Jerawat

Jerawat (Acne) - Komplikasi Jika Tidak Dirawat

Baca Soalan

  • Jerawat, seperti kebanyakan penyakit yang lain, boleh mengakibatkan berbagai-bagai kesan negatif sekiranya tidak dirawat dengan berkesan. Hal ini kerana jerawat yang terbentuk boleh menyebabkan keradangan di bahagian badan yang terjejas.
  • Pembentukan parut juga mungkin berlaku sehingga menjejaskan keyakinan diri dan menyebabkan implikasi psikologi terhadap para pesakit. Kesan-kesan jerawat secara umumnya boleh diklasifikasikan kepada komplikasi fizikal dan komplikasi psikilogi.
  • Pengetahuan tentang kesan-kesan ini boleh membantu kita memahami cara hilangkan jerawat dan kesannya.

Komplikasi fizikal

  • Pembentukan parut ialah komplikasi fizikal yang paling biasa berlaku. Masalah ini lebih teruk jika jerawat itu bersifat nodul atau sista.
  • Parut juga terbentuk sekiranya para pesakit memecahkan jerawat dengan sengaja.  
  • Secara amnya, parut yang terbentuk akibat jerawat boleh diklasifikasikan kepada 3 jenis:
    • Ice pick scars: Lubang-lubang yang kecil dan dalam di permukaan kulit. Parut-parut ini kelihatan seperti permukaan kulit telah dicucuk dengan jarum halus.

    • Rolling scars: Parut yang terbentuk di bawah permukaan kulit sehingga menyebabkan permukaan kulit kelihatan tidak rata.

    • Boxcar scars: Parut yang dalam dan berbentuk bulat atau bujur.

  • Terdapat beberapa jenis rawatan yang boleh diberi kepada para pesakit yang ingin menghilangkan parut-parut ini.  
  • Antaranya ialah:
    • Dermabrasion: terapi ini menghilangkan lapisan atas permukaan kulit dengan bantuan laser atau sejenis berus yang direka khususnya untuk tujuan ini.

    • Terapi laser: terapi ini sesuai untuk masalah parut yang berada pada tahap ringan hingga sederhana. Laser ini boleh digunakan untuk mengeluarkan sebahagian kecil permukaan kulit di sekeliling parut atau untuk merangsang pembentukan kolagen yang boleh membaiki kesan-kesan negatif yang disebabkan oleh parut.

    • Punch techniques: terdapat 3 jenis rawatan yang tergolong di bawah kategori ini. Kesemua rawatan ini berfungsi dengan mengeluarkan bahagian parut dengan pembedahan dan merapatkan kulit di sekeliling parut. Kaedah ini biasanya digunakan untuk parut yang berbentuk ice pick atau boxcar.

    • Subcision: kaedah ini juga melibatkan pembedahan dan selalunya digunakan untuk parut yang berbentuk rolling.

Komplikasi psikologi

  • Kebelakangan ini, kajian yang dijalankan oleh pakar perubatan menunjukkan bahawa masalah jerawat boleh membawa implikasi psikologi yang agak serius. Para pesakit biasanya mengalami keresahan dan stres sehingga tidak sanggup bergaul dengan orang lain.
  • Keadaan ini boleh mengakibatkan penyakit psikiatri yang lain seperti kemurungan dan keresahan. Selain itu, kualiti hidup para pesakit juga sering terjejas.
  • Jika anda sentiasa berasa sedih, kurang keyakinan diri, kehilangan rangsangan untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang anda gemari sepanjang bulan yang lepas, sila berjumpa dengan doktor anda untuk pemeriksaan yang lebih lanjut.
  • Doktor anda mungkin menggunakan beberapa soalan saringan untuk mengenal pasti masalah psikologi yang mungkin anda alami.
  • Rawatan yang berkesan bagi kemurungan dan keresahan sentiasa ada.

Written by: SASHINI A/P SEENIVASAGAM

MBBS (Melaka-Manipal)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?