketumbuhan di dalam otak boleh menyebabkan gejala-gejala neurologi lain seperti lemah anggota badan, gangguan sensasi atau penglihatan, sawan dan muntah yang berterusan.
Contoh-contoh penyebab sakit kepala sekunder lain termasuk:
Kecederaan kepala
Masalah saluran darah otak
Strok akibat pendarahan atau darah beku
Arteritis temporal (keradangan saluran darah di sisi tengkorak)
Trombosis vena (pembekuan darah dalam vena)
Hipertensi arteri (tekanan darah tinggi)
Malformasi vaskular (pembentukan saluran darah yang tidak normal)
Sakit kepala yang berkaitan dengan jangkitan bahagian badan lain seperti selsema, jangkitan telinga dan jangkitan sinus
Kesan sampingan ubat, kesan sampingan dadah atau penggunaan ubat tahan sakit yang berlebihan.
Jangkitan dalam tempurung kepala seperti meningitis (keradangan lapisan luar otak) dan encephalitis (keradangan otak)
Gangguan metabolik seperti hipoglisemia (paras gula terlalu rendah dalam darah), hypoxia (kekurangan oksigen dalam darah), hypercapnia (jumlah karbon dioksida yang terlalu tinggi dalam darah) dan sebagainya
Tekanan cecair cerebrospinal yang rendah (contohnya sakit kepala yang berlaku selepas tusukan lumbar)
Pseudotumor cerebri (peningkatan tekanan di dalam tengkorak tanpa alasan yang jelas)
Neuralgia (sakit saraf)
Sakit kepala yang berkaitan dengan masalah tempurung kepala, leher, mata, telinga, hidung, sinus, gigi, mulut atau struktur wajah atau tengkorak lain